Sunday, November 18, 2012

Jemputan ikhlas Istanbul Aku Datang




DEMAM filem Istanbul Aku Datang merebak seperti filem Hantu Kak Limah Balik Rumah. Cerita mulut ke mulut tentang kehebatan dan keseronokan menonton filem ini membuahkan kutipan yang memberangsangkan, RM1.6 juta sehingga Rabu lepas.
Sinematografi yang menarik dan tidak dipersia-siakan oleh jalan cerita mahupun para pelakon menjadikan filem arahan Bernard Chauly ini antara filem yang berbaloi untuk ditonton di pawagam pada musim cuti ini.
Konflik cinta mudah yang dibalut dengan jalan cerita laju membuatkan Istanbul Aku Datang terasa segar dalam dunia perfileman tanah air.
Filem ini bermula dengan karakter Dian yang sanggup terbang jauh ke Istanbul untuk bertemu buah hatinya Azad. Bukan hanya sekadar mengubat rindu namun dia sebenarnya ada misi untuk menuntut sebuah perhubungan yang lebih serius daripada Azad.
Dian yang dilakonkan Lisa Surihani awalnya tidak perasan terhadap tingkah laku Azad yang agak janggal. Konflik dirinya yang dikongsi dalam laman blog disambut dengan pelbagai reaksi rakan-rakan dan pembaca blognya. Persis kehidupan sebenar anak muda zaman sekarang.
Polemik hidup Dian muncul apabila dia bertemu Haris yang merupakan teman serumah tidak dirancangnya. Mereka merancang pelbagai perkara untuk mengusir teman serumah masing-masing. Tidak keterlaluan setiap adegan yang ditonjolkan dan cukup bersahaja lakonan Beto dan Lisa.
Visual cantik pilihan produksi Red Films tidak dipersiakan langsung oleh jalan cerita yang menarik. Malah secara tidak langsung, jiwa-jiwa yang menonton filem ini terpanggil untuk melawat Istanbul sama ada untuk menimba ilmu mahupun untuk berbulan madu.
Pujian perlu diberikan kepada Lisa dan Beto yang sangat menghidupkan karakter Haris dan Dian. Mereka sangat bersahaja dan punya keserasian walaupun ini merupakan gandingan perdana mereka. Kedua-duanya tampak remaja dengan cara percakapan, mimik muka dan busana yang dikenakan. Tomok juga melahirkan Azad yang jelas kelihatan seperti ulat buku tetapi pada masa yang sama tidak dapat menolak naluri lelakinya yang tidak boleh hidup keseorangan. Lakonan Tomok nampak ada pembaharuan.
Petikan 'jangan biadap' yang disebut Beto menjadi salah satu ungkapan umum sejurus penonton keluar daripada panggung. Cuma kalaulah ruang untuk diberikan oleh watak Haris diperluaskan lagi, karakter ini akan menjadi salah satu pencuri hati buat penonton terutamanya remaja.
Selain produksi yang kemas, pujian turut perlu diberikan kepada pasukan busana dalam filem ini. Pemakaian yang dikenakan baik Beto, Tomok, Lisa mahu pun pelakon pembantu sesuai dan seiring usia. Warna-warna ceria dan kepelbagaian gaya menaikkan lagi mood sepanjang tontonan filem ini.
Komen Sofia: Kutipan filem ini akan naik lagi memandangkan bulan cuti persekolahan. Syabas Bernard Chauly!

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: