CHAN (tiga dari kanan) menerima trofi kemenangan yang disampaikan oleh Yen Yen pada Malam Gala Anugerah Pelancongan Malaysia 2010/2011 di ibu negara baru-baru ini. |
KEHADIRAN pusat beli-belah Sunway Pyramid bukanlah sesuatu yang asing bagi penduduk-penduduk di sekitar Lembah Klang dan daerah Subang Jaya, khususnya.
Dengan keluasan lebih 371,612 meter persegi dengan 800 kedai keseluruhan, kompleks yang diinspirasikan daripada tamadun Mesir kuno, piramid dan patung Sphinx itu terus menjadi tumpuan pengunjung dari dalam dan luar negara.
Diiktiraf sebagai pusat beli-belah dan pusat hiburan bertema pertama di Malaysia, tidak hairanlah Sunway Pyramid terus mekar bukan sahaja sebagai destinasi beli-belah utama malah antara ikon pelancongan popular di negara ini.
Kecemerlangan Sunway Pyramid terus mendapat pengiktirafan pelbagai pihak termasuk Kementerian Pelancongan.
Terbaru, ia telah dinobatkan sebagai juara bagi kategori Pusat Beli-Belah Inovatif dengan mengalahkan lima pesaing lain dalam majlis Anugerah Pelancongan Malaysia Ke-17.
Anugerah itu disampaikan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Ng Yen Yen pada Malam Gala Anugerah Pelancongan Malaysia 2010/2011 yang diadakan di ibu negara baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Pyramid, HC Chan berkata, pihaknya berbangga atas pengiktirafan tertinggi yang diberikan terutama sebagai antara penyumbang cemerlang dalam memacu sektor pelancongan negara.
“Selama ini kami telah berusaha keras untuk memastikan Sunway Piramid menjadi sebuah destinasi beli-belah bertaraf dunia.
“Anugerah ini membuktikan segala usaha yang dilakukan berhasil dan turut mendapat perhatian pihak kementerian,” katanya.
Majlis makan malam itu turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Haminah Hamidun.
Tambah Chan, anugerah itu merupakan pengiktirafan ke-33 yang diperolehi Sunway Pyramid sejak ia beroperasi kira-kira 14 tahun yang lalu.
Cabaran kementerian
![]() |
| SELEPAS lebih 14 tahun beroperasi Sunway Pyramid terus gah dengan pelbagai perubahan sekali gus menjadikannya destinasi membeli-belah utama di negara ini. |
Sementara itu, Yen Yen dalam ucapannya menjelaskan bahawa industri pelancongan negara memperoleh nilai pendapatan sebanyak RM56.5 bilion pada tahun lalu dan menyasarkan nilai pendapatan tiga kali ganda pada tahun 2020 nanti.
Mengulas mengenainya, Chan berkata sasaran yang diletakkan kementerian merupakan satu cabaran kepada pihak yang terbabit dalam industri peruncitan negara.
“Sasaran itu boleh dicapai melalui pelbagai langkah inovasi dan kreatif yang dilakukan oleh pihak dalam industri ini.
“Sebagai contoh, kedudukan Sunway Pyramid sebagai pusat beli-belah bertema pertama di Malaysia bukan sahaja menarik pengunjung di sekitar Lembah Klang malah dari seluruh negara.
“Pada masa yang sama, pada musim-musim tertentu, kami juga menerima kunjungan pengunjung dari Asia Barat, Singapura, Indonesia, Jepun, China, Australia dan dari Eropah,” ujarnya.
Jelasnya, Bandar Sunway kini dikenali sebagai Sunway Integrated Resort City (SIRC) merangkumi beberapa elemen seperti kawasan kediaman, pendidikan, hospitaliti, kesihatan dan destinasi beli-belah.
“Setiap elemen berkenaan mempunyai potensi yang kukuh dalam menarik pengunjung dari seluruh dunia dan Sunway Pyramid pasti mempunyai kedudukan tinggi dalam senarai itu.
“Secara umumnya, Sunway Pyramid dan SIRC telah memainkan peranan yang agak penting dalam menarik pelancong yang datang ke Malaysia untuk melawat Subang Jaya dan ibu negara, amnya,” katanya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: