
DI MANA ada gula, di situ ada semut. Perumpamaan ini sangat tepat dengan status negara China hari ini yang seakan menjadi gula, membuatkan semua usahawan di seluruh dunia bertumpu ke sana.
China adalah negara yang menjanjikan seribu peluang keemasan kepada golongan usahawan yang sudah tentu tidak mahu ketinggalan dan melepaskan meluang meneroka pasaran termurah dan terbesar di dunia ini.
Namun negara ini juga penuh dengan cabaran dan tipu daya.
Ramai usahawan jatuh tersungkur kerana hanya menyasarkan kepada peluang tanpa mengambil-kira perangkap yang menanti.
Berniaga di China
Memulakan urusan perniagaan di China memerlukan seseorang usahawan itu sentiasa berjaga-jaga dalam menjalankan setiap urusan.
Bermula kecil-kecilan dan belajar daripada orang yang lebih berpengalaman adalah satu-satunya solusi menghadapi masalah ini.
Menyedari ramai usahawan yang membazirkan masa, wang dan tenaga dengan kegagalan di China, Shahabudeen Jalil Kamarul Jaman dari Anzac Consultancy tampil dengan satu modul bagi usahawan tempatan Melayu mengharungi cabaran di negara tembok besar itu.
Bersama adiknya, Mohamed Firdous, mereka mula meneroka pasaran China sejak 10 tahun yang lepas dan mempunyai banyak pengalaman jatuh bangun di sana.
Pengalaman inilah yang dikongsi dalam Kursus Memborong ke China yang mereka anjurkan sejak 2007.
Kursus ini mengajar dan melatih usahawan mengenai peluang, harapan dan cabaran yang bakal ditempuhi oleh usahawan sepanjang di sana nanti.
"Sebagai usahawan, kita tidak akan berjaya jika tamak mengambil peluang yang ada. Sebaliknya kita perlu kemahiran untuk memilih peluang yang sesuai untuk dimanfaatkan," katanya.
Menurut Shahabudeen, di China memang banyak peluang terhidang untuk mereka yang ingin mengambilnya.
Justeru katanya, dalam kursus ini peserta akan diajar mengenai bagaimana merebut peluang di China yang sesuai dengan diri seseorang.
"Kursus komprehensif ini juga mengajar usahawan bagaimana untuk menghadapi dan menyelesaikan cabaran yang bakal mereka hadapi di sana.
"Dari segi budaya kerja yang berbeza sehinggalah skim-skim penipuan yang memang mensasarkan orang asing," katanya..
Katanya, walaupun kursus ini diukir untuk usahawan, ia juga disertai oleh pelbagai golongan masyarakat yang ingin membuat pendapatan sampingan atau bersedia untuk kehidupan selepas persaraan nanti.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: