Monday, January 16, 2012

Peluang menjana pendapatan lumayan


Antara produk sejuk beku yang dihasilkan oleh Halimah Saadiah Abdullah di PBU, Serdang, Selangor.


JIKA diberi peluang saya juga ingin menyertainya," ujar Mohd. Ariff Izwan Rahmat, 29 seorang usahawan makanan sejuk beku.

Beliau berkata demikian setelah melihat sendiri kejayaan yang ditunjukkan oleh isterinya, Raja Nazatul Shima Raja Ahmad, 29 yang merupakan seorang lepasan Kursus Keusahawanan Kemahiran Pemprosesan Makanan anjuran Jabatan Pertanian.

Ujar Mohd. Ariff Izwan, sebelum ini beliau sememangnya seorang usahawan produk makanan namun ia tidak serancak seperti mana selepas isterinya menyertai kursus tersebut.

"Namun semenjak isteri saya menyertai kursus tersebut ia bagaikan satu pembaharuan dan keyakinan terhadap bidang ini semakin bertambah.

"Tambahan pula isteri saya kini turut menunjukkan minat yang mendalam dalam bidang usahawan produk makanan, kini saya pula menjadi pembantunya dan bersama-sama mengusahakan perniagaan sejuk beku ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pusat Bimbingan Usahawan, Serdang, Selangor baru-baru ini.

Pasangan tersebut yang menumpukan perhatian terhadap produk sejuk beku seperti karipap turut mengakui kadang-kala mereka tidak menang tangan untuk memenuhi tempahan yang diterima.

Jelas Raja Nazatul Shima, pada awalnya dia tidak berminat dengan bidang usahawan tersebut dan selepas sahaja menamatkan pengajian bidang Diploma Pertanian dia terus berusaha mencari pekerjaan di sektor awam.

"Ketika sedang mencari kerja di Jabatan Pertanian saya 'bertemu' dengan kursus ini.

"Lalu tanpa berfikir panjang saya menyertainya dan setelah setahun saya menamatkan kursus tersebut, kini saya mampu tersenyum dengan pendapatan yang diperoleh," katanya.

Tambah Raja Nazatul Shima, pada peringkat permulaan ibu bapanya seakan tidak menggalakkan dia bekerja dalam sektor awam sama seperti mereka.

Namun, setelah berusaha menerangkan usahanya serta melihat kejayaan yang ditunjukkan, kini, mereka merupakan antara pendorong dan penyokong kuat dirinya untuk meneruskan perniagaan tersebut.

"Saya menyertai kursus tersebut pada tahun lepas dan kini selepas hampir setahun saya berjaya menghasilkan hampir 10 jenis kuih muih sejuk beku.

"Saya juga kadang-kala menerima tempahan untuk perkahwinan melibatkan kuih seperti karipap dan pisang goreng akan digoreng ketika majlis berlangsung dan di makan panas-panas," katanya.

Biarpun idea tersebut masih baru untuk majlis-majlis perkahwinan, namun ia telah diterima dengan baik malah tempahan untuk tujuan tersebut juga banyak diterima oleh mereka.

Kini, pasangan tersebut sedang berusaha membesarkan perniagaan mereka dan sedang mencari kedai yang bersesuaian untuk menubuhkan sebuah syarikat.

Dalam pada itu, menurut Halimah Saadiah Abdullah, 42, sebelum menyertai Kursus Keusahawanan Kemahiran Pemprosesan Makanan kelolaan Jabatan Pertanian tersebut, dia telah menjalankan perniagaan produk bakeri.

"Saya telah bersama Jabatan Pertanian dalam mengusahakan produk bakeri sebelum ini selama tujuh tahun.

"Pada tahun 2009 saya menyertai pula kursus ini dan selepas menyertainya saya mendapati ia lebih baik daripada kursus-kursus sebelum ini kerana mengandungi pelbagai ilmu berkenaan perniagaan serta pengisiannya lebih baik," katanya.

Tambah Halimah Saadiah, kini perniagaannya bergerak di bawah seliaan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan juga promosi secara individu.

Biarpun masih belum memiliki kedai sendiri, namun Halimah Saadiah memiliki beberapa tapak pasar tani serta pasar malam sekitar Kuala Lumpur.

Mensasarkan penggemar karipap, Halimah Saadiah memperkenal beberapa resipi baru antara ialah karipap berintikan cendawan, ayam, daging, sardin, udang kering juga kentang.

Malah, beliau juga turut memperkenalkan produk sejuk beku seperti donut dan donut sosej selain produk istimewanya iaitu roti arab.

Katanya, berniaga sendiri adalah lebih mudah untuk menentukan pendapatan, jika mahukan pendapatan lebih maka perlulah berusaha dengan lebih gigih.

Dia yang bekerja sendiri mengakui menjadi seorang usahawan pastinya ada naik turun dalam perniagaan dan penat lelah tersebut berbaloi jika melihat pendapatan lumayan yang diterima.

Biarpun berniaga hanya di pasar malam, namun pendapatannya kadang-kala mencecah ribuan ringgit malah mampu menyaingi mereka yang makan gaji.

Kini beliau dibantu oleh anak saudara dan keluarga untuk menghasilkan produk-produknya serta dalam proses untuk berpindah ke kawasan baru yang lebih dekat dengan PBU Serdang.

Apa yang pasti, kejayaan peserta Kursus Keusahawanan Kemahiran Pemprosesan Makanan anjuran Jabatan Pertanian bukan sahaja hasil daripada modul serta pengisian kursus yang bagus namun ia turut bergantung sepenuhnya kepada individu yang menyertainya.

Jika mahu menjadi seorang usahawan yang berjaya pastinya perlu berusaha dengan bersungguh-sungguh, namun jika diberikan peluang sedemikian pastinya merupakan satu peluang yang tidak sepatutnya dilepaskan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: