MOTIF BUNGA...bunga sering menjadi tema pilihan.
PADA masa dahulu, masyarakat Melayu menggunakan ubi kentang sebagai alat pengecap, tetapi kini kain batik diusahakan menggunakan peralatan moden.
Peredaran masa turut mendorong ramai pereka muda yang memperjuang dan mempertahankan warisan batik ini serta menggunakan teknik terkini dalam pembuatannya.
Pereka muda, Rafizi Shari, 23, yang mendapat tempat kedua dalam Piala Seri Endon 2011, antara pereka muda dalam pembuatan batik menggunakan aplikasi semburan udara (air brush) dalam hasil karyanya.
“Saya melakukan kajian selama setahun sebelum menggunakan teknik semburan udara dalam pembuatan batik kerana nilai tradisional pada batik perlu dititikberatkan.
“Sebelum menggunakan teknik itu, saya perlu memastikan hasil diperoleh bukan saja bernilai daripada segi warna dan motifnya malah turut merangkumi nilai estetika yang tinggi,” katanya.
Rafizi yang menggunakan teknik semburan udara dalam pembuatan batik berbangga kerana tekniknya diiktiraf pakar dalam pertandingan Piala Seri Endon 2011.
Minat Rafizi dalam pembuatan batik bermula ketika mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) enam tahun lalu apabila dia melakukan tugasan itu atas tuntutan projek dan arahan guru.
“Semasa mengumpul material untuk melunaskan projek pada waktu itu, saya mula sedar batik banyak menggunakan motif tumbuhan dan alam sekitar dalam penghasilan coraknya.
“Saya mula tertarik dengan penghasilan batik kerana sumber idea untuk menghasilkan karyanya mudah dan boleh didapati di mana saja.
“Namun seperti penghasilan karya seni yang lain, seseorang itu memerlukan daya pemikiran kreatif untuk menghasilkan karya yang bagus,” katanya.
Rafizi yang bertugas sebagai pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kuala Terengganu, berkata sebagai seorang pereka muda dia sentiasa berusaha menarik minat rakan seusianya untuk bersama menghargai warisan batik.
Walaupun dia tahu ia tugasan yang sukar, Rafizi optimis mampu melakukannya dan percaya reka corak batik berjaya menarik perhatian golongan muda.
“Batik kini mendapat perhatian daripada pereka dalam dan luar negara. Ramai artis dan pereka dunia kini mula menggunakan batik dalam rekaan mereka.
“Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu mempertahankannya dan mungkin juga menggunakan pakaian yang mempunyai motif rekaan batik.
“Tugas sebagai pereka muda adalah memperbaharui rekaan sedia ada agar lebih sesuai pada zaman kini,” katanya.
Rafizi sentiasa mengingatkan dirinya dan pelajar supaya menjadikan batik sebagai identiti dan seni Melayu.
Identiti itu mesti dipertahankan agar masyarakat di seluruh dunia cenderung mengenal Malaysia dan budaya negara ini melalui batik.
Sebagai pereka, Rafizi perlu sentiasa mempunyai idea dan tidak boleh kehilangan ilham. Motif yang menarik dalam rekaan batik Rafizi ialah penggunaan motif bunga dalam setiap karyanya.
“Bunga selalu menjadi tema dalam batik saya. Jika dilihat gelagat orang bercinta, bunga dan manusia tidak dapat dipisahkan. Identiti bunga itu sendiri cantik sama ada daripada segi fizikal dan warna bunga itu.
“Dalam karya terbaru saya, bunga kemboja menjadi pilihan,” katanya.
Tugas sebagai seorang pensyarah tidak sedikit pun menghalang Rafizi untuk berkarya kerana baginya, untuk menghasilkan batik dia hanya perlu tempat yang lapang dan selesa.
“Masa untuk menghasilkan batik berbeza mengikut rekaan asal. Rekaan yang mudah dan ringkas dapat disiapkan dalam kuantiti yang banyak dalam sehari (sekurang-kurangnya lapan meter).
“Berbeza dengan rekaan yang agak rumit, ia memerlukan masa lebih untuk disiapkan,” katanya.
Menurutnya, sebagai pereka, tempat untuk mendapatkan ilham bergantung kepada setiap individu. Baginya, dia lebih suka berada di persekitaran yang ramai orang serta mudah mendapat bahan seperti kedai buku dan majalah.
“Untuk menghasilkan karya dalam cantingan batik, saya sentiasa pergi ke taman untuk melihat reaksi manusia, alam semula jadi dan interaksi antara kedua-dua aspek berkenaan.
“Setiap warna, motif, cantingan dan corak yang digunakan perlu membawa makna yang mendalam, bukan saja kepada pereka malah orang yang melihatnya,” katanya.
Rafizi yang turut meminati bidang rekaan baju berkata, cabaran paling besar adalah untuk menyuntik elemen batik dalam rekaan baju.
Setiap rekaan batik Rafizi berbeza untuk setiap baju, bertujuan memperlihatkan kepelbagaian dalam koleksi.
Menurutnya, setiap pereka mempunyai idea tersendiri dan menjadi kebanggaan apabila rekaan itu menjadi trend dan diikuti pereka batik yang lain.
“Pereka baju selalunya mementingkan material kain dan warna. Sebagai seorang pereka baju dan memperjuangkan seni kreatif batik, cabaran saya adalah untuk memastikan baju yang direka tidak terlalu sarat dengan motif dan corak batik.
“Malah saya juga perlu mengetahui saiz model yang bakal memperagakan pakaian saya supaya dia mampu menghidupkan setiap tumbuhan yang terdapat dalam rekaan pakaian berkenaan,” katanya.
Berbicara mengenai masa hadapan, Rafizi mahu rekaan batiknya ini dikenali di seluruh Malaysia dan di peringkat antarabangsa sekali gus berharap dapat menjadikan minatnya itu sebagai sumber pendapatan.
“Saya selalu memegang prinsip roh, berangan-angan dahulu nanti jasadnya ikut, tetapi angan-angan tanpa usaha hanyalah kerja sia-sia,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: