Friday, January 27, 2012

Rosmanida hargai pengorbanan keluarga


ROSMANIDA Yahya (kiri) bersama pembantunya, Nik Suzana dan Khairunnisha (tengah) melihat produk keluaran syarikatnya di pejabatnya, di Bandar Baru Bangi, Selangor.


SUDAH lebih 10 tahun wanita ini bergiat dalam bidang perniagaan. Sudah banyak juga pahit maung, suka duka dalam bidang itu ditempuhinya.

Baginya, tiada secebis niat pun untuk berundur dari dunia yang sudah menjadi darah dagingnya. Malah semangatnya masih kental biar terpaksa berhadapan dengan segala ujian yang mendatang.

Akhirnya, kecekalan mengharung onak berbalas. Daripada hanya menjual tiga produk jenama Riesya Care di spa kecil kini Rosmanida Yahya, boleh berbangga dengan dua syarikat yang kian berdiri teguh.

''Alhamdulillah kini saya mempunyai dua buah syarikat iaitu Reisya Care dan Reisya Care Trading yang memasarkan hampir 20 buah produk berasaskan kecantikan dan minyak wangi," kata ibu kepada tiga cahaya mata berusia 11 hingga 18 tahun itu.

Sering mengucapkan syukur dengan anugerah tidak ternilai yang dikurniakan tuhan, Rosmanida, 44, memberitahu, faktor utama dia tetap bertahan ialah pengorbanan dan sokongan tidak berbelah bahagi daripada suami, ibu bapa dan keluarganya.

''Anak-anak terpaksa berkorban dengan menjaga diri mereka sendiri, makan di kedai dan menguruskan sendiri kelengkapan sekolah apabila saya keluar berniaga di luar daerah.

''Suami saya pula menjadi Mr. Mama membantu menguruskan anak-anak dan rumah semasa ketiadaan saya," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Bandar Baru Bangi, Selangor, baru-baru ini.

Bercakap mengenai produk kecantikan yang dihasilkan, wanita berasal dari Perak itu berkata, ia meliputi pelbagai produk daripada sabun berasaskan pati lintah, manjakani, sabun resdung, skrub hingga kepada minyak wangi dan bedak kompak.

Lebih membanggakan, dia kini mempunyai dua pembantu tetap , Nik Suzana Daud, 28, dan Khairunnisha Zulkifli, 28, serta empat orang pekerja di kilang kecantikannya di Gopeng, Perak.

''Produk berasaskan pati lintah ini memang mendapat sambutan daripada orang ramai malah produk ini telah dibawa oleh stokis kami ke luar negara seperti ke Indonesia dan Dubai.

''Produk kecantikan kami selamat dan diperakui oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan bakal mendapat taraf Produk Pengilangan Baik (GMP) Malaysia tidak lama lagi.

''Kesemuanya menggunakan bahan-bahan makanan seperti beras, pulut hitam, pulut putih, pegaga, kayu manis, cengkih dan sebagainya justeru ia tidak melibatkan penggunaan bahan-bahan kimia yang memudaratkan kulit," katanya.

Ketika ini, dia juga sedang bekerjasama dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menerusi projek Teman yang merupakan projek perintis badan itu dalam bidang kecantikan.

Biarpun terpaksa berulang-alik antara Perak dan Kuala Lumpur bagi menguruskan perniagaan termasuk bertemu para stokis, ia bukan satu masalah besar bagi Rosmanida.

"Saya percaya untuk berjaya dalam apa juga perkara perlu bersusah-susah dahulu. Saya perlu bermula dari bawah untuk berada di atas pada suatu hari nanti," katanya penuh yakin.

Biarpun terlalu banyak onak dan duri terpaksa ditempuhi sepanjang penglibatannya dalam dunia perniagaan, Rosmanida tetap percaya dengan masa depan industri kecantikan di negara ini.

Baginya, selagi dinamakan wanita mereka tidak akan lari daripada aspek kecantikan dan penampilan diri membuatkan industri tersebut terus berkembang.

Namun apa yang dimahukan oleh dirinya ialah produk kecantikannya dapat dipasarkan di luar negara serta membuka kaunter di pusat membeli-belah terkemuka sebagaimana jenama kecantikan terkenal luar negara yang lain.

''Sekiranya semua hasrat itu tercapai barulah saya akan melangkah ke fasa seterusnya iaitu membuka francais makanan," katanya yang turut bercita-cita membuka pusat jagaan orang-orang tua bagi memudahkan golongan itu beribadat dan berehat.

Dalam pada itu Rosmanida juga mempelawa stokis yang berminat terdiri daripada ibu tunggal mahupun golongan yang berpendapatan rendah untuk sama-sama memulakan kerjaya sebagai ahli perniagaan dengan memasarkan produk pati lintah.

Segala pengalaman boleh diperoleh menerusi tunjuk ajar yang akan dilakukan oleh Rosmanida sendiri dengan menghubungi talian 019-655 6661 atau 012-29888412.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: