Thursday, January 19, 2012

Solekan hanya tutup cela

GANDINGAN...Syaiful (dua dari kiri), Norizatul Akma (tengah) dan Jesie (dua dari kanan) diapit model pada majlis pelancaran Beautiful Bride AsterSpring dan Dermalogica, baru-baru ini.
GANDINGAN...Syaiful (dua dari kiri), Norizatul Akma (tengah) dan Jesie (dua dari kanan) diapit model pada majlis pelancaran Beautiful Bride AsterSpring dan Dermalogica, baru-baru ini.

KESERIAN mempelai pada hari perkahwinan bukan hanya terserlah menerusi warna solekan pada wajah, apa yang penting adalah penampilan sihat yang akan menonjolkan lagi keanggunan ratu sehari.

Ini kerana mekap hanya langkah menutup cela dan menonjolkan sesetengah ciri wajah, namun kulit berseri dari dalam hanya mampu diperoleh menerusi kesejahteraan menyeluruh.

  • Foto

    MENYERLAH...kulit berseri akan membuatkan solekan kekal menawan sepanjang hari.

  • Foto

Menurut Pengurus Pendidikan Kumpulan Dermalogica Malaysia, Jesie Hong, setiap pengantin berhak tampil cantik dan anggun pada hari perkahwinan mereka. Namun, tiada jalan pintas untuk kelihatan cantik kerana rawatan harus dimulakan tiga bulan menjelang perkahwinan.

“Menggunakan empat rawatan muka, mereka akan kelihatan menawan tatkala wajah disolek. Begitu juga dengan rawatan badan Exfoliation yang mampu menanggalkan sel kulit mati sekali gus menjadikan kulit lebih bermaya, lembut dan licin bak sutera.


“Kulit kering juga boleh dipulihkan dengan gabungan tumbuhan aromatik yang penuh khasiat dalam salutan badan Hydrasilk, yang akan menjadikan kulit lembut dan lebih muda manakala bagi mempelai yang mengalami tekanan dalam merancang majlis perkahwinan, mereka boleh mencuba rawatan badan aromaterapi, menjadikan badan lebih ringan dan bertenaga,” katanya.


Menyedari kehendak wanita masa kini yang ingin tampil berseri menjelang hari perkahwinan, AsterSpring dan Dermalogica menyediakan pakej Beautiful Bride yang menekankan rawatan lengkap badan dan wajah dengan 15 produk semula jadi tanpa memudaratkan kulit.

Produk penjagaan Dermalogica lain yang terdapat dalam pakej Beautiful Bride ini adalah Silk Finish Conditioner, Shine Therapy Shampoo, Body Hydrating Cream, Conditioning Body Wash, Skin Renewal Booster, Skin Hydrating Booster dan Daily Microfoliant.

Memandangkan kosmetik dan fesyen saling berhubung dan menjadi perkara utama yang akan melancarkan perjalanan majlis perkahwinan, pelancaran pakej Beautiful Bride turut menjemput jurusolek Norizatul Akma Rohizat atau lebih dikenali dengan Emma daripada Emma Pesona Studio serta pereka busana, Syaiful Ibrahim yang turut berkongsi panduan mendapatkan solekan sempurna serta pakaian menawan.

Menurut Emma, mempelai yang memiliki kulit sekata dan licin akan menyempurnakan lagi tugas solekan. Ini kerana mekap hanya boleh menyembunyikan cela tetapi terlalu banyak produk solekan pada wajah akan menjadikan kecantikan nampak palsu.

“Sesetengah cela kulit juga akan nampak jelas di dalam gambar kerana cahaya kamera tidak mampu menyembunyikannya. Bagaimanapun, sekiranya kulit pengantin sihat, licin dan memiliki ton sekata, gabungan warna yang betul serta teknik sapuan yang minimum mampu menjadikan mempelai seorang bintang pada hari bahagia mereka,” katanya.

Bagi Syaiful pula, untuk tampil menawan pada hari perkahwinan mempelai perlu bijak memilih busana serta saling melengkapi kulit dan bentuk badan mereka. Justeru, pentingnya bakal pengantin menjaga kulit kerana gaun pengantin selalunya mendedahkan tubuh badan mereka. Sekiranya kulit kusam dan tidak bermaya, ini akan menjejaskan penampilan sebagai raja sehari.

Tambahnya, gaya terkini rekaan pakaian pengantin menjelang 2012 adalah lebih kepada gaya selebriti serta pasangan diraja.

“Oleh sebab itu, kebanyakan wanita inginkan pakaian mereka seanggun Kate Middleton atau selebriti Malaysia seperti Maya Karin terutama daripada segi potongan, warna serta fabrik digunakan,” katanya.

Apa yang penting dalam merencana pakaian pengantin, mempelai dan pereka fesyen harus berbincang bagi mendapatkan pakaian sempurna sesuai dengan penampilan mempelai.

Untuk pakej Beautiful Bride, ia boleh didapati pada harga RM1,888 untuk tempoh terhad bermula Januari sehingga Jun 2012. Untuk maklumat lanjut lawati kaunter AsterSpring di semua pusat beli-belah utama atau layari laman sesawang www.asterspring.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: