Tuesday, July 8, 2014

Lebih selesa rahsia tarikh nikah


  • Lebih selesa rahsia tarikh nikah

BANYAK artis memilih untuk berehat daripada sebarang aktiviti seni pada Ramadan ini, namun berbeza pula bagi penyanyi dan pelakon, Alif Satar.

Masakan tidak, artis berusia 24 tahun itu kini sedang sibuk menjalani penggambaran rancangan hiburan, Suka Lattew di Astro Ria dan program 260 episod bagi saluran HyppTV.

"Alhamdulillah, ini semua dinamakan rezeki.

"Saya tidak sangka rezeki hendak berkahwin ini lebih hebat.

"Malah, dek sibuk dengan kerja, saya pun tak sempat nak melayan bola (Piala Dunia)," katanya sambil berseloroh.

Dalam pada itu, pelantun lagu Akhiri Penantianku ini mengakui sedang gementar menunggu hari untuk dinikahkan dengan tunangannya, Sha Dila Halid, setelah melangsungkan pertunangan pada Januari lalu.

Bakal menamatkan zaman bujangnya pada September ini, Alif bagaimanapun tetap berkeras untuk merahsiakan tarikh bakal mereka disatukan.

"Tarikhnya sudah ada, tetapi apa yang saya boleh katakan, kami bakal disatukan pada September ini.

"Saya lakukan ini kerana menghormati semua pihak termasuk keluarga bakal isteri," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Ketika ditanya bagaimanakah persiapan perkahwinannya itu, pengacara Idola Kecil itu memberitahu, segalanya berjalan dengan lancar.

"Hal-hal besar seperti tempahan lokasi dan baju pengantin telah diselesaikan.

"Cuma, ada beberapa perkara kecil yang masih lagi di peringkat perbincangan," katanya yang memilih Kuala Lumpur sebagai lokasi majlis perkahwinannya itu.

Hazama Belum Sedia Kahwin Kekasih Kerana Agama


Hazama tidak mahu terburu-buru membuat keputusan berkahwin.
PETALING JAYA: Juara program Akademi Fantasia musim kesembilan Hazama masih belum bersedia untuk mendirikan rumah tangga dengan teman wanitanya, Genervie Kam kerana perbezaan agama.

Hazama atau nama sebenarnya Hazama Ahmad Azmi, 30, berkata, mereka berdua memerlukan lebih masa kerana banyak perkara perlu diberi pertimbangan sebelum
membuat sebarang keputusan.

"Harus saya akui perbezaan agama di antara kami menjadi faktor utama kenapa kami belum bersedia ke arah itu buat masa ini kerana ia isu yang sensitif.

"Insya-Allah jika ada jodoh di antara kami pasti suatu hari nanti kami akan disatukan juga sebagai suami-isteri," katanya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Hazama berkata, dia mahu memastikan pengetahuan agamanya mencukupi sebelum berkahwin kerana sedar bukan mudah untuk membimbing seorang saudara baharu.

Jelas Hazama lagi, pertanyaan teman wanitanya kepadanya mengenai Islam adakalanya membuatkannya tersedar bahawa perlu mendalami ilmu agama dengan lebih baik.

"Perkahwinan bukan perkara kecil yang boleh dipanang rinngan dan persediaan dari segi mental dan rohani sangat penting dalam menjadi ketua keluarga," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Hazama berkata sepanjang bulan Ramadan dia akan terlibat dengan beberapa majlis berbuka puasa bersama peminat selain beberapa persembahan istimewa sempena Syawal.

Jimmy Shanley Nafi Bermasalah di Ultra FM


Jimmy Shanley
PETALING JAYA: Penyampai radio Ultra FM, Jimmy Shanley, menyifatkan tuduhan kononnya dia tidak memberikan komitmen terhadap kerjanya sehingga menyusahkan rakan setugas lain adalah gosip semata-mata.

Jimmy atau nama sebenarnya Jimmy Shanley Norjahan Saleh, 34, berkata, dia juga terkejut apabila dikatakan bakal menamatkan tugasnya di stesen radio berkenaan sedangkan dia tetap melaksanakan tugasnya.

"Sebenarnya saya kini berada di Korea dan tidak tahu menahu pun tentang gosip itu sehinggalah Pengurus Saluran Ultra FM, Mira Sakhia Shamsuddin menghubungi saya.

"Dia meminta saya tidak perlu mengambil serius dengan berita tersebut. Itu semua gosip. Semalam (Ahad) saya ke udara seperti biasa tanpa masalah, sebelum bertolak ke Korea," katanya kepada mStar Online, menerusi aplikasi Whatsapp.

Foto yang diberikan Jimmy menerusi Whatsapp yang kini berada di Korea.

Jimmy mengendalikan segmen segmen Ultra 6-10 yang ke udara setiap hari dari pukul 6 pagi hingga 10 pagi bersama pasangannya Mamat (Sepah) di stesen radio berkenaan.

Pada Ahad lalu, sebuah akhbar minguan menerusi ruangan pojok melaporkan komitmen kerja Jimmy sebagai penyampai radio Ultra FM sejak kebelakangan ini semakin kurang memberangsangkan sehingga pasangan penyampai yang bertugas bersamanya berang kerana terpaksa melakukan kerja sendirian.

Dalam pada itu, Jimmy juga dikatakan bakal menamatkan tugasnya itu dalam masa terdekat ini.

Sementara itu, ditanya adakah dia sedang bercuti bersama isterinya, Mariam Jamilah Abdul Jalil, 27 yang baru dikahwini pada 7 Jun lalu di Korea, dia enggan mengulas tentang perkara itu.

"Saya baru sampai (Korea) pagi tadi dan terus ke kelas. Sebab apa ke sini? Nanti-nanti saya ceritakan," ujarnya.

Sarah Raisuddin Kuruskan Badan Agar Suami Selesa Pandang

Sarah bersyukur matlamatnya mahu kurus berjaya. 
PETALING JAYA: Penyanyi Sarah Raisuddin mengakui cukup berdisiplin dalam menurunkan berat badan sebanyak 26 kilogram (kg) semata-mata mahu suaminya, Shuib (Sepah) senang melihatnya.

Sarah, 31, berkata, sebagai seorang isteri, dia enggan memiliki tubuh badan yang besar sehingga membuatkan suaminya itu kurang selesa dan kerana itu dia sanggup menurunkan berat dari 78kg hinggalah ke 48kg.

"Sebenarnya suami tidak kisah pun cuma saya yang rasa tak senang hati. Tetapi saya mahu apabila suami pulang daripada kerja, sedap sedikit mata memandang melihat saya.

"Bayangkan pernah sekali saya mencuba sepasang baju yang pernah dipakai sebelum ini dan ianya langsung tidak muat.

"Sejak dari hari itu saya meminta izin suami mahu menurunkan berat badan, dan Alhamdulillah, saya berjaya menurunkan berat badan seperti yang diinginkan," katanya kepada mStar Online.
Siti Sarah Raisuddin

Tambah Sarah, dia juga mengamalkan pengambilan makanan sihat dengan mengelak makanan berminyak dan bergula selain mengambil buah avacado sebagai makanan tambahan.

Dalam perkembangan lain, Sarah berkata dia bakal merakamkan single lagu terbaharunya dan akan dilancarkan pada tahun ini.

"Ramai yang tanya bila nak ada lagu baru? Tetapi sekarang ini saya banyak menghabiskan masa dengan keluarga.

"Anak-anak pun makin membesar dan mereka perlu mendapat perhatian lebih daripada saya. InsyaAllah saya akan ke studio dalam  tidak lama lagi bagi merakamkan single lagu baru saya," tuturnya.
Sarah kini mempunyai dua orang anak iaitu Uwais Alqarni, 6 dan Dzahira Talita Zahra, setahun.

Zizan Razak Beri Penjelasan Status Kecewa Emma Maembong

Zizan menyangkal hubungannya dengan Emma sedang bergolak.
PETALING JAYA: Pelakon dan pelawak Zizan Razak menyangkal dakwaan hubungannya dengan Emma Maembong kini bergolak ekoran tindakan aktres itu memuat naik sekeping foto di laman Instagram miliknya yang menggambarkan seolah-olah percintaan mereka sedang dilanda badai.

Zizan atau nama sebenarnya, Razizan Abdul Razak, 30, berkata, luahan Emma itu langsung tiada kena mengena dengannya kerana hubungan mereka masih berjalan seperti biasa.

"Saya tidak rasa luahan perasaan itu ada kena mengena dengan saya atau hubungan kami sebaliknya percintaan kami masih berjalan seperti biasa tanpa sebarang masalah.
Luahan Emma menerusi sekeping foto di laman Instagram miliknya yang mengundang pelbagai presepsi daripada peminat mereka.


"Emma adalah seorang yang suka berkarya dan apa yang dimuat naik itu mungkin salah satu daripadanya," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Isnin.

Emma dalam status di Intagramnya pada Ahad menggambarkan seolah-olah hatinya sedang kecewa apabila menulis status dia akan mencari lelaki lain yang boleh mengambil berat terhadapnya.

Luahan perasaan Emma itu mendapat perhatian ramai sehingga ramai yang mengandaikan hubungannya dengan Zizan Razak sedang dilanda masalah.

Malah peminat turut meminta Emma supaya bersabar dengan dugaan dalam perhubungan cinta dan berharap kemelut yang berlaku diantara mereka dapat diselesaikan secara baik.

Dalam pada itu, Zizan berkata, dia dan Emma baharu sahaja menjayakan sebuah majlis di ibu negara pada malam Ahad lalu.

Hubungan Emma dan Zizan tiada masalah.

Malah kata Zizan, dia tidak melihat sebarang keperluan supaya gambar itu dipadam kerana ia mungkin ditujukan kepada individu tertentu yang sedang mempunyai perasaan sedemikian.

"Tidak perlu buang kerana mungkin apa yang diluahkan itu mewakili orang-orang yang mempunyai perasaan sedemikian.

"Saya dengan Emma ok jer malah baru semalam kami bersama-sama menjayakan sebuah acara bersama-sama," ujarnya.

Yusof Haslam Lepaskan 3 Das Tembakan, Penjenayah Larikan Barang Hantaran


Yusof Haslam dan isterinya Patimah
PETALING JAYA: Produser filem Datuk Yusof Haslam melepaskan tiga das tembakan selepas banglo mewahnya di Taman Melawati, Kuala Lumpur dekat sini dipecah masuk dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi Isnin.

Sumber polis berkata, semasa kejadian Yusof, 60, sedang menonton televisyen dan tiba-tiba terdengar jeritan orang gaji di tingkat bawah yang menyebabkan beliau bergegas ke biliknya untuk mengambil pistol.

Ujar sumber itu, Yusof melepaskan satu das tembakan pertama sebagai amaran ke arah tangga rumah dan melepaskan lagi dua das tembakan ke kawasan hutan kerana mengesyaki penjenayah melarikan diri ke arah berkenaan.

Polis berkata, pengadu turut mendapati pintu rumahnya terdapat kesan umpilan manakala bilik di tingkat empat rumahnya itu berselerak akibat digeledah.

Pihak polis juga sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengesan penjenayah berkenaan dan dipercayai tiga orang terlibat dalam kegiatan itu.

Tambah sumber itu, semasa kejadian terdapat seorang pengawal keselamatan sedang bertugas namun dia tidak menyedari kejadiaan tersebut.

Sementara itu, isteri kepada Yusof iaitu Datin Patimah Ismail ketika dihubungi mStar Online berkata, pihaknya dengan bantuan polis sedang meneliti rakaman CCTV rumah mereka bagi mengenal pasti ketiga-tiga perompak tersebut.

Banglo mewah Yusof Haslam terletak di lereng bukit.

Bagaimanapun kata Patimah, penjenayah berkenaan sukar dikesan identiti mereka kerana ketika kejadian masing-masing memakai topeng bagi menutup wajah.

"CCTV di rumah berjaya merakamkan kelibat penjenayah sebelum lensa kamera itu dialihkan bagi mengelak di kesan namun keadaan mereka yang bertopeng menyukarkan kami untuk mengesan wajah mereka," katanya.

Patimah turut memberitahu, dua pembantu rumahnya turut dicederakan oleh penjenayah berkenaan ketika kejadian namun bersyukur keadaan mereka selamat.

Bagaimanapun katanya, barangan hantaran perkahwinan anak lelakinya, Syafiq Yusof lesap dan berjaya dibawa lari oleh penjenayah itu.

"Kesemua penjenayah berkenaan mengacukan pisau kepada pembantu rumah saya namun bersyukur mereka tidak diapa-apakan cuma mereka berjaya mencuri barangan milik Syafiq seperti cincin perkahwinan dan jam tangan berjenama," katanya.

Tambah Patimah lagi, tindakan pantas suaminya yang melepaskan beberapa das tembakan amaran kepada penjenayah tersebut berjaya menakutkan mereka namun kesemua perompak itu berjaya melarikan diri.

"Apabila terdengar sahaja jeritan daripada pembantu rumah, suami (Yusof) segera mengambil pistol dan melepaskan tembakan amaran dan mereka melarikan diri," katanya.

Nik Michael Mahu Bertindak Dituduh Tidak Sensitif Waktu Berbuka


Nik mahu mengambil tindakan terhadap individu yang menfitnahnya.
KUALA LUMPUR:Cef selebriti Nik Michael nekad untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang sengaja menyebarkan fitnah kononnya dia tidak menghormati waktu berbuka puasa dalam satu majlis yang diadakan di restoran miliknya, Picknik di Solaris Dutamas dekat sini pada 30 Jun lalu.
Nik atau nama sebenarnya Nik Michael Imran, 24, berkata, akibat laporan tersebut ia telah memberi persepsi buruk bukan sahaja kepadanya tetapi menjejaskan reputasi restorannya.
"Perkara yang ditimbulkan itu jelas satu fitnah yang sengaja ditimbulkan untuk memburukkan nama saya dan Picknik. Saya nekad mahu mengambil tindakan terhadap pihak yang telah menyebarkan cerita berkenaan.
"Saya ingin mempertahankan nama baik saya kerana manusia seperti itu hanya berani bercakap di belakang sahaja dan sekiranya dia tampil meminta maaf pun, saya pasti ia bukannya ikhlas," katanya kepada mStar Online.
Nik ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran AirAsia di Hotel Mandarin Oriental di sini pada malam Isnin.

Nik didakwa tidak menghormati waktu berbuka puasa dalam satu majlis yang diadakan di restorannya, Picknik.

Menurut sebuah laporan akhbar pada Isnin lalu, Nik Michael dikatakan tidak sensitif terhadap waktu berbuka puasa sehingga tetamu di restoran miliknya Picknik hanya dihidangkan makanan pada pukul 8.15 malam.

Ketika kejadian, sebuah syarikat peralatan masakan berkunjung ke restoran tersebut dan Nik dikatakan asyik memperkenalkan produk yang digunakan sehingga tidak memperdulikan waktu berbuka kerana dia leka meneruskan demonstrasi kepada tetamu.

Tindakan Nik itu dikatakan tidak menghormati waktu berbuka dan pelanggan yang beragama Islam majlis berkenaan.

Islam juga melarang umatnya melengah-lengahkan berbuka puasa apabila tiba waktunya.

Dalam pada itu, menjelaskan mengenai situasi sebenar Nik mengakui pihaknya terlewat menghidangkan makanan utama namun juadah pembuka selera seperti kurma, kuih buah Melaka, kuih seri muka dan kentang goreng ada disediakan kepada tetamu.

Jelas Nik, kelewatan hidangan utama dihidangkan kerana dia sendiri memasak makanan tersebut untuk semua tetamu dan ia dapat disaksikan secara terbuka.

"Tuduhan tidak memberi tetamu saya makan membuatkan saya sedih dan terkilan kerana itu adalah tugas saya setiap hari untuk memastikan semua pelanggan dapat menikmati makanan apatah lagi ketika di bulan Ramadan," jelasnya.

Akaun Facebook Sharifah Aini Ditutup


Sharifah Aini meninggal dunia pada awal pagi Sabtu lalu.
PETALING JAYA: Akaun laman sosial Facebook yang dikendalikan oleh biduanita negara Datuk Sharifah Aini telah ditutup oleh anaknya iaitu Aliff Omar Ali.

Penutupan akaun itu dilakukan selepas pengebumian Allahyarham pada Sabtu lalu.

mStar Online difahamkan, Aliff bertindak sedemikian kerana tidak mahu segala memori yang dititipkan menerusi akaun berkenaan dikenang semula.

Terdahhulu Allahyarham pernah menjadikan akaun Facebook miliknya itu untuk meluahkan rasa hati kepada para peminatnya.

Menerusi laman sosial itu juga Sharifah Aini turut menggambarkan pengakhiran usianya apabila beliau meminta para peminat menghadiahkannya Al-Fatihah sekiranya beliau meninggal dunia.
mStar Default Image
Aliff (tengah) bersama bapanya Ali Bakar (kanan) di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada Sabtu lalu.

Sharifah Aini meninggal dunia di Pusat Pakar Damansara di sini pada Sabtu lalu pada usia 61 tahun akibat komplikasi pelbagai penyakit termasuklah fibrosis paru-paru.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara Kuala Lumpur sebelum solat Zohor pada hari sama.

Kematian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar terhadap dunia hiburan tanah air sehingga ia menarik perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang turut mengucapkan takziah.

Dalam pada itu mStar Online turut difahamkan tiada majlis tahlil terhadap Allahyarham kerana majlis seupama itu hanya dianggap sebagai satu amalan.

Awal Ashaari Sukar Bersama Dua Pengacara Baharu 'Melodi'


Gandingan baharu program Melodi iaitu Awal Ashaari, Sherry Al-Hadad dan Zulin Aziz.
PETALING JAYA:Pengacara Awal Ashaari mengakui agak sukar apabila bergandingan dengan dua pengacara baharu yang mengantikan Zizan Razak iaitu Sherry Al-Hadad dan Zulin Aziz dalam rancangan Melodi terbitan TV3.

Awal berkata, pada peringkat permulaan ini ada banyak berlaku situasi yang agak janggal antara ketiga-tiga mereka ketika bercakap tentang sesuatu topik.

"Saya akui agak sukar untuk saya serasikan diri dengan kedua-dua mereka, kadang-kadang apa yang saya cakap mereka tidak sambut begitu juga sebaliknya hingga timbul masa-masa yang saya rasa agak janggal.

"Lagi pula gandingan mereka berdua iaitu Sherry dan Zulin memang sudah kuat membuatkan saya sentiasa fikir dimana untuk mencelah," ujarnya kepada mStar Online, pada sidang media memperkenalkan pengacara baharu rancangan itu di Sri Pentas, di sini pada Ahad.

Melodi keudara secara langsung di TV3 pada setiap Ahad selama sejam bermula pukul 12.30 tengah hari.

Bagaimanapun, Awal berkata, dia perlu sedikit masa untuk mencari keserasian tersebut dan mengkaji tentang cara pengacaraan kedua-dua mereka.

Tambahnya, dia yakin gandingan tersebut merupakan percubaan yang baik dilakukan oleh pihak produksi rancangan itu.

"Ketika dengan Zizan dulu pun saya ambil masa selama setahun untuk betul-betul serasi, pada awal-awal kami digandingangkan dulu juga ada masalah yang mana apabila dia buat lawak saya tidak rasa kelakar.

"Saya lihat Sherry dan Zulin ada kekuatan mereka sendiri yang mana Sherry lebih kepada suka melayan dan Zulin suka bercakap pedas," katanya.

Sementara itu, Sherry dan Zulin berkata, pemilihan mereka dalam rancangan hiburan popular ini diibaratkan seperti mimpi menjadi kenyataan.

Kata mereka, mengendalikan rancangan ini merupakan impian setiap pengacara terutama pendatang baharu seperti mereka.

"Kami rasa ia seperti angan-angan Mat Jenin yang menjadi kenyataan. Dulu sewaktu kecil kami hanya main-main jadi pengacara Melodi sahaja dan tidak sangka ia benar-benar terjadi.

"Selain itu, sudah tentu kami rasa gementar untuk memikul tanggung jawab yang berat ini kerana pengacara sebelum ini kesemuannya hebat-hebat belaka," ujar Sherry.

Manakala bagi penerbit, Michelle Wee Abdullah, penukaran perantara merupakan salah satu strategi memastikan rancangan tersebut terus segar dan baharu.

Katanya, pemilihan Sherry dan Zulin juga adalah melihat prestasi kedua-dua bintang baharu ini yang sudah membuktikan potensi mereka untuk layak mengendalikan program hiburan ini.

"Pertukaran hos merupakan perubahan yang perlu dilakukan demi memastikan penjenamaan Melodi dan pengisian kandungannya akan terus relevan. Kekuatan rancangan ini adalah terletak kepada pengisiannya dan populariti hos hanya membantu sahaja.

Penguguran Zizan Razak Bukan Kerana Kontroversi

Dalam pada itu, Michelle juga menepis dakwaan penguguran Zizan Razak adalah disebabkan kontroversi-kontroversi yang terjadi terhadap diri pelawak tersebut.

Katanya, tempoh selama empat tahun mengacarakan rancangan itu sudah agak panjang bagi seseorang pengacara mengendalikan program yang mencecah rating 1.7 juta itu.

"Zizan sudah tamat kontrak pada Jun lalu dan ia tidak ada kena mengena dengan kontroversi yang dilaluinya malah kami gembira dengan rezeki dia yang kini menyertai pengurusan Astro.

"Sepanjang empat tahun dia mengacarakan Melodi tidak ada sebarang masalah dan telah memberikan prestasi yang sangat cemerlang, cuma tempoh empat tahun itu sudah cukup untuk pihak kami beri peluang kepada muka baru.

"Sementara kita masih mengekalkan Awal berikutan dia baru dua tahun dengan Melodidan kami masih memerlukan khidmat dia sebagai pengacara senior," ujarnya.

Pengarah drama diarah bayar Johan RM170,100


  • johan

MAHKAMAH Tinggi di Kuala Lumpur hari ini memerintahkan seorang pengarah dan syarikat penerbitan drama dan filem membayar ganti rugi RM170,100 kepada Mohammad Yazid Lim Mohamad Aziz atau dikenali sebagai 'Johan Raja Lawak' dan isterinya.

Pembayaran itu berikutan kes saman berhubung kecederaan yang dialami pelawak itu dalam penggambaran di sekitar Negeri Sembilan pada 2010.

Hakim Datuk Su Geok Yiam juga memerintahkan Pengarah Mohd Javed Mohd Nizar serta syarikat penerbitannya, Juara Filem Production Sdn Bhd membayar kos perubatan RM100 kepada Johan serta faedah lima peratus kepada Johan bermula dari tarikh saman itu difailkan sehingga tempoh penyelesaian.

Mahkamah turut memerintahkan Mohd Javed dan syarikatnya selaku defendan membayar ganti rugi RM20,000 akibat trauma kepada isteri pelakon dan pelawak itu, Rozlinawaty Ismail serta faedah lima peratus bermula dari tarikh saman itu difailkan sehingga tempoh penyelesaian.

Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua defendan membayar kos RM50,000 kepada pasangan suami isteri itu.

Dalam penghakimannya, Su berkata mahkamah mengambil kira bahawa plaintif merupakan seorang pelakon dan bergantung kepada wajahnya untuk mencari sumber pendapatan.

"Kecederaan yang dihadapi pada wajah Johan menyebabkan parut kekal dan sebagai seorang pelakon Johan bergantung kepada wajahnya untuk mencari pendapatan, akibat daripada kecederaan itu telah menjejaskan kerjayanya sebagai seorang pelakon," katanya.

Hakim itu juga berkata tidak ada sebarang bukti ditunjukkan oleh plaintif mengenai kehilangan pendapatan yang sebenar ketika kejadian.

Pada 7 Januari lalu, mahkamah membenarkan saman yang dikemukakan Johan dan isterinya selaku plaintif.

Pada 18 Julai 2010, Johan, 29, dan isterinya yang lebih dikenali sebagai Ozlynn Wati, 32, memfailkan saman RM1 juta terhadap kedua-dua defendan dengan mendakwa Mohd Javed telah mengasari dan membaling gelas kaca sehingga menyebabkan Johan mengalami kecederaan di dahi kirinya ketika mereka berjumpa di sebuah restoran di Sikamat, Seremban pada pada 11 Mei 2010.

Dalam pernyataan tuntutan itu, Johan mendakwa Mohd Javed juga bertindak menterbalikkan meja di hadapannya dan isteri. Johan turut mengalami kecederaan pada bahagian bawah mata kanan didakwa akibat ditumbuk seorang kru penggambaran yang dikenali sebagai 'Halim'.

Johan, yang juga pengacara mendakwa Mohd Javed dan Halim kemudian terus memukul dan menyepaknya dan perbuatan mereka dihalang Ozlynn yang menyebabkan isterinya itu turut dipukul.

Sehubungan itu, kedua-dua plaintif menuntut ganti rugi am sebanyak RM1 juta, ganti rugi khas untuk perbelanjaan dan kos rawatan serta ganti rugi teruk.

Pasangan itu diwakili peguam Suhaimi Saad manakala kedua-dua defendan diwakili peguam Baljit Singh.

Kejutan di surau MRSM


  • Mohamad menunjukkan muka surat al-Quran yang didapati kehilangan beberapa ayat suci ketika ditemui di rumahnya di Kampung Neting.Mohamad menunjukkan muka surat al-Quran yang didapati kehilangan beberapa ayat suci ketika ditemui di rumahnya di Kampung Neting.

TUMPAT - Warga Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tumpat, di sini, menerima kejutan apabila mendapati beberapa ayat suci hilang daripada al-Quran milik surau di institusi pengajian peringkat menengah itu.

Imam solat terawih di surau MRSM Tumpat, Mohamad Deraman berkata, dua muka surat al-Quran terbabit yang didapati hilang adalah surah Al-Fatihah dan surah Al-Baqarah.

Menurutnya, ketika meneliti al-Quran bersaiz 4x8 inci itu, dia mendapati ayat 1 hingga 7 surah Al-Fatihah hilang manakala pada surah Al-Baqarah pula, ayat 1 hingga 4 didapati hilang.

"Pada surah Al-Fatihah, yang tinggal hanya kalimah ALLAH dan bunga-bunga akhir ayat. Pada surah Al-Baqarah pula, tinggal hanya perkataan ALLAH dan Robbihin, iaitu nama-nama ALLAH.

"Saya harap perkara ini tidak disalah tafsir, sebaliknya diambil sebagai peringatan oleh seluruh umat Islam agar memperbanyakkan amalan membaca al-Quran," katanya.

Kejadian itu turut disedari oleh salah seorang pelajar MRSM Tumpat ketika ingin membaca al-Quran itu pada hari ketiga Ramadan.

Al-Quran berusia lebih 10 tahun itu diserahkan kepada Mohamad yang merupakan bekas imam Masjid As-Somadi, Geting, dekat sini dan disimpan di rumahnya di Kampung Neting.

Kata Mohamad, ini kali kedua dia melihat kejadian ayat al-Quran hilang kerana kejadian sama pernah dilalui ketika belajar di Pondok Pasir Tumboh pada 1998.

Pengantin baharu dibakar suami


  • Polis menyiasat tempat kejadian di rumah keluarga suami seorang wanita yang dibakar, semalam.Polis menyiasat tempat kejadian di rumah keluarga suami seorang wanita yang dibakar, semalam.

KANGAR - Pada masa mereka sepatutnya menikmati hidup bahagia berbulan madu, sepasang suami isteri yang baharu seminggu berkahwin sebaliknya sering bertengkar.

Puncanya kerana si suami dikatakan cemburu melampau lantaran mengesyaki isterinya main kayu tiga dengan lelaki lain.
Pagi semalam, perasaan cemburu itu dipercayai tidak terkawal lagi hingga dia dikatakan bertindak melampaui batas cuba membakar wanita itu. 
  
Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin berkata, kejadian berlaku di rumah keluarga lelaki itu di Kampung Abi, Padang Machang di sini,  kira-kira jam 9.30 pagi semalam.
 
“Pada masa kejadian, seorang jiran mendengar pasangan itu bergaduh besar sebelum bertindak masuk ke dalam rumah berkenaan kerana risau berlaku perkara tidak baik. Dia terkejut apabila melihat suami isteri itu terbakar di dalam bilik air rumah berkenaan,” katanya.
  
Abdul Rahman berkata, berdasarkan siasatan awal , suspek yang juga seorang penganggur  berusia 23 tahun itu, dipercayai menyimbah petrol ke badan isterinya sebelum bertindak mencucuh dengan menggunakan pemetik api.
 
“Namun api turut menyambar kaki dan tangannya  mengakibatkan dia sendiri turut mengalami kesan terbakar kira-kira 20 peratus," katanya.
 
Menurut Abdul Rahman, mangsa pula mengalami kecederaan akibat terbakar kira-kira 85 peratus berikutan api menyambar bajunya menyebabkan bahagian pinggang dan kakinya terbakar.
 
Katanya, beberapa jiran menolong memadamkan kebakaran sementara menunggu kedatangan bomba dan penyelamat.
 
“Mangsa dihantar ke Unit Rawatan Kebakaran, Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk rawatan rapi sementara suspek masih berada di Hospital Tuanku Fauziah dan akan direman untuk membantu siasatan.
 
“Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya.

Dalam pada itu, keluarga mangsa sepatutnya mengadakan majlis kenduri kesyukuran semalam bagi menyambut ulang tahun kelahiran wanita tersebut.
 
Nenek mertua mangsa berusia 70-an berkata, mereka sekeluarga sepatutnya mengadakan kenduri kesyukuran sempena hari lahir mangsa yang ke 23 semalam.
 
Bagaimanapun, mereka sekeluarga dikejutkan dengan kejadian berkenaan.

Menceritakan semula kejadian, ketika itu, dia baru pulang dari pasar sebelum terdengar jeritan orang meminta tolong dari dalam bilik.
 
“Saya kemudian masuk ke dalam rumah dan melihat badan mangsa sedang terbakar.

“Cucu saya yang cuba memadamkan api itu juga mengalami kecederaan, sebelum membantu mangsa dengan mengambil air dan mencurahkannya ke badan mangsa,” katanya dalam nada sedih.

Jadi bos tapi mengaku kuli


  • Nippu menjalankan perniagaan kuih di kaki lima sebuah kedai, di sini.Nippu menjalankan perniagaan kuih di kaki lima sebuah kedai, di sini.

MEREKA berniaga dan menjadi bos di premis sendiri. Tetapi ketika ditanya wartawan, mereka mengaku sebagai pekerja di situ.

Mereka mengaku bekerja dengan majikan orang tempatan sedangkan perniagaan itu dipercayai milik mereka sendiri yang disewa melalui orang tempatan.

Mereka berkeras mengaku ada majikan tetapi apabila ditanya lanjut berhubung majikannya, mereka gagal mengemukakan maklumat yang diminta. Hakikatnya, mereka ini memiliki premis sendiri dibantu beberapa pekerja senegara.

Inilah fenomena yang berlaku di sekitar Klang. Premis-premis perniagaan di sini disyaki wujud kegiatan ‘alibaba’ yang  disyaki didalangi orang tempatan.

Selain berniaga kuih-muih tradisional yang digemari warga India Bangladesh iaitu Bangladesh Jillabi, premis itu turut menawarkan jualan beg, cadar, alat telekomunikasi dan barangan lain. Mereka mengakui majikan menyewa dengan kadar RM6,000 sebulan.

Ketika ditanya adakah pihak berkuasa seperti Majlis Perbandaran Klang (MPK) membuat pemeriksaan di kawasan perniagaan, salah seorang peniaga dikenali sebagai Nippu mengaku pemeriksaan ada dibuat. Dia mengaku perniagaan mereka tidak diganggu kerana mempunyai lesen.

Reaksi yang ditunjukkan Nippu dan beberapa warga asing yang menjalankan perniagaan di situ menunjukkan mereka bebas berniaga di sekitar pusat bandar Klang sejak bertahun lalu.

Persoalannya, adakah benar premis-premis di sini dialibabakan? Sejauh manakah fenomena ini diberi perhatian pihak-pihak berkuasa?

Apa yang merisaukan kini, melihat bandar Klang seperti bukan lagi melihat bandar di negara sendiri. Itu reaksi orang tempatan dan warga Klang kini.

Premis-premis di sini didominasi warga Indonesia, Nepal, Bangladesh dan Myammar. Walaupun mereka ini mengaku hanya bekerja namun masyarakat yakin mereka ini pemilik premis berkenaan yang menggunakan lesen perniagaan orang lain.

Salah siapa?

Kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) digesa mengambil tindakan tegas ke atas peniaga warga asing yang semakin bermaharajalela di bandar ini.

Zaharin Janghi, 54, berkata isu perniagaan didominasi warga asing bukan hanya berlaku di pusat bandar Klang malah sudah menular di kawasan  Meru, Sementa, Kampung Delek dan Sungai Udang.

“Golongan mereka ini makin besar. Akhirnya anak tempatan ibarat ‘melukut di tepi gantang’ dan hanya mampu lihat tanah air sendiri dipenuhi warga asing,” katanya.

Pihak PBT digesa tidak tutup mata dalam isu ini kerana ia membabitkan maruah tanah air.

“Perkara ini memang berlaku. Bila warga asing berniaga mereka tutup mata. Bila peniaga tempatan berniaga kecil-kecilan, mereka ambil tindakan.

“Dua-dua tak ada lesen tapi yang kena hanya sebelah pihak. Ini tidak adil,” katanya.

Sementara itu, DK Vicky, 36, pula berpendapat kalangan warga tempatan sendiri membuat silap apabila membenarkan warga asing berniaga menggunakan lesen mereka.

“Sebab nak untung mereka kenakan bayaran tinggi kepada warga asing...kira untung atas angin.

“Macam mana nak bendung kalau warga tempatan sendiri beri peluang,” katanya.

Bagi mengekang kegiatan itu terus berleluasa, Vicky menyarankan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas ke atas peniaga warga asing serta orang ketiga yang bertindak mengalibabakan lesen perniagaan.

“Jika perkara ini tidak diberi perhatian tegas, ia akan berleluasa dan Klang akan berubah wajah ibarat negara asing. Buktinya sudah ada depan mata sekarang ini,” katanya.

Rayu maklumat orang ramai

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Datuk Mohammad Yacob berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan peniaga warga asing termasuk peniaga tempatan yang bertindak mengalibabakan lesen perniagaan.

“Jika benar  memang wujud kegiatan mengalibabakan lesen perniagaan itu, kita akan bertindak tegas dengan menamatkan lesen perniagaan mereka.

“MPK mempunyai garis panduan berhubung perkara ini dan kita tidak sekali-kali membenarkan warga asing menjalankan perniagaan di daerah ini,” katanya.

Beliau berkata, jika wujud aduan berkenaan kegiatan itu, siasatan lanjut akan dijalankan.

“Tiada maaf bagi mereka yang terlibat dan tindakan tegas akan diambil. Saya harap orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung perkara memaklumkan kepada MPK segera,” katanya.

Hazama rancang duet dengan Masya


HAZAMA bercadang untuk berduet dengan Masya, yang juga merupakan duet pertamanya dengan penyanyi wanita.


Malam kemuncak Ceria Popstar 2 gamat apabila finalis yang terdiri daripada lima kanak-kanak termasuk Erissa, Iqbal, Masya dan kumpulan duo JoMeGo dilihat menunjukkan persaingan yang sengit pada malam tersebut.
Walaupun masih terlalu muda, kekuatan vokal dan potensi mereka dilihat bukan sesuatu yang boleh dipandang enteng kerana mungkin generasi ini akan mewarnai industri seni suara suatu hari nanti.
Bagaimanapun, final Ceria Popstar 2 menyaksikan kemenangan berpihak kepada peserta yang berasal dari Kedah, Siti Nur Masyitah Mohd. Yusoff (Masya).
Masya berjaya mencuri tumpuan juri dan penonton dengan menyampaikan lagu Di Pintu Syurga nyanyian asal Dayang Nurfaizah dan lagu baharu yang dicipta khas buatnya iaitu Teman Bintang dengan baik.
Kenyaringan suara gadis berusia 14 tahun tahun itu berjaya meletakkannya sebagai juara Popstar 2 dengan membawa pulang hadiah wang tunai utama berjumlah RM20,000 dan percutian tiga hari dua malam di atas Cruise tajaan Malaysian Harmony Tour Sdn. Bhd.
Tidak menyangka kemenangan akan berpihak kepadanya, Masya sudah mempunyai perancangannya yang tersendiri.
"Saya sangat berterima kasih, terutamanya kepada kedua ibu bapa saya yang memberi dorongan dan galakan kepada saya dan jutaan terima kasih saya kepada cikgu Hazama yang mendidik saya untuk menjadi seorang penyanyi profesional," ujarnya ketika ditemui usai program tersebut yang berlangsung di Studio Finas, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Bercerita mengenai perancangannya dengan wang yang dimenanginya, Masya berkata, dia akan menggunakan wang tersebut untuk bidang nyanyian dan pelajaran.
"Buat masa sekarang saya akan cuba seimbangkan bidang nyanyian dan pelajaran. Saya juga akan menggunakan sebahagian wang kemenangan saya untuk mencapai cita-cita saya bergelar seorang penyanyi tetapi saya perlu menumpukan sepenuh perhatian saya kepada bidang pelajaran terlebih dahulu.
LENGKAP... Pakej yang dimiliki oleh Masya membolehkan dia dinobatkan sebagai juara Ceria Popstar 2. Biarpun baru berusia 14 tahun, Masya mempunyai masa depan yang cerah dalam bidang nyanyian.


"Saya yakin pihak Astro mempunyai perancangan tersendiri untuk membentuk kerjaya saya serta membahagikan masa dengan waktu persekolahan. Alhamdulillah usaha saya selama beberapa minggu ini berjaya dan perancangan untuk kerjaya nyanyian saya serahkan pada pihak Astro," ujarnya.
Dalam pada itu, penyanyi selaku mentor Masya, Hazama merancang untuk muncul dengan sebuah lagu duet bersamanya kerana menganggap anak didiknya mempunyai tahap vokal yang matang.
"Saya ada perancangan untuk dia iaitu keluar dengan lagu duet yang juga lagu pertama saya nyanyikan bersama artis wanita. Saya tidak pernah ada lagu duet kerana tiada suara yang bersesuaian dengan suara saya untuk duet, lagi pula negara kita kekurangan artis wanita," katanya.
Tambah Hazama, dia yakin kekuatan vokal yang ada pada remaja ini mampu menjadikan dia (Masya) sebagai salah seorang artis wanita terkenal pada masa akan datang.
"Dia ada suara yang sangat bagus dan saya sendiri tidak banyak usaha untuk mengajarnya dalam pertandingan ini. Saya hanya mengajarnya cara untuk menyampaikan lagu dengan emosi dan bermain dengan kamera sahaja," katanya.
Pada malam tersebut juga peserta solo lelaki, Iqbal hanya mampu berpuas hati apabila menduduki tempat kedua dengan memperoleh hadiah wang tunai RM15,000 diikuti dengan kumpulan duo JoMeGo ditempat ketiga dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 manakala tempat keempat pula dimenangi peserta dari Selangor, Erissa yang membawa wang tunai RM5,000.


Sherry, Zulin ganti Zizan


KELETAH Sherry dan Zulin bakal memberikan nafas baharu terhadap rancangan Melodi.


TANGGAL 29 Jun lalu menyaksikan pelawak dan pengacara Zizan Razak mengundurkan diri daripada mengendalikan rancangan Melodi yang pernah diterajui bersama pasangan pengacaraannya, Awal Ashaari.
Selepas mengumumkan perkara tersebut, pelbagai pihak membuat spekulasi mengenai Zizan yang dikatakan ditamatkan kontrak setelah menjadi wajah eksklusif Astro.
Selain itu, ada pula yang mendakwa, kontroversi yang melibatkan syarikat pengurusannya turut menjadi sebab mengapa Zizan tidak lagi diberi tanggungjawab untuk mengacarakan Melodi.
Namun, menurut penerbit rancangan tersebut, Michelle Wee ketika pengumuman tersebut dibuat, kontrak Zizan sememangnya telah tamat dan gosip yang mengatakan kontraknya ditamatkan sebelum sampai tempoh adalah tidak benar sama sekali.
“Pada ketika itu, kontrak Zizan telah pun sampai tempohnya dan kami tidak bercadang untuk menyambungnya kembali.
“Pemilihan pengacara baharu juga sama sekali tidak berkait rapat dengan statusnya sebagai wajah eksklusif Astro.
“Sebagai rakan dalam industri dan telah berkerjasama selama empat tahun, kami turut tumpang gembira dengan kejayaannya di sana.
“Bagi kami, sudah tiba masanya untuk Melodi menerima wajah-wajah baharu untuk ditonjolkan sebagai pengacara,” katanya yang ditemui pada sidang akhbar pengumuman dua pengacara baharu Melodi di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Dua pengacara tersebut, pelakon Sherry Alhadad dan Zulin Aziz secara rasminya dilantik sebagai pengacara baharu yang mengendalikan program tersebut bersama Awal Ashaari mulai 6 Julai lalu.
SEBAGAI artis yang bergelar pengacara, ketiga-tiga individu ini lebih berhati-hati dalam setiap gerak geri kerana enggan dihambat kontroversi.


“Pemilihan Sherry dan Zulin dilakukan secara sepakat. Justeru, kami berharap agar kedua-dua mereka berserta Awal dapat membuka dimensi baharu terhadap penyampaian rancangan ini,” katanya yang menyifatkan ketiga-tiga pengacara tersebut mempunyai kelebihan dan karakter masing-masing.
Tambah Michelle, kelangsungan Melodi bukan terletak pada populariti pengacara yang ditampilkan tetapi juga pengisian rancangan itu sendiri.
“Penonton sudah faham dengan cara Melodi menyampaikan cerita. Pengacara yang mengendalikannya hanya menjadi nilai tambah kepada rancangan itu,” katanya.
Teruja
Sementara itu, menurut Sherry dan Zulin, dipilih sebagai pengendali rancangan hiburan popular itu bukan sahaja merupakan peluang terbesar yang pernah diberikan, malah ia telah menjadi impian ketika mereka masih kecil lagi.
“Siapa yang tidak gembira jika dapat mengacarakan program Melodi? Bagi kami, ia merupakan impian terbesar bagi setiap artis mahupun pengacara,” ujar mereka.
Tambah Sherry, selain kerap mengendalikan rancangan hiburan lain terbitan Media Prima secara undangan, mereka yang terlebih dahulu menggantikan ketiadaan Zizan selama sebulan turut menggunakan peluang tersebut sebagai platform untuk berlatih.
“Sebelum mengisi kekosongan tempat Zizan selama sebulan, kami terlebih dahulu pernah mengendalikan rancangan Galaksi di TV9 dan Hot FM.
“Justeru, apabila diberi peluang untuk mengendalikan Melodi secara jemputan, kami tidak menyangka pula akan diberikan tanggungjawab penuh sebagai pengacara. Tempoh sebulan itu juga digunakan sebaiknya untuk berlatih,” ujarnya sambil tersenyum.

GAMAT... Gabungan Sherry, Zulin dan Awal dilihat mampu menyampaikan pengisian Melodi menerusi gaya dan cara mereka sendiri.


Ketika ditanya mengenai statusnya sebagai artis yang mengendalikan rancangan hiburan yang berteraskan gosip serta kontroversi, Zulin berkata, dia dan Sherry akan cuba sebaik mungkin untuk mengelakkan diri daripada terjebak dengan sebarang cerita-cerita kurang enak.
“Sebagai artis, kadang-kadang kita takut cerita atau gosip tentang kita akan muncul dalam rancangan yang dikendalikan.
“Jadi, sebagai manusia biasa, saya akan cuba sehabis baik untuk mengelakkan sebarang kontroversi dan berfikiran matang sebelum berkata atau membuat sebarang keputusan,” ujarnya.
Sementara itu, menurut Awal, dia akan cuba untuk mencari kesesuaian mengacara bersama duo komedi itu bagi memantapkan cara penyampaian Melodi pada masa akan datang.
“Ketika bertugas bersama Zizan, saya perlukan masa hampir setahun untuk mencari keserasian.


Arnab peliharaan Chu miliki bulu terlalu tebal



SEEKOR arnab baka Angora yang dipelihara Chu memiliki bulu yang terlalu tebal sehingga muka haiwan itu sukar untuk dilihat.


SAN JOSE - Seekor arnab baka Angora Inggeris dipercayai memiliki bulu arnab terpanjang di dunia, lapor akhbar The Huffington Post kelmarin.
Arnab betina yang diberi nama Ida itu mempunyai bulu sepanjang 25.4 sentimeter.
Haiwan itu dibiak dan dipelihara oleh seorang wanita Betty Chu yang merupakan profesor emeritus di Universiti Negeri San Jose, di sini, dalam negeri California.
Baka Angora Inggeris popular dalam kalangan peminat arnab kerana haiwan itu memiliki bulu yang panjang dan lembut.
Chu menggunakan gunting untuk memotong bulu arnab tersebut dan tidak pernah mencederakan haiwan peliharaannya.
Bulu arnab itu tumbuh pada kadar 2.54 sentimeter sebulan manakala Chu menggunakan bulu yang dipotong itu untuk membuat skarf , topi dan sarung tangan.

Pasangan berkahwin pada majlis perkahwinan tradisi



PASANGAN pengantin baharu saling memegang tangan di Pchelina, Bulgaria pada Ahad lalu.


PCHELINA, Bulgaria - Satu pasangan melangsungkan perkahwinan dalam majlis tradisi yang diadakan di sini pada Ahad lalu.
Ratusan tetamu menghadiri majlis perkahwinan itu dengan memakai pakaian tradisi pada abad ke-17.
Tradisi itu memerlukan para tetamu menari dan pengantin lelaki membunyikan loceng yang digantung pada binaan kayu.


Tembusi ke pasaran antarabangsa




SETIAP minggu, Siti Sarah Abdul, 24, akan ke kedai untuk membeli kudapan kegemarannya iaitu coklat. Antara jenama pilihan hatinya untuk diletakkan di kaunter bayaran ialah Daim, Kisses, Kinder Bueno, Hershey's dan Snickers.
Anak kelahiran Negeri Di Bawah Bayu itu membeli coklat sekurang-kurangnya empat kali dalam seminggu untuk dinikmati sambil menonton program televisyen kesukaannya di rumah.
Namun, dia bukan membeli coklat secara sembarangan. Beberapa kriteria perlu dipenuhi antaranya, rasa yang sedap, jenama, halal dan mempunyai bahan-bahan yang baik untuk kesihatan.
"Saya juga membuat perbandingan harga dan kualiti coklat sebelum memutuskan untuk membeli," katanya yang menggemari coklat sejak kecil.
Menurutnya, sejak kecil juga dia telah didedahkan terhadap iklan-iklan coklat jenama luar negara di televisyen seperti Cadbury, M&M dan Kit Kat.
Justeru itu, jenama-jenama itu terus melekat di hatinya termasuk dari segi varian perisa dan perkembangan bungkusan sesuatu jenama. Apabila ditanya tentang jenama coklat tempatan, Siti Sarah memberitahu dia tidak begitu mengetahuinya.
Begitu juga dengan Ahmad Fathi Lutfi Mohd. Amran, 22, yang memilih coklat jenama antarabangsa seperti Cadbury dan Mars.
"Mungkin kerana jenama coklat tempatan jarang disiarkan dalam iklan komersial di televisyen atau surat khabar. Jadi, saya tidak sedar kewujudan jenama produk tempatan," katanya.
Bersaing
Mendapatkan pandangan daripada pengasas coklat tempatan jenama Grandeur, Aimilia Omar berkata, situasi tersebut berlaku disebabkan oleh peluang prasarana di pasar-pasar raya besar yang terhad dan kos pemasaran terlalu tinggi bagi pengusaha kecil.
"Pengusaha-pengusaha tempatan terpaksa bersaing dengan jenama gergasi dari luar negara seperti Cadbury dan Kit Kat untuk mendapat tempat di rak-rak pasar raya. Jika pun dapat, kami masih mempunyai kelemahan seperti tidak mempunyai kakitangan sendiri untuk memberi pendedahan tentang coklat kepada pelanggan.
AIMILIA menggunakan lemak coklat tulen untuk jenama coklat Grandeur.


"Selain itu, harga pengiklanan media massa pada hari ini memerlukan modal yang tinggi. Jadi produk-produk tempatan hanya aktif dalam pasaran kecil yang diketengahkan di dalam media baharu seperti Facebook dan blog," jelasnya ketika ditemui di ibu pejabat Grandeur di Prima Selayang, Selangor.
Namun ujarnya, cetakan logo halal pada bungkusan dan kualiti kandungan bahan-bahan membuatkan coklat tempatan mula mendapat perhatian ramai. Segelintir pelanggan di Facebook membuat tempahan untuk menjadikannya sebagai hantaran perkahwinan dan buah tangan dalam majlis-majlis rasmi.
Setelah tujuh tahun bertapak dalam industri coklat, jenama Grandeur berjaya menembusi pasar raya besar AEON terpilih dan pasar raya kecil sekitar Lembah Klang dan Selangor.
Jenama di bawah syarikat Industri Makanan AOM itu kini menghasilkan lebih 500 kilogram coklat setiap bulan. Jenama itu mempunyai lebih 100 jenis produk coklat buatan tangan dan mesin. Harga coklat yang dijual bermula dari RM1.50.
Mendedahkan keistimewaan coklat tempatan, graduan dari Universiti Malaya itu berkata, bahan utama yang digunakan dalam pembuatan coklat Grandeur iaitu lemak coklat tulen adalah 100 peratus buatan tempatan keluaran Lembaga Koko Malaysia (LKM), agensi di bawah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi.
Coklat itu juga tahan lebih lama pada suhu luar bilik berbanding coklat susu jenama antarabangsa kerana sifat coklatnya yang lebih kering.
Begitu juga dengan kualiti coklat berperisa buah-buahan tropika, Malsa. Menurut pengasasnya Aslinah Aslam, coklat keluarannya mampu bertahan selama dua tahun. Coklat Malsa diperbuat menggunakan koko tulen
LKM dan dipertingkatkan dengan teknologi sejat dan kering.
"Saya telah ke serata negara yang terkenal dengan pembuatan coklat termasuklah Belgium dan Jerman.
"Kajian itu dibuat bagi meletakkan coklat tempatan setanding jenama antarabangsa," katanya ketika ditemui di Kompleks Industri Makanan, di Batu Caves, Selangor.
Sehingga kini Aslinah memperkenalkan coklat dengan tujuh rasa buah tropika. Antaranya, durian, nangka, nanas, pisang, strawberi dan manggis. Coklat rasa buah-buahan tropika ini dijual pada harga RM15 untuk 70 gram dan RM24.90 untuk 120 gram.

SEMAKIN ramai peladang menanam pokok koko secara organik kerana mendapat tawaran harga yang lebih baik.


Pasaran
Bercerita tentang corak pemasaran coklat itu dalam negara, dia memberitahu produk dihasilkannya telah menembusi pasaran tempatan seperti di pasar-pasar raya besar seperti AEON dan Cold Storage terpilih, kedai coklat di lapangan terbang dan Jaya Grocer di Bangi.
Betapapun, coklatnya itu masih belum mendapat tempat sepenuhnya di hati rakyat Malaysia kerana terpaksa bersaing dengan jenama antarabangsa terutama aspek harga.
"Malsa cuba menghasilkan sesuatu yang lebih unik seperti coklat dengan rasa buah-buahan tropika. Namun, untuk menghasilkan produk ini, ia menelan belanja yang agak besar, meliputi kos bahan mentah dan teknologi.
"Jadi, bagi memastikan mendapat pulangan modal, harga produk ini terpaksa dijual sedikit tinggi berbanding coklat jenama antarabangsa," jelasnya.
Mengambil pilihan lain, Aslinah memasarkan produk tersebut ke luar negara seperti China, Singapura, Brunei dan akan datang ke Arab Saudi. Kira-kira 33,600 bungkusan akan dihantar menerusi kontena pada setiap tahun bagi memenuhi permintaan peminat coklat Malsa di luar negara.
Menerusi bantuan daripada pihak kerajaan, anak sulung daripada lima adik-beradik itu giat menjalani kajian tentang resipi baharu coklat dengan harga pasaran yang kompetitif.
Mengulas lanjut tentang tabiat memakan coklat rakyat Malaysia, pakar diet, Indra Balaratnam berkata, pengambilan coklat perlu dikawal kerana mengandungi jumlah lemak yang tinggi.
"Walaupun koko kaya dengan kandungan antioksidan, bahan asas lain dalam menghasilkan coklat seperti gula dan jumlah lemak menjadikannya makanan yang perlu dikawal kuantiti pengambilannya.
"Sebagai contoh, 100 gram coklat susu mempunyai purata 535 kalori, 7.65 gram protein, 29.6 gram lemak, 59.4 gram karbohidrat dan 51.5 gram gula. Sebanyak 50 peratus daripada kalori tersebut datangnya daripada lemak. Jadi, saiz hidangan coklat yang paling ideal adalah antara 30 hingga 40 gram," ujarnya sambil memberitahu manisan diperlukan untuk melengkapkan panduan piramid makanan Malaysia.
Bagi individu yang menggemari manisan, tetapi jarang melakukan senaman disarankan untuk mencari alternatif lain seperti buah-buahan yang mempunyai kandungan gula semula jadi.

PENGUSAHA tempatan terpaksa bersaing dengan jenama coklat antarabangsa untuk mendapat tempat di rak-rak di pasar raya besar. - Gambar hiasan


Khasiat
Indra juga mengingatkan rakyat Malaysia agar tidak meletakkan persepsi bahawa makanan yang diimport merupakan makanan yang sihat dan mengandungi nutrisi yang tinggi.
"Cara yang betul untuk menilai khasiat makanan adalah dengan melihat label kandungan bahan-bahan pada bungkusan," katanya.
Dalam pada itu, laman rasmi LKM dipetik berkata, kajian melaporkan kuantiti antioksidan yang diserap daripada koko dan coklat adalah lebih tinggi berbanding wain, teh dan sayur. Pengambilan koko yang kaya dengan antioksidan flavanoid dapat mengurangkan risiko aterosklerosis serta mengurangkan kematian akibat penyakit koronari jantung.
Selain itu, satu kajian yang dijalankan di Jepun turut menunjukkan bahawa poliphenol dalam koko dapat menghalang perubahan sikap emosi di bawah tekanan fizikal, berupaya mengurangkan tekanan dan membantu melambatkan proses penuaan.
Jangka masa hayat bagi manusia yang sihat boleh dilanjutkan selama lima hingga 10 tahun dengan mengamalkan pemakanan seimbang yang kaya dengan antioksidan.