KENANGAN...penulis (kiri) bersama wakil media dari Malaysia dan pengurusan Naza Kia.
SUHU dingin mencecah hingga tiga darjah Celsius menyambut penulis bersama tujuh lagi ahli rombongan sewaktu menjejakkan kaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Korea Selatan, baru-baru ini.
Walaupun sejuk, ternyata ia tidak mampu mengubah perasaan gembira di hati sebaik selamat sampai ke negara yang terkenal dengan jolokan ‘negara ginseng’ dan selepas penat melayani kebosanan hampir lapan jam berada dalam perut kapal terbang.
Sebenarnya ini lawatan kedua penulis ke Korea, bezanya sewaktu kali pertama dulu penulis mengikuti rombongan percutian yang diadakan syarikat tetapi kali ini pula atas urusan tugas.
Tugasnya pula adalah memandu uji kenderaan Kia Rio versi baru yang dilancarkan syarikat permotoran antarabangsa Kia Motors, yang sememangnya bukan nama asing dalam arena permotoran dunia.Dalam sesi pandu uji ini, penulis bersama 50 wakil media daripada 12 negara iaitu Brunei, Afrika Selatan, Jordan, Tunisia, Arab Saudi, Kuwait, Filipina, Qatar, Emiriah Arab Bersatu, Iraq dan Israel serta Malaysia diberi peluang melakukan pandu uji Kia Rio yang diberi suntikan dan nafas baru.
Sesi pandu uji itu sengaja dibuat dalam musim sejuk bagi menguji ketahanan dan keupayaan model berkenaan dalam mengharungi keadaan cuaca yang berbeza.
Bagi yang tidak tahu, Korea sebenarnya negara dua musim dan bukan empat musim sebagaimana negara lain yang mempunyai musim sejuk, panas, bunga dan luruh.
Ini sebagaimana dinyatakan pemandu pelancong, Jenny, yang ditugaskan membawa kumpulan kami sepanjang di sana.
Menurutnya, kebanyakan pelancong luar beranggapan Korea sama seperti negara Zon Sederhana Sejuk yang lain, tetapi sebenarnya tidak ada istilah musim luruh atau bunga di sana.
Ini kerana musim luruh berlaku sepanjang musim sejuk manakala musim bunga pula berlaku sepanjang musim panas.
Oleh kerana tugas penulis pada waktu itu untuk memandu uji ‘jentera’ Kia versi yang diperbaharui, sememangnya tidak ada istilah melawat tempat menarik dalam jadual kami.
Kami hanya mengikuti lawatan ke Pusat Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Kia Motors di Hamyang, selain singgah di beberapa tempat sebagai ‘check point’ sewaktu pandu uji.
Namun, perkara pertama yang kami dapat pastikan, rakyat Korea sememangnya mementingkan penampilan diri, kesihatan dan kecantikan.
Jadi, sewaktu mula-mula melangkah masuk ke Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Kia Motors, kami kehairanan sebaik melihat deretan kebun sayur yang menghijau.
Menurut Jenny, menjadi kelaziman masyarakat Korea untuk menanam sayuran segar.
Bukan saja di belakang rumah penduduk, sebaliknya kerajaan Korea menggalakkan setiap jabatan kerajaan atau syarikat besar yang mempunyai lebihan tanah tidak digunakan untuk ditanam pokok atau tumbuhan hijau.
Disebabkan mereka mementingkan soal kesihatan dan kecantikan luaran mahupun dalaman, tanaman sayuran antara landskap yang banyak menghiasi muka bumi rumah penduduk di sana.
Malah, jika melalui rumah penduduk di sekitar bandar di Korea, pasti akan terlihat pasu kecil yang ditanam pokok bunga atau tumbuhan seperti sayur sawi di kebanyakan balkoni rumah mereka.
“Sebenarnya ini bukan saja menyentuh soal penjagaan kesihatan dan kecantikan semata-mata, sebaliknya menjadi amalan penduduk Korea sejak sekian lama.
“Walaupun sayuran segar boleh didapati dengan mudah di pasar basah, kedai runcit atau pasar raya, kami lebih suka menanamnya sendiri kerana ia lebih segar. Jika nak makan, petik saja,” katanya.
Malah, katanya, Korea paling banyak mempunyai klinik serta pusat kecantikan dan kesihatan berbanding negara lain. Jadi, jangan terkejut melihat ada pusat kecantikan atau spa yang bukan saja bagi memberi perkhidmatan kepada wanita, sebaliknya banyak juga yang hanya dikhaskan untuk lelaki.
Bukan melayani nafsu lelaki hidung belang, sebaliknya setiap pusat kecantikan berkenaan memang menawarkan khidmat pengurusan kesihatan serta rawatan kecantikan.
Kerana itu juga lelaki di Korea lebih terkenal sebagai ‘metroseksual’ berbanding lelaki lain di dunia kerana mereka menjaga soal penampilan diri serta kecantikan tubuh.
Itu mengenai penampilan masyarakat, mengenai sikap masyarakat di Korea juga, ia memang patut dipuji serta dijadikan contoh.
Sepanjang kami melakukan pandu uji menyusuri jalan kampung serta lebuh raya dari Seoul menuju ke Incheon sebelum berpatah balik ke Seoul sejauh hampir 200 kilometer, sikap yang boleh dipuji mengenai masyarakatnya adalah mereka mematuhi peraturan lalu lintas dan undang-undang jalan raya.
Oleh kerana kami berada dalam konvoi sebanyak 30 kenderaan, ada ketikanya kami terpaksa menyelit dalam kesesakan jalan raya bagi mengelakkan terpisah.
Walaupun dibekalkan alat pengesan kedudukan global (GPS) yang ditetapkan ke destinasi ditujui, tetapi kerana takut ketinggalan atau mengalami kesukaran, ramai antara kami terpaksa menyelit dan memotong barisan dalam kesesakan jalan.
Namun, penulis ‘tabik’ kepada pengguna jalan raya di Korea kerana tidak sedikit pun marah, sebaliknya memberi laluan sebaik melihat kami berada dalam satu konvoi. Kalau di negara kita, kalau tak bergaduh, paling tidak pun pastinya kedengaran bunyi hon bertalu-talu.
Mengikuti konvoi di Korea juga bukan masalah. Walaupun pada awalnya penulis risau kerana ini kali pertama memandu di luar negara, ditambah dengan sistem pemanduan berbeza kerana Korea mengamalkan sistem pemanduan sebelah kiri, masalah itu lenyap sebaik berada di jalan raya.
Menurut petugas Kia Motors, jika di Korea, sebarang konvoi rasmi tidak memerlukan polis trafik pengiring bagi membantu melicinkan perjalanan. Polis trafik pengiring hanya diperlukan untuk urusan rasmi jabatan kerajaan dan terhad kepada individu kedudukan tinggi seperti menteri dan ke atas.
Jika tiada urusan rasmi, tidak ada polis trafik mengiringi mereka, sebaliknya cukup dengan pengawal peribadi bagi menjaga keselamatan.
Alat GPS juga wajib dipasang pada setiap kenderaan persendirian di Korea sebagai syarat kenderaan itu boleh digunakan.
Penggunaan alat GPS juga berbeza seperti di negara kita. Ia bukan saja digunakan untuk mencari laluan ke sesuatu destinasi, sebaliknya dilengkapi panduan amaran tanda jalan dan tanda had laju.
Jadi, bila setiap kali memecut melebihi had kelajuan di sesebuah jalan, alat GPS berkenaan mengeluarkan rakaman bunyi suara seperti ‘danger’ (bahaya) dan ‘bad’ (jahat) kerana sikap kami yang gagal mematuhi jalan raya.
Jenny berkata, disebabkan itu jarang kenderaan di Korea dipandu laju kerana pemandunya tidak tahan mendengar suara bising berkenaan.
Pemilik kenderaan di sana juga tidak digalakkan mengubahsuai kenderaan kerana jika pihak berkuasa menerima aduan, alamatnya terpaksa bergolok serta bergadai juga untuk membayar denda kereta yang disita serta saman.
Apa pun, pengalaman tiga hari di sana tetap berharga kepada penulis walaupun kebanyakan masa berada dalam kenderaan.
Mungkin, jika ada peluang semula ke negara ini, penulis teringin menjelajah Pulau Jeju, iaitu pulau yang terkenal dengan sejuta keistimewaan kerana dikatakan wujud jutaan tahun lalu selain terkenal sebagai pulau gunung berapi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: