|
TATKALA guruh berdentum di langit diiringi hujan lebat, Razak Sallehudin, 46, sudah dapat meramal bakal berdepan saat-saat sibuk tambahan pula cuaca buruk itu disertai angin kencang.
Selang beberapa minit, telahan Razak menjadi benar apabila Pembantu Peribadi Digital (PDA) jenama Motorola miliknya mengeluarkan laporan aduan berlaku bekalan elektrik terputus.
Pantas dia beserta dua orang ahli skuadnya atau lebih dikenali sebagai Fault Finder menyarung uniform berwarna jingga dan menuju ke lokasi terbabit.
Sudah menjadi kelaziman, setiap kali musim hujan aduan seperti itu pasti akan diterima. Kadangkala hujan ribut menyebabkan dahan-dahan pokok patah lalu mengenai kabel pembahagi elektrik.
Jika aduan yang diterima daripada penghuni rumah teres, Razak sudah boleh mengagak punca kerosakan berpunca daripada sistem pendawaian wayar neutral yang lemah ketika kerja-kerja pengubahsuaian dilakukan.
Tetapi, pemeriksaan masih perlu dilakukan bagi memastikan sebab utama elektrik terputus atau berlaku lebihan tenaga elektrik.
Periksa meter
Sampai sahaja di rumah pengadu, pemegang Sijil Kebenaran Mengendali Elektrik (AC) bawah 1,000 voltan itu akan memeriksa terlebih dahulu meter di hadapan rumah.
“Kami tidak akan memasuki rumah pelanggan dan akan melakukan perkara demikian jika dibenarkan sahaja,” katanya yang ditemui di Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Perkara yang diperiksa adalah tiga dawai hidup bekalan elektrik. Jika tiada kerosakan, kabel pembahagi elektrik ke rumah diteliti sehingga ke pencawang elektrik. Selain itu, dahan-dahan pokok yang mengenai kabel akan dipotong.
Tambahnya, kalau masih tidak menemui sebarang kerosakan, dia akan menyerahkan tugas seterusnya kepada skuad lain yang mempunyai AC bawah 33,000 voltan bagi memeriksa pencawang elektrik manakala bagi kes-kes khas pula, ia disalurkan terus ke Flying Squad atau Bypass Squad.
“Setiap laporan sama ada berjaya dibaiki atau memerlukan bantuan skuad lain, perincian perlu diberikan kepada ibu pejabat melalui PDA,” ujar lelaki yang bekerja dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) sejak tahun 1995.
Setiap aduan yang diterima melalui panggilan telefon 15454 dihubung kepada Pusat Pengurusan Bekalan Kuala Lumpur (Bahagian Pembahagian) yang akan dijawab oleh sekumpulan telefonis.
Aduan yang diterima akan dicatat seperti nama, alamat dan kerosakan. Semua data tersebut akan dimasukkan ke dalam sistem dan terus ke PDA skuad.
Jadi, dari segi penggunaan masa untuk menghubungi skuad dapat dikurangkan dan pemberitahuan maklumat menjadi lebih tepat.

Namun, masalah akan timbul apabila anggota skuad sistem Mobile Field Force Automation (MFFA) menerima alamat yang salah terutama melibatkan rumah-rumah di tanah persendirian. Ia bukan saja mendatangkan kesusahan kepada mereka, malah boleh mengundang kemarahan pengguna.
Bagi Suhaimi Mohd. Mokhtar, 39, dia telah lali dengan kata-kata berbaur sindiran daripada pelanggan. Paling penting adalah untuk memastikan setiap pengguna di Kuala Lumpur mendapat bekalan elektrik.
Terdapat juga situasi bekalan terputus di sesebuah premis disebabkan oleh suis Pemutus Litar Kebocoran Bumi (ELCB) tidak dihidupkan semula selepas trip.
Malah, tanggapan stereotaip orang ramai apabila melihat wayar itu adalah tanggungjawab TNB sudah menjadi kebiasaan. Walhal, lampu-lampu di bahu jalan bukan semuanya di bawah tanggungjawab mereka.
Bagaimanapun, Suhaimi yang telah bekerja di TNB selama dua dekad mengakui sepanjang sembilan tahun menjadi skuad motosikal, pasti berlaku kelewatan untuk sampai ke lokasi kerosakan.
“Apabila menerima aduan pada waktu petang, kami kerap terperangkap dalam kesesakan lalu lintas, malah perlu meredah hujan sekali,” tuturnya ringkas kepada Kosmo!
Bilangan aduan yang diterima masuk ke dalam PDA juga memungkinkan berlaku kelewatan terutama melibatkan dua aduan di lokasi pada jarak yang jauh.
Selain itu, tiada kerjasama penduduk setempat untuk memberi aduan jika berlaku kes-kes kecurian bekalan elektrik turut memberi kesan besar kepada masyarakat sekeliling.
Sebagai contoh, kejadian yang berlaku pada tahun lalu menyaksikan lebih 200 penduduk di Taman Mutiara, Kulim, Kedah bergelap selepas berlaku lebihan elektrik.
Bukan setakat itu, Razak dan Suhaimi turut berkorban kegembiraan pada Hari Raya Aidilfitri semata-mata tidak mahu ada warga Kuala Lumpur yang bergelap.
Sistem perintis
Menariknya, ujar Suhaimi, aduan yang diterima ketika waktu-waktu sebegitu sangat kurang berbanding hari-hari biasa.
“Barangkali, ramai warga kota pulang ke kampung,” katanya yang mendapat AC dari Institut Latihan Sultan Ahmad Shah (ILSAS), Bangi, Selangor.
Di bawah sistem MFFA, sebanyak 40 buah kumpulan sentiasa bersiap sedia menerima aduan daripada pengguna di Kuala Lumpur selama 24 jam sehari. Mereka terbahagi kepada empat skuad iaitu Fault Finder (skuad van), skuad motosikal, Flying squad dan Bypass squad.
![]() |
| SEBAIK menerima arahan melalui PDA, Suhaimi (kiri) bergegas ke tempat aduan untuk meneliti kerosakan. |
Dengan jumlah pekerja seramai 165 orang, setiap skuad mempunyai fungsi masing-masing. Paling ramai adalah skuad van iaitu 120 orang, skuad motosikal dianggotai 20 orang, Flying squad (10 orang) dan enam orang untuk Bypass squad. Selebihnya, bertugas di ibu pejabat.
Jurutera Kanan, Pusat Pengurusan Bekalan Kuala Lumpur (Bahagian Pembahagian), Roshimee Mustapha, 39, berkata, ahli skuad bekerja mengikut giliran yang sedikit berbeza berbanding waktu pekerja yang bertugas di ibu pejabat walaupun kedua-duanya beroperasi 24 jam.
“Perkara tersebut adalah untuk mengelakkan berlaku kes-kes pekerja terperangkap dalam kesesakan lalu lintas dan aduan diterima pada masa yang sama,” terangnya.
Jadual giliran pekerja yang bertugas di pejabat terbahagi pada tiga dalam sehari iaitu dari pukul 8 pagi hingga 4 petang, 4 petang hingga 12 tengah malam dan 12 tengah malam hingga 8 pagi keesokan harinya.
Pada bahagian teknikal pula, waktu giliran bermula pada pukul 7 pagi hingga 3 petang diikuti 3 petang hingga 11 malam dan 11 malam ke 7 pagi keesokannya.
Sistem perintis yang dimulakan di Kuala Lumpur itu memerlukan seramai 58 orang bekerja pada satu-satu waktu giliran.
Jika tiada sebarang aduan diterima, ahli skuad akan bersiap sedia di ibu pejabat atau melakukan tinjauan di seluruh Kuala Lumpur untuk melihat kerosakan yang mungkin berlaku.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: