MESKIPUN hampir dua jam jenuh mencari arah ke Rumah Anak-Anak Yatim Siti Khadijah, Meru, Klang penulis sedikit pun tidak mendengus. Melihat wajah anak-anak yatim itu menerbitkan rasa penuh kesyahduan.
Kata seorang kanak-kanak yang enggan menyebut namanya sendiri, dia belum ada beg, alat tulis dan buku lagi. Ujarnya sambil menyorok mukanya di sebalik kerusi: "Ayah dan mak dah jumpa Tuhan, tiada siapa yang nak belikan untuk kita."
Konsonan kata-kata yang diaturnya secara spontan begitu menghiris kalbu. Raut wajahnya yang mendamaikan membuatkan penulis ingin mendakap erat dirinya. Namun, dia terus lari dan hilang daripada pandangan.
Sememangnya cerita di sebalik rumah anak-anak yatim lazimnya terkait dengan kisah dan momen yang meruntun jiwa. Ya, bila difikirkan semula, takdir dan ketentuan kehidupan kita ditulis oleh-Nya.
Berada di sana untuk satu tempoh yang singkat, menemukan penulis dengan Ansar Ghasang, 18. Bahtera kehidupan Ansar meniti jalan yang cukup berliku dan sinikal.
Dia kehilangan ayah tercinta sejak dia masih kecil. Dunianya menjadi semakin gelap-gelita apabila ibu tersayang menghembuskan nafas terakhir enam tahun lalu.
Ansar buntu. Di relung fikirannya terbayangkan bagaimana dia harus meneruskan kelangsungan kehidupan yang penuh ranjau ini? Lebih-lebih lagi ketika itu, dia masih berusia 13 tahun. Tiga orang adiknya masih kecil-kecil lagi.
Langit tidak selalunya mendung. Pertemuan Ansar bersama Hasnah Bahari dari Rumah Anak-Anak Yatim Siti Khadijah bagaikan satu rahmat kepadanya.
"Lepas jumpa ustazah Hasnah, kami dijaga sebaiknya, makan, minum, pakai semua dia yang jaga, Alhamdullillah," kata calon Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dengan nada suara penuh tertib.
Bantuan YSM
Pada hari pertemuan itu, Ansar tampak ceria. Dia senyum meleret setelah menerima sumbangan berupa beg sekolah dan alat tulis dari Yayasan Sayang Mutiara (YSM).
"Ya, ada yang masih prihatin dengan nasib kami, syukur bukan saya sahaja malah, anak-anak di rumah ini juga akan ke sekolah dengan hati yang girang. Betul, setiap apa yang berlaku pasti ada rahmatnya, terima kasih kepada YSM," kata Ansar berbicara matang.
Kanak-kanak lain seperti Zulkifli Zulinasar, 8; Nurin Rohadatul Rasidi, 11; dan kanak-kanak kurang upaya Norsyamira Ramzi, 11 turut gembira dengan pemberian itu.
Kata mereka, sumbangan itu membolehkan mereka belajar dengan sempurna.
Bersempena dengan bermulanya detik persekolahan di tahun baharu, YSM bertindak menyumbang kelengkapan sekolah kepada 125 penghuni Rumah Anak-Anak Yatim Siti Khadijah.
Semua sumbangan disampaikan oleh Pengerusinya, Datuk Ahmad Kemin.
Program tahunan YSM
Menurut Pegawai Operasinya, Mohd. Awee Sidek, YSM yang ditubuhkan pada tahun 2009 adalah bertujuan untuk mengurus dan menyelaraskan aktiviti kebajikan selain memberi tumpuan kepada aspek pendidikan dan pembangunan masyarakat.
"Ini (sumbangan di Rumah Anak-Anak Yatim Siti Khadijah) adalah kesinambungan daripada Program Jom Ke Sekolah anjuran YSM selepas daerah Johor Bharu, sebenarnya kerja-kerja kebajikan kita tak terbatas setakat di Johor sahaja tetapi, melewati ke tempat-tempat lain juga," katanya.
Menariknya lagi tentang YSM, yayasan ini pada setiap tahun akan menganjurkan program tahunan menghargai pelajar luar bandar yang cemerlang pada peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
"Pelajar-pelajar tersebut akan dipilih di 10 daerah dalam negeri Johor dan bagi merealisasikannya, YSM bekerjasama erat dengan Jabatan Pelajaran Negeri Johor," jelasnya lagi.
Dalam pada itu, selaku Pengerusi YSM, Ahmad berkata, besarlah harapan pihaknya agar sumbangan itu akan membakar lagi semangat penghuni rumah itu untuk belajar dengan bersungguh-sungguh.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: