Tuesday, January 17, 2012

Wanita Arab keluar kepompong



BAGI pelanggan kedai pakaian dalam La Senza yang terletak di salah satu gedung beli-belah mewah di Riyadh, Arab Saudi, kemasukan pembantu jualan wanita minggu ini menamatkan rasa malu yang ditanggung selama bertahun-tahun lamanya.

Tiada lagi situasi pelanggan wanita yang terpaksa menebalkan muka kerana berdepan dengan pembantu kedai lelaki yang cuba mengukur saiz pakaian dalam mereka melalui pandangan mata.

Bagi wanita yang masih dalam penantian, kerajaan Arab Saudi tahun lalu memutuskan untuk menjadikan premis menjual pakaian dalam wanita sebagai kawasan khusus kaum Hawa. Secara tidak langsung, ia menjadi pennada aras anjakan sosial iaitu pengambilan tenaga kerja perempuan.

"Saya rasa gembira dan bebas. Tidak perlu lagi mengharap sokongan kewangan daripada sesiapa, malah kerja ini menjadikan saya kuat," kata Amani, wanita muda yang memakai niqab semasa melayan pelanggan di La Senza.

Menurut statistik tahun 2009, hanya tujuh peratus wanita di Arab Saudi bekerja dengan sektor swasta walaupun peratusan mencari kerja mengikut jantina adalah sama.

Di negara Islam konservatif itu, pengasingan mengikut jantina dikuatkuasa dengan ketat dan ruang pekerjaan dimonopoli oleh lelaki sejak sekian lama. Kehadiran kaum Adam sebagai pekerja di kedai menjual pakaian dalam wanita sejak dulu lagi dilihat sebagai satu kejanggalan.

Di Arab Saudi, wanita dilarang menyertai sebarang bentuk pekerjaan kerana ia dilihat sebagai ruang interaksi yang tidak bermoral antara lelaki dan wanita. Larangan itu dikuatkuasakan dengan ketat oleh polis agama dan ulama, tetapi dalam kes ini, wanita pula terpaksa mendedahkan perincian ukuran tubuh mereka kepada lelaki asing bukan mahram.

"Segala-galanyanya selesa sekarang, kedai ini penuh dengan wanita dan kami dapat bergerak bebas dan bertanya apa saja tanpa rasa malu," kata Heba, seorang pelanggan setia La Senza.

Ruang pekerjaan untuk wanita sebenarnya adalah gelanggang tempur antara mereka yang berfahaman dan kumpulan yang mahu perubahan.

Arab Saudi melarang golongan wanitanya memandu dan memerlukan izin saudara lelaki terdekat untuk bekerja, bergerak ke mana-mana atau menjalani pembedahan.

Beri sokongan


HARI ini, kerajaan Arab Saudi semakin berpihak kepada wanita meskipun mendapat tentangan daripada majlis ulama.


Walaupun keluarga al-Saud yang memerintah mempunyai hubungan rapat dengan ulama Wahhabi yang berpengaruh dan sangat konservatif, kerajaan tetap menekankan pembaharuan yang memberikan lebih banyak hak kepada wanita.

"Hampir 99 peratus masyarakat sekeliling menerima keadaan ini. Keluarga saya memberikan sokongan dan mahu saya melakukan apa saja yang saya suka dalam kehidupan ini," kata Amani yang masih diselubungi kebimbangan dan enggan memberikan nama penuhnya demi menjaga nama keluarga.

Bagaimanapun, majlis ulama kekal dengan keputusannya apabila Mufti Besar selaku pegawai agama tertinggi Arab Saudi dalam ceramahnya baru-baru ini menyifatkan membuka peluang pekerjaan kepada wanita sebagai melanggar undang-undang Islam.

Pemantau politik tempatan berpendapat Raja Abdullah cuba melaksanakan perubahan secara berhati-hati namun konservatif yang berkuasa meletakkan baginda tersepit di antara kedua-dua pihak.

Baginda mungkin menimbulkan kekecewaan aktivis hak asasi wanita tahun lalu dengan tidak meluluskan kebenaran memandu tetapi menyatakan akan membenarkan penyertaan wanita untuk turun mengundi. Bahkan, baginda juga membenarkan wanita bertanding dalam pemilihan majlis perbandaran dan berkhidmat dalam Majlis Shura yang menasihatkannya.

"Saya rasa tahun 2012 adalah tahun lanjutan usaha kerajaan memperkasa wanita dan meningkatkan lagi usaha ke arah itu," kata Puteri Amirah al-Taweel, isteri kepada bilionair Arab Saudi, Putera Alwaleed Talal kepada Reuters bulan lalu.

Situasi sukar

Penentangan sosial bukan satu-satunya halangan kepada wanita Arab Saudi yang mahu bekerja kerana mereka perlu meminta izin bapa, abang sulung atau suami.

Bagi pekerja, ia adalah situasi yang sukar kerana mereka perlu mematuhi syarat pengasingan gender yang diwujudkan atas tujuan mengelakkan lelaki dan wanita belum bernikah berada dalam keadaan yang terlalu hampir.


PEMBELI lebih selesa untuk berinteraksi dengan penjual di butik pakaian dalam.


Keperluan fasiliti dengan pengasingan ini menjelaskan perbezaan besar iaitu 56,000 wanita mencari pekerjaan di syarikat swasta, manakala 295,000 memohon jawatan di sektor kerajaan.

"Syarikat swasta sendiri sebenarnya lebih berminat mengambil wanita bekerja walaupun membabitkan pelbagai kesukaran kerana mereka dilihat sebagai golongan yang kuat bekerja," kata Khaled al-Khudair, pengasas kepada agensi pekerjaan dalam talian wanita yang dimulakan tahun lalu.

Syarikatnya, Glowork, mengiklankan hampir 2,000 kekosongan untuk wanita. Setakat ini katanya, seramai 7,500 permohonan membanjiri laman web pencarian kerja tersebut.

Lebih ramai pemohon wanita berbanding lelaki lulusan universiti tahun lalu namun pasaran kerja masih ketinggalan di belakang.

Ketua pakar ekonomi National Commercial Bank di Jeddah, Jarmo Kotilaine berkata, Barat pernah melalui perkara yang sama sekitar tahun 1960-an. Permasalahan itu berlaku kerana ramai wanita terpelajar berputus asa untuk untuk mendapatkan kerjaya.

"Namun, keperluan ekonomi mengubah semua ini," katanya meskipun perubahan itu agak perlahan.

"Keluarga saya tidak menerima idea saya bekerja di kedai. Suami memberi sokongan tetapi dengan syarat ia mesti bersifat sementara sehinggalah saya mendapat kerjaya yang lebih baik dalam persekitaran yang semuanya wanita seperti di sekolah," kata Sarah kerani jualan di sebuah premis pakaian dalam wanita yang lain di Riyadh.

Undang-undang mengharamkan lelaki bekerja di premis menjual pakaian wanita dan kosmetik tidak dikuat kuasa setelah diluluskan pada tahun 2006, sebahagiannya disebabkan pandangan keras yang menentang apa jua yang melibatkan percampuran antara lelaki dan perempuan.

Wanita Arab Saudi yang bosan kerana terpaksa berurusan dengan lelaki sewaktu membeli pakaian dalam, telah memboikot premis jualan bagi mewujudkan tekanan agar wanita diambil bekerja. Usaha kerajaan menguatkuasakan undang-undang itu bermula baru-baru ini.

Isi kekosongan


LARANGAN memandu kereta ke atas wanita di Arab Saudi juga menyukarkan golongan tersebut untuk keluar bekerja. - Gambar hiasan


Polis agama di bawah Suruhanjaya Promosi Kesucian dan Pencegahan Maksiat, melaksanakan interpretasi ketat Islam di Arab Saudi bahawa lelaki dan wanita perlu diasingkan.

Pemisahan ini tidaklah sepenuhnya kerana ada juga wanita diberi kelonggaran bekerja sebagai jurutera, doktor, jururawat dan pelbagai lagi jawatan lain.

Sejak beberapa minggu lalu, beberapa wanita mula bekerja di premis-premis ini. Walaupun ia menjejaskan karier ribuan lelaki, Kementerian Buruh menyatakan lebih 28,000 wanita yang kebanyakannya pendatang dari Asia Selatan sanggup mengisi kekosongan yang ada.

Ulama paling kanan Arab Saudi, Sheik Abdul-Aziz Al Sheikh, bangkit dengan lantang menentang keputusan Kementerian Buruh dalam satu ceramah terbaharunya dan menyifatkan ia sebagai melanggar undang-undang Islam.

"Pengambilan wanita sebagai pekerja di kedai yang menjual pakaian wanita dan perempuan yang berdiri bersemuka dengan lelaki yang membuat jualan tanpa rasa malu atau menjaga kehormatan akan menjurus kepada dosa dan ia akan dipertanggungjawabkan kepada pemilik kedai itu sendiri," katanya yang meminta pemilik-pemilik premis agar takut kepada Allah serta tidak melanggar larangan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: