
PADA tahun 2004, Syamille Agro Farm & Resort (SAF) telah mengimport 50 ekor kambing baka Boer dari Australia sebagai langkah awal memulakan aktiviti penternakan mereka.
Waktu itu, hampir setiap hari seekor demi seekor kambing tersebut mati disebabkan pemilik ladang, Mohd. Zainuri Mohd. Idrus, 46, belum mempunyai ilmu berkaitan pengendalian haiwan ternakan.
Dia juga pernah dihalau oleh seorang penternak ketika cuba untuk mendapatkan bimbingan.
Tujuh tahun berlalu, Mohd. Zainuri kini boleh menarik nafas lega dan mengukir senyuman puas melihat kesemua baka haiwan tersebut seratus peratus dilahirkan di ladangnya.
Kumpulan generasi ketiga untuk jenis kambing paling mendapat permintaan tinggi di Malaysia itu kini mempunyai sijil kelahiran yang dikeluarkan sendiri oleh SAF.
Bercerita mengenai penglibatan dalam industri tersebut, dia memberitahu, selain mengimport dan membiak baka Boer, ladangnya turut menternak biri-biri (Dorper) sejak tahun 2008, lembu pedaging, menghasilkan baja kompos serta makanan ternakan seperti silaj (makanan ternakan) dan jerami.
Lebih menarik, dia turut menggabungkan aktiviti ladang ternakannya bersama konsep agro pelancongan yang lengkap dengan kemudahan penginapan serta landskap bercirikan tropika.
Ini kerana, lokasi ladang yang berkeluasan 4.8 hektar itu terletak di kawasan kaki bukit serta mempunyai saliran baik di Kampung Chuar Hulu, Kati, Kuala Kangsar, Perak sangat sesuai dibangunkan sebagai resort.
Antara kemudahan yang disediakan adalah seperti 17 unit bilik calet semi-D yang selesa, dewan makan, surau serta dewan ceramah untuk tujuan penganjuran acara seperti seminar dan kursus.
“Ketika memulakan operasi dahulu, kesemua bilik penginapan di ladang ini asalnya adalah rumah petugas ladang sebelum dijadikan tempat tinggal peserta kursus penternakan dan akhirnya dibuka kepada orang awam bermula tahun lalu.
“Saya menghadapi cabaran yang cukup besar untuk sampai ke tahap ini kerana tidak mempunyai latar belakang dalam bidang penternakan.
“Sejak dari awal, segala aktiviti dan pelaksanaan operasi di ladang ini saya jalankan secara cuba-cuba dan belajar daripada kesilapan,'' katanya ketika ditemui di Subang Jaya, baru-baru ini.
Kini, di samping penternakan, ladang tersebut turut menawarkan kemudahan latihan bagi penternak baru yang ingin mendapatkan ilmu dalam bidang tersebut serta aktiviti melibatkan penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Bagi tujuan rekreasi pula, Mohd. Zainuri turut melengkapkan ladangnya dengan kemudahan taman dengan dekorasi menarik dan Zoo Mini yang menternak pelbagai jenis haiwan seperti rusa, kancil, landak, burung merak dan lebah.
Untuk penginapan, bilik standard menawarkan kadar sewa hanya RM150 satu malam, sementara bilik untuk keluarga RM250 dan bilik dorm juga berharga RM250 semalam.
Kemudahan lainnya adalah seperti restoran berbeku, tempat rehat, kawasan riadah, trek hutan serta kawasan air terjun.
“Kami menerima respons cukup baik daripada para tetamu yang menginap di sini dan bercadang untuk memperluaskan lagi pembangunan resort ini menerusi kerjasama dengan kerajaan,” jelasnya yang dibantu 13 orang kakitangan untuk pengurusan tugas di ladang dan juga resort.
Sesuatu yang menarik perhatian, berhampiran ladang berkenaan, Mohd. Zainuri telah membina Sekolah Tahfiz An-Nuri yang baru memulakan operasi sejak tahun 2011.
Pusat pendidikan itu kini mempunyai seramai 10 orang pelajar dan bakal mengambil 10 orang lagi pelajar baru pada tahun ini.
Para pelajar tersebut turut diajar melakukan aktiviti menternak ikan, ayam dan burung puyuh untuk mereka gunakan sebagai sumber makanan harian.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: