Setem warisan tenun perkenalkan Malaysia

Pos Malaysia optimis capai sasaran jualan 1.5 juta keping setem dan filateli koleksi terbaru berasaskan warisan tenunan dalam tempoh tiga bulan, selepas mula dijual kepada umum mulai esok.

Ketua Bahagian Setem dan Filatelinya, Yasmin Ramli berkata, setiap koleksi didatangkan dengan lima jenis warisan tenunan edisi terhad termasuk songket, cindai, kain sutera cina, broked, pua kumbu dan magavol.

“Setiap koleksi dicetak 300,000 keping. Kebiasaannya, koleksi setem dikeluarkan Pos Malaysia sering mendapat sambutan menggalakkan dari pada pengumpul setem.

“Setem ini boleh dibeli di mana-mana pejabat pos di seluruh negara. Malah, pengumpul juga boleh membeli dari pengedar di luar Malaysia seperti di Australia, Thailand, India dan Jepun,” katanya ketika pelancaran di Kuala Lumpur, semalam.


Menurutnya, tema warisan­ tenunan dipilih kerana ia tidak pernah dicetak dalam bentuk setem sebelum ini.

“Warisan tenunan perlulah dicetak dan dipaparkan sebagai menghargai kesenian negara kepada dunia lain. Ini kerana, sesetengah negara tidak mempunyai warisan tenunan.

“Selain mengetengahkan warisan zaman, pengenalan koleksi terbaru itu juga bertujuan memaparkan hasil tenunan yang digunakan oleh pelbagai kaum di negara ini,” katanya.

Setiap koleksi tenunan tradisional mempunyai bernilai 60 sen setiap satu. Selain itu, Pos Malaysia turut memperkenalkan Sampul Surat Hari Pertama dan Lembaran Mini edisi terhad.

Beliau berkata, Sampul Surat Hari Pertama yang berharga 50 sen dicetak sebanyak 30,000 keping, dan Pos Malaysia menyasarkan ia akan habis dijual dalam masa sehari. Manakala, Lembaran Mini dengan cetakan panas dihasilkan untuk memeriahkan sambutan Tahun Baru Cina pada tahun ini.