Sunday, July 6, 2014

Karnival Teratak Glam Raya 2014 Diserbu Ribuan Pengunjung


Hanis bergambar bersama peminat di bazaar anjurannya, Karnival Teratak Glam Raya. 
SHAH ALAM: Karnival Teratak Glam Raya 2014 yang turut disertai 12 orang selebriti terkenal  di Stadium Malawati Shah Alam, di sini pada Sabtu diserbu ribuan pengunjung.

Seawal pukul 10 pagi pengunjung yang  juga kebanyakannya datang untuk melihat dan bergambar dengan artis kegemaran mereka berniaga telah bersedia di luar perkarangan stadium menanti acara bermula.

Acara yang berlangsung selama dua hari sehingga Ahad itu dibuka pada pukul 10 pagi hingga 10 malam.

Selain artis, seramai 300 peniaga mengambil bahagian dengan menjual pelbagai produk seperti pakaian, biskut, barangan perhiasan dan barangan terpakai.

Menurut penganjur yang juga pelakon Hanis Zalikha, sambutan daripada pengunjung pada hari pertama sangat mengalakkan dan mereka terpaksa beratur untuk memasuki pintu utama stadium.

"Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar, kalau nak diikutkan ramai lagi perniaga yang ingin sertai tetapi kuota saya hanya 300 peniaga sahaja.

"Kita mahu bagi ruang untuk pengunjung berjalan kalau terlalu ramai susah pula untuk bergerak, manakala beberapa artis sudah datang awal pagi lagi," katanya.

Antara artis yang kelihatan berada digerai masing-masing pada awal pagi Sabtu ialah Awal Ashaari, Elfira Loy, Diana Danielle dan Neelofa.
Ribuan pengunjung memenuhi Stadium Malawati Shah Alam.
Beberapa artis lain seperti Emma Maembong, Liyana Jasmay, Zara Zya, Achey, Hairul Azreen dan Lisa Surihani akan hadir sebelah petang dan malam.

Sementara itu, pengacara Awal Ashaari dan Scha Al-Yahya menjual pelbagai produk seperti pakaian, beg, dan aksesori dengan harga yang lebih murah daripada biasa.

Kata Awal, barangan tersebut diambil terus daripada pemborong dan dijual semula dengan separuh harga sahaja.

"Saya buat persiapan untuk berniaga di sini agak lama juga, malam tadi pun sempat ke Ikea beli beberapa barang bagi menghias kedai ini.

"Semua barang-barang saya jual secara murah sahaja iaitu separuh harga daripada harga pasaran," ujarnya.

Berlainan pula dengan Diana Danielle yang menjual baju-baju rekaannya daripada butik Melinda Looi.

Selain pakaian, dia turut menjual barang perhiasan, beg tangan dan biskut raya.

"Saya akan berada di sini menjual hingga pukul 10 malam ini, bagi peminat atau pengunjung yang ingin datang membeli pakaian rekaan saya boleh datang hari ini dan esok (Ahad).

"Semuanya dengan harga yang berpatutan sahaja dan bilangannya terhad," katanya.

Manakala, pelakon Elfira Loy menjual barang-barang eksklusif rekaannya berjenama Twinkle by Elfira iaitu pakaian dan skaf.

Katanya, skaf atau tudung yang dijual berharga RM90 itu merupakan hasil lukisannya sendiri.

"Semua barang yang saya jual ini adalah yang saya reka sendiri seperti skaf ini corak-coraknya ada yang hasil lukisan saya," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: