Saturday, January 7, 2012

Tekanan putus tunang

SAYA Azilah (bukan nama sebenar) berusia 22 tahun. Saya ingin memohon pandangan dan nasihat daripada Puan berkaitan konflik dan tekanan yang saya alami sekarang ini. Saya sebenarnya baru putus tunang kira-kira lima bulan yang lalu. Sikap tunang yang tiada komitmen dan curang di belakang saya membuatkan saya tekad untuk memutuskan pertunangan ini, walaupun tarikh kami akan disatukan tidak lama lagi.

Walaupun kenyataan ini sangat perit untuk saya telan tetapi saya yakin inilah yang terbaik kerana saya tidak mahu dibohongi lagi. Saat saya bersedih, tidak terurus dan kecewa, hadir seseorang yang sudi mendengar permasalahan saya ini. Hubungan kenalan lama yang hanya bermula dengan sapaan di facebook membuatkan hati terhibur dan hilang seketika dengan ribut yang sedang melanda.

Baru-baru ini, beliau ada menyuarakan isi hatinya pada saya tetapi saya sendiri tidak pasti apakah sebenarnya yang saya mahu daripada persahabatan ini. Secara jujur, pengalaman meletakkan kesetiaan yang tinggi akhirnya dikhianati membuatkan saya takut untuk memulakan cinta kembali walaupun terkadang terdetik juga di hati ingin bahagia dan dicintai. Tolong saya Puan, apakah yang harus saya lakukan.

Azilah

Pasir Gudang

TERIMA kasih Azilah kerana sudi berkongsi masalah dan menghantar e-mel kepada saya. Bertemu dan berpisah adalah adat di dalam kehidupan ini, cuma yang membezakannya di mana, bila dan bagaimana. Begitu jugalah rencana kehidupan Azilah untuk 2011 yang lalu di mana Azilah diuji dengan perpisahan dan putus tunang. Sememangnya tidak mudah untuk melewati pengalaman dilukai , dikhianati dan disakiti apatah lagi apabila kepercayaan, kesetiaan dan harapan yang diletakkan cukup tinggi. Namun Azilah yakinlah di sebalik kesuraman perjalanan yang ditempuhi ini sebenarnya terselindung seribu hikmah yang sangat berharga daripada Ilahi. Pastinya ada pengajaran yang sangat bermakna yang mampu untuk Azilah kutip di sebalik ujian ini.

Ketahuilah Azilah, sesungguhnya Allah itu tidak membebani hambanya melampaui kemampuan diri hambanya. Cara yang terbaik untuk bangkit, sembuh dan kembali bahagia sebenarnya cukup mudah iaitu pertama Azilah perlu mulai dengan memaafkan bekas tunang Azilah yang telah mengkhianati Azilah. Seringkali ramai di kalangan kita yang terlepas pandang sesungguhnya kunci kebahagiaan diri yang cukup mudah adalah memaafkan.

Insya-Allah dengan jalan kemaafan, Azilah akan temui kekuatan diri yang lebih hebat dan luar biasa. Kemampuan untuk memaafkan secara tidak langsung mampu menerobos sempadan diri yang selama ini Azilah sendiri yang membataskannya, hanya gara-gara larut di dalam kekecewaan. Bukankah tidak adil untuk insan yang begitu istimewa seperti Azilah yang hidupnya diuntukkan bermuram durja, kecewa dan marah untuk episod silam yang sudahpun menjadi sejarah.

Dan yang lebih utama dari itu juga seharusnya Azilah sendiri turut belajar dan berusaha untuk Azilah memaafkan diri Azilah sendiri kerana kealpaan, kelalaian, kepercayaan, kesetiaan dan kenaifan yang Azilah sandarkan dalam hubungan tersebut dikhianati. Malah sebagai Muslim, pastinya jadikanlah Allah SWT tempat sebaik-baik untuk mengadu, meminta pertolongan dan meletakkan sandaran cinta kerana Dialah Tuhan Yang Satu, cukup hebat mentadbir alam dan isi kandungannya. Mudah-mudahan segala kesedihan dan kedukaan dapat dilupuskan dengan mudah, harmoni dan bahagia.

Insya-Allah lebih pantas Azilah sembuh, reda, sabar dan ikhlas melewati ujian kekecewaan ini, insya-Allah lebih cepat juga akan dihadirkan pengganti yang mampu mengisi kekosongan hati. Sesungguhnya Allah itu tidak pernah zalim. Lihat sahaja kehebatan kasih Allah yang berada di sekeliling Azilah, keluarga dan sahabat yang selalu ada di sisi mendoa dan mengharapkan kebaikan, kesejahteraan, kesembuhan dan kebahagiaan Azilah. Mudah-mudahan dengan doa mereka yang ikhlas ini juga, Azilah akan bertemu suami impian yang diharap-harapkan. Insya-Allah barulah lebih bermakna kehidupan yang dijalani, nak dapatkan yang terbaik pastinya perlu lalui ujian.

Dan kali ini sebelum membuat keputusan rujuk Allah dengan istikharah, mudah-mudahan pimpinan Allah akan menunjukkan yang terbaik untuk Azilah.

Semoga berbahagia, terhibur dan bersyukur atas perhatian dan kasih Allah!

Salam Rahmat

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: