Tubuh jawatankuasa tangani eksport sarang burung ke China

Satu jawatankuasa bersama dibentuk, antara Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan Bahagian Pentadbiran Kualiti, Pemeriksaan dan Kuarantin (AQSIQ) dari China bagi menangani masalah berkaitan pemasaran sarang burung walit dari Malaysia ke negara itu.

Ketua Pengarah Perkhid­ma­tan Veterinar, Datuk Dr Abdul Aziz Jamaluddin ber kata, melalui jawatankuasa itu kedua-dua pihak akan berbincang dan bertukar maklumat termasuk mengenai senarai pengeksport sarang burung walit dari negara ini, dalam usaha memulihkan kembali pemberhentian pengimportan­ sarang burung dari negara ini baru-baru ini.

“Kita diminta oleh kerajaan China untuk membentuk protokol bagi menga­tur pengim­portan sarang burung walit dan kita akan berbincang dengan Kementerian Kesihatan berhubung perkara ini.

“Kementerian Kesihatan juga sudah sediakan piawai dipersetujui bersama dengan rakan sejawat mereka dari China dan mereka akan membuat pengumuman mengenainya sedikit masa lagi. Piawai itu kemudian akan diserah kepada kita untuk dilaksana,” katanya.

Abdul Aziz berkata sebaik piawai itu disiapkan, kesemua pengeluar dan pemproses sarang burung walit di negara ini diwajibkan mematuhi syarat itu.