Saturday, January 21, 2012

Venice Biennial pemangkin industri pelancongan


Penulis bergambar di hadapan Padiglione Centrale atau pavillion utama.


VENICE Biennial boleh dikatakan sebagai seni Olimpik dalam mempertemukan negara di seluruh dunia berhimpun dalam satu tempat. Walau apa sahaja pandangan yang diberikan mengenai penganjurannya ini, ia adalah penganjuran seni yang berprestij dan ditunggu-tunggu bagi melihat siapakah artis yang mewakili pada pavillion-pavillion negara disana.

Menyentuh serba sedikit sejarah Venice Biennial, ia bermula daripada resolusi City Council of Venice pada 19 April 1893 yang menyarankan penganjuran acara seni dwi-tahunan iaitu ‘biennial national artistic exhibition’ bersempena sambutan Jubli Perak Raja Umberto dan Ratu Margherita.

Acara ini dianjurkan buat pertama kali pada 30 April 1895. Komitmen daripada Datuk Bandar Venice, Ricardo Selvatico di mana lebih daripada 200,000 pelawat dari seluruh dunia hadir dalam penganjuran kali pertama Venice Biennale walaupun dikenakan bayaran masuk. Acara ini bagaimanapun terhenti dari tahun 1914 hingga 1920 akibat Perang Dunia Pertama.

Terdapat 30 negara yang mempunyai pavilion tetap di Giardini iaitu lokasi ia diadakan yang terletak di sebuah taman yang indah dikelilingi oleh rimbunan pokok-pokok.

Pada 1999, disebabkan ruang Pavilion Sentral yang terhad, projek pengubahsuaian secara besar-besaran telah dilakukan pada bekas bangunan bersejarah yang sebelum ini menempatkan gudang kapal Arsenale in Venice kepada ruang pameran.

Venice Biennial ke-54 berlangsung dari 4 Jun hingga 27 November 2011, iaitu selama hampir enam bulan.

Dalam kenyataan Presiden Venice Biennial edisi ini, Paolo Baratta telah menjemput muzium dan organisasi seni di seluruh dunia ke acara ini sebagai jemputan termasuklah Balai Seni Lukis Negara (BSLN) melalui agensi perdagangan luar negara kita iaitu MATRADE.

Pada edisi kali ini, saya selaku kurator dan Haned Masjak iaitu Timbalan Pengarah (Operasi) BSLN menggalas misi dalam melakukan kajian dan penyelidikan dengan lebih dekat penganjuran yang berusia lebih daripada 100 tahun ini.

Pada hari perasmian, Pengarah Venice Biennail, Bice Curiger yang merupakan seorang pensejarahan seni, pengkritik dan kurator pameran antarabangsa yang berpusat di Kunsthaus Zurich mengumumkan pemenang anugerah Golden Lion. Ia adalah hadiah yang diwujudkan bagi memberi penghargaan pencapaian hayat sebagai artis dan diberikan kepada Frank West, pengarca veteran Austria dan Sturtevant, artis konseptual Amerika Syarikat.

Penganjuran kali ini mencatatkan rekod peningkatan dari segi jumlah pavilion yang mengambil bahagian yang terdiri daripada 89 buah negara (terbanyak setakat ini) daripada 77 pavilion dua tahun sebelumnya. Antara negara yang pertama kali mengambil bahagian adalah Arab Saudi, Bangladesh dan Haiti.

Setelah upacara perasmian, kami ke pavilion utama iaitu Padiglione Centrale atau Pavilion Sentral di mana pameran Illuminations diadakan dalam keluasan 3,500 meter persegi.

Mengikut sejarahnya, Padiglione Centrale ini dibuka pada 1894 oleh Datuk Bandar Venice dengan melantik jurutera Majlis Perbandaran Venice untuk membina ruang pameran di Giardini di Castello sebagai hos pameran antarabangsa pertama yang dibuka selepas setahun pembinaannya.

Selepas kejayaan pertama kali penganjuran Venice Biennial pada 1895, mereka telah meluaskan lagi kawasan dengan memberi peluang kepada penyertaan negara-negara lain dan negara luar pertama yang membina pavilion di sini adalah Belgium, manakala pavilion yang terakhir adalah dari Korea pada 1995. Selepas itu, tiada lagi pavllion dibina di sini.

Dalam edisi kali ini, Padiglione Centrale telah menempatkan 24 artis dengan lebih kurang 31 ruang pameran di dalamnya.

Apa yang menjadi tumpuan utama dalam pavilion ini adalah tiga karya bersaiz besar oleh artis Itali di zaman Renaisan yang banyak melakukan eksperimentasi dalam zamannya iaitu Jacopo Tintoretto (1518-1594). Koleksi oleh Gallerie dell‘Accademia, Venice telah diletakkan di dalam ruang pameran utama, antaranya karya bertajuk The Last Supper (1592-1594), The Creation of the Animals (1550-1553), Removal of the body of Saint Mark (1562-1566), dan Miracle of the Slave (1548). Kesemua karya itu telah dibincangkan semula daripada perspektif kontemporari.

Kami mengambil masa beberapa minit menghayati karya-karya Tintoretto ini kerana karya pinjaman khas untuk pameran Illumination yang menjadi fokus edisi kali ini di mana karya ini menitikberatkan elemen perspektif, pencahayaan dan komposisi.

Illuminations edisi Venice Biennial kali ini diambil daripada tajuk buku penulisan pemikir seni dan budaya abad ke-20 iaitu Walter Benjamin yang merupakan seorang pengkritik sastera, ahli falsafah, ahli sosiologi, penterjemah dan penyiar radio. Antara buku himpunan eseinya yang terkenal adalah Work of Art in the Age of Mechanical Reproduction 1969.

Pengarah merangkap kurator pameran mengeksplotasikan makna Illuminations kepada dua illumine (menerangi) dan nations (negara) dalam membawa isu yang lebih besar yang berlaku kini daripada edisi ke-52 oleh Robert Storr, Think with the Senses-Fell with the Mind Art in the Present Tense dan Daniel Birbaum Making Worlds pada Biennial ke-53.

Sebagai pengarah, Bice telah membawa kita melihat isu-isu besar pergolakan yang berlaku di dunia termasuk negara yang mengambil bahagian untuk ‘dipentaskan’ dalam edisi kali ini.

Tidak hairanlah jika setiap pavilion yang menghantar wakil sama ada pameran perseorangan atau berkumpulan membawa permasalahan dan pergolakan setempat untuk dikongsi bersama seperti sosial politik, peperangan, kuasa dan persempadanan kepada audien yang hadir.

Illumination semacam melihat semula tindakan-tindakan pada abad sebelumnya yang membawa kesan ke abad seterusnya.

Inilah idea-idea yang mencetuskan Bice dalam menempatkan hampir 83 artis pilihannya di dalam pavilion Giardianidan Arsenale, seperti yang saya kenali sebelumnya. Antaranya Maurizio Cattelan Turisti 1997, Cindy Sherman Untitled 2010, Pipilotti Rist Non voglio tornare indietro 2011, Sigmar Polke Strahlen Sehen (Seeing Ray) 2007, Christopher Wool Untitled 2010, Peter Fischli & David Weiss Space Number 13.

Ada beberapa pavilion yang sangat menarik untuk dikongi bersama di sini, antaranya dari Switzerland. Pavillion ini yang dikomisioner oleh Urs Staub diwakili oleh artis, Thomas Hirshorn dalam karyanya ‘Crystal of Resistance’ di mana karya ini memerlukan penglibatan audien di dalamnya. Karya Hirshorn ini mengajak audien bersama-sama memasuki dunia ciptaan artis.

Menurut Hirshorn, beliau membentuk dan mencipta suatu bentuk baru agar audien berfikir suatu yang baru iaitu bentuk yang membuat audien ‘berfikir’.

Selain itu, Pavillion Britain juga menjadi pilihan utama. Pada edisi kali ini, Andrea Rose dipilih sebagai komisioner yang dikurator oleh Richard Riley yang mempamerkan hasil kerja Mike Nelson, ‘I Impostor’ 2011.

Pada kali ini, pavilion ini memasang semula hasil karya arca instalasi yang bersaiz besar yang pernah dipamerkan daripada Istanbul Biennial ke-8 pada 2003 yang bertajuk Magazin: Buyuk Valide Han di mana beliau membina semula ruang dalaman seni bina abad ke-17.

Pembinaan semula karya ini di Venice untuk merakam semula imej dalam masa dan tempat yang berbeza di mana Nelson cuba bernostalgia di dua tempat di antara Venice dan Istanbul yang pernah menjadi pusat perdagangan antarabangsa Timur-Barat dan Barat-Timur pada ketika dahulu.

Dalam karya ini, khalayak dibawa masuk ke dalam ruang dalaman yang agak kecil di dalamnya di mana khalayak perlu melalui laluan-laluan yang menuju ke suatu ruang di mana mereka dapat merasai pengalaman visual dan bau seperti mereka berada di dalam masa dan ruang sebenar.

Keseluruhannya, Venice Biennial menjadi rujukan kepada berpuluh-puluh acara biennial lain yang terdapat di tempat lain di seluruh dunia.

Di rantau Asia Tenggara, kita juga mempunyai acara yang mengambil model daripadanya seperti Singapore Biennial dan Jogja Biennial. Oleh itu, sudah tiba masanya Malaysia mampu menganjurkan acara sedemikian, namun dengan cara dan pendekatan yang sedikit berbeza untuk memberi kelainan dan identiti tempatan yang tersendiri seperti penganjuran Documenta di Kassel.

Penganjuran Venice Biennial bukan sahaja hanya sebuah penganjuran seni kontemporari, namun ia melangkaui kepada pemangkin industri budaya dan pelancongan yang menjana ekonomi sesebuah negara dalam menjual dan mempromosi nama negara mereka di mata dunia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: