Tuesday, July 8, 2014

Hazama rancang duet dengan Masya


HAZAMA bercadang untuk berduet dengan Masya, yang juga merupakan duet pertamanya dengan penyanyi wanita.


Malam kemuncak Ceria Popstar 2 gamat apabila finalis yang terdiri daripada lima kanak-kanak termasuk Erissa, Iqbal, Masya dan kumpulan duo JoMeGo dilihat menunjukkan persaingan yang sengit pada malam tersebut.
Walaupun masih terlalu muda, kekuatan vokal dan potensi mereka dilihat bukan sesuatu yang boleh dipandang enteng kerana mungkin generasi ini akan mewarnai industri seni suara suatu hari nanti.
Bagaimanapun, final Ceria Popstar 2 menyaksikan kemenangan berpihak kepada peserta yang berasal dari Kedah, Siti Nur Masyitah Mohd. Yusoff (Masya).
Masya berjaya mencuri tumpuan juri dan penonton dengan menyampaikan lagu Di Pintu Syurga nyanyian asal Dayang Nurfaizah dan lagu baharu yang dicipta khas buatnya iaitu Teman Bintang dengan baik.
Kenyaringan suara gadis berusia 14 tahun tahun itu berjaya meletakkannya sebagai juara Popstar 2 dengan membawa pulang hadiah wang tunai utama berjumlah RM20,000 dan percutian tiga hari dua malam di atas Cruise tajaan Malaysian Harmony Tour Sdn. Bhd.
Tidak menyangka kemenangan akan berpihak kepadanya, Masya sudah mempunyai perancangannya yang tersendiri.
"Saya sangat berterima kasih, terutamanya kepada kedua ibu bapa saya yang memberi dorongan dan galakan kepada saya dan jutaan terima kasih saya kepada cikgu Hazama yang mendidik saya untuk menjadi seorang penyanyi profesional," ujarnya ketika ditemui usai program tersebut yang berlangsung di Studio Finas, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Bercerita mengenai perancangannya dengan wang yang dimenanginya, Masya berkata, dia akan menggunakan wang tersebut untuk bidang nyanyian dan pelajaran.
"Buat masa sekarang saya akan cuba seimbangkan bidang nyanyian dan pelajaran. Saya juga akan menggunakan sebahagian wang kemenangan saya untuk mencapai cita-cita saya bergelar seorang penyanyi tetapi saya perlu menumpukan sepenuh perhatian saya kepada bidang pelajaran terlebih dahulu.
LENGKAP... Pakej yang dimiliki oleh Masya membolehkan dia dinobatkan sebagai juara Ceria Popstar 2. Biarpun baru berusia 14 tahun, Masya mempunyai masa depan yang cerah dalam bidang nyanyian.


"Saya yakin pihak Astro mempunyai perancangan tersendiri untuk membentuk kerjaya saya serta membahagikan masa dengan waktu persekolahan. Alhamdulillah usaha saya selama beberapa minggu ini berjaya dan perancangan untuk kerjaya nyanyian saya serahkan pada pihak Astro," ujarnya.
Dalam pada itu, penyanyi selaku mentor Masya, Hazama merancang untuk muncul dengan sebuah lagu duet bersamanya kerana menganggap anak didiknya mempunyai tahap vokal yang matang.
"Saya ada perancangan untuk dia iaitu keluar dengan lagu duet yang juga lagu pertama saya nyanyikan bersama artis wanita. Saya tidak pernah ada lagu duet kerana tiada suara yang bersesuaian dengan suara saya untuk duet, lagi pula negara kita kekurangan artis wanita," katanya.
Tambah Hazama, dia yakin kekuatan vokal yang ada pada remaja ini mampu menjadikan dia (Masya) sebagai salah seorang artis wanita terkenal pada masa akan datang.
"Dia ada suara yang sangat bagus dan saya sendiri tidak banyak usaha untuk mengajarnya dalam pertandingan ini. Saya hanya mengajarnya cara untuk menyampaikan lagu dengan emosi dan bermain dengan kamera sahaja," katanya.
Pada malam tersebut juga peserta solo lelaki, Iqbal hanya mampu berpuas hati apabila menduduki tempat kedua dengan memperoleh hadiah wang tunai RM15,000 diikuti dengan kumpulan duo JoMeGo ditempat ketiga dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 manakala tempat keempat pula dimenangi peserta dari Selangor, Erissa yang membawa wang tunai RM5,000.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: