Wednesday, January 11, 2012

Yuna tidak gentar bersaing


YUNA mengharapkan sinar tahun 2012 akan terus berpihak kepadanya.


2012 terus menyaksikan penguasaan komposer dan penyanyi wanita popular negara, Yunalis Zarai atau Yuna dalam bidang seni suara.

Impak populariti yang dikecapi Yuna telah melayakkan anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu untuk menerima pelbagai pengiktirafan.

Malah sepanjang tahun lalu, Yuna tidak sahaja gah di negara kelahirannya sendiri tetapi berdiri teguh di persada antarabangsa dengan siri persembahan dan konsert yang dijayakan.

Namun di sebalik kegemilangan yang diciptanya itu, siapa yang mampu melupakan detik apabila trofi kemenangan untuk Lagu Terbaik bagi lagu Penakut pada Anugerah Industri Muzik Ke-18 (AIM 18) ditarik balik menyebabkan kredibiliti Yuna sebagai seorang karyawan sedikit tercalar.

Semuanya gara-gara kesilapan teknikal dari segi pengiraan markah yang dilakukan oleh pihak Ernst & Young yang kemudiannya menyerahkan trofi berkenaan kepada lagu Sedetik Lebih selaku pemenang sebenar.

Selepas AIM 18, nampaknya, lagu Penakut dan Sedetik Lebih sekali lagi berentap dalam Anugerah Juara Lagu Ke-26 (AJL 26) yang akan berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 29 Januari ini.

Apakah lagu Penakut bakal membawa tuah dan rezeki buat Yuna pada malam AJL 26 sekali gus menebus kekecewaan dan maruahnya yang sudah tercalar sebelum ini?

Mengulas tentang perkara itu, Yuna dengan penuh rendah diri tidak mahu meletakkan sebarang harapan tinggi dalam meraih sebarang kemenangan pada anugerah muzik berprestij itu.

Apatah lagi apabila dia perlu berhadapan sekali lagi dengan Edry Abdul Halim selaku komposer dan penulis lirik untuk Sedetik Lebih, Yuna lebih selesa untuk berfikiran terbuka dan optimistik.

“Bagi saya, apa yang berlaku, biarkanlah berlalu. Apa yang penting buat saya adalah untuk terus maju ke hadapan dan memikirkan bagaimana hendak memantapkan lagu karier saya.

“Begitu juga dengan AJL 26 di mana saya melihatnya sebagai persaingan yang sangat positif. Sementelah ini merupakan tahun ketiga saya menyertainya, saya fikir saya sudah cukup matang untuk memikirkan tentang apa yang saya mahukan dalam pertandingan ini.

“Bohong kalau saya katakan saya tidak mahu menang dan ingin bergelar juara tetapi AJL adalah tentang rezeki. Ia adalah sesuatu yang sukar diramal dan setiap lagu yang menyertainya berpotensi besar untuk diangkat sebagai juara,” jelas Yuna panjang lebar sewaktu ditemui pada majlis pelancaran album keduanya, Terukir Di Bintang di Menara 1, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tahun 2010 menyaksikan Yuna menyertai AJL untuk kali pertama menerusi lagu Dan Sebenarnya yang telah melayakkannya memenangi naib juara sementara tahun lalu pula, dia bertanding atas tiket lagu Cinta Sempurna.

Seperti yang dikatakan Yuna, dia tidak mahu meletakkan sasaran untuk melihat lagu Penakut dan sebuah lagi lagu ciptaannya, Gadis Semasa meraih apa-apa kemenangan tahun ini.

Memberikan contoh tahun lalu di mana dia mengakui telah meletakkan harapan yang tinggi untuk melihat Cinta Sempurna berada dalam kelompok tiga lagu terbaik.

Tetapi, rezeki tidak berpihak kepadanya apabila Cinta Sempurna tewas kepada lagu Tolong Ingatkan Aku (Ana Raffali), Drama King (Meet Uncle Hussain dan Black) serta Noktah Cinta (Hafiz).

“Untuk tahun ini, saya melihat persaingannya memang cukup kuat. Apatah lagi dengan kebangkitan lagu-lagu balada dan penyertaan daripada artis solo dan berkumpulan.

“Dalam pemilihan pemenangnya, semuanya terletak kepada jemaah juri tentang kriteria yang mereka cari dalam mana-mana lagu untuk bergelar juara. Atas alasan itulah, saya fikir sesiapa sahaja mampu bergelar pemenang.

“Bagi diri saya, tiada lain yang dapat saya katakan melainkan bersyukur dan bertuah kerana lagu saya masih lagi diberi peluang untuk bertanding di pentas AJL,” kata Yuna yang kini sedang sibuk membuat persiapan dan persediaan untuk AJL 26.

Selain lagu Penakut, Gadis Semasa dan Sedetik Lebih, AJL 26 juga memperlihatkan kehebatan sembilan lagu lain yang turut layak ke pentas akhir iaitu Cinta Muka Buku nyanyian Najwa Latif, Beribu Sesalan (Ning Baizura, Shila Amzah dan Jaclyn Victor), Kisah Hati (Alyah), Awan Nano (Hafiz) dan Kekanda Adinda (Atilia dan Monoloque).

Empat lagu lain termasuklah Sungai Lui oleh Aizat, Wanita Seluruh Dunia (Projek Pistol), Kalau Berpacaran (Ana Raffali, Sohaimi Mior Hassan dan Altimet) dan Karma (Faizal Tahir).

Bukan tangkap muat

Selepas album Decorate yang dilancarkan dua tahun lalu, Yuna kini boleh berbangga apabila kelahiran album keduanya, Terukir Di Bintang yang sudah pun berada di pasaran.

Memuatkan lapan buah lagu termasuk dua lagu Melayu, Terukir Di Bintang dan KL Kita, namun apa yang tidak sedapnya apabila penghasilan album tersebut dilihat seperti melepaskan batuk di tangga.

Bukan dari segi muzik mahupun pembikinan album itu tetapi pembungkusan album tersebut yang sememangnya tidak setanding dengan kehebatan Yuna sebagai seorang artis bertaraf antarabangsa.

Mengulas tentang perihal itu, Yuna menjelaskan bajet merupakan kekangan untuk menjadikan pembungkusan Terukir Di Bintang lebih menarik lagi.

“Saya sedar akan senario itu tetapi ingin saya jelaskan di sini, Terukir Di Bintang bukanlah sebuah album tangkap muat.

“Biarpun saya sibuk dengan penghasilan album saya di Amerika Syarikat (AS), tetapi tumpuan juga diberikan kepada album kedua saya ini.

“Terukir Di Bintang merupakan sebuah album yang jauh bezanya dengan Decorate di mana kali ini muzik dan liriknya lebih bersemangat serta mampu memberikan semangat kepada pendengar. Ini amat berbeza dengan Decorate yang muzik dan liriknya lebih kepada sisi gelap,” ujar Yuna yang turut berkolaborasi dengan kekasihnya, Qi Razali dalam lagu KL Kita.

Album Terukir Di Bintang terbitan Yuna Room Records dan edaran Fantasia Music City (FMC) itu turut memuatkan lagu-lagu seperti Fears and Frustrations, Coffee, Sparkle, Memo dan Photo Of You.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: