Friday, January 6, 2012

Osman Ali Akui Terdapat Kemelut Dalam Drama 'Bicara Hati'

Osman Ali.

PETALING JAYA: Pengarah drama, Osman Ali mengakui berlaku kemelut di antara pihak produksi dengan produser drama arahannya Bicara Hati tetapi masalah berkenaan dapat diatasi tidak seperti yang digambarkan.

Osman berkata, masalah yang berlaku dalam sesebuah produksi adalah perkara biasa dan ia dialami oleh semua pihak termasuklah di kalangan pengarah, krew dan pelakon.

“Saya tidak nafikan memang ada masalah dalam “team” produksi Bicara Hati tetapi ia tidaklah serumit seperti yang digembar-gemburkan,” katanya kepada mStar Online di sini, Khamis.

Terdahulu, sebuah blog hiburan melaporkan pihak produksi Bicara Hati mengalami masalah apabila jadual penggambaran drama itu menjadi kelam kabut sehingga menimbulkan banyak masalah kepada artis dan krew.

Selain itu, penerbit drama berkenaan, Tarantella Pictures Sdn Bhd didakwa mempunyai masalah kewangan sehingga terdapat krew mengambil tindakan menarik diri daripada terlinat dengan pembikinan drama tersebut kerana tidak tahan dengan kemelut yang timbul.

Dalam pada itu, Osman berkata, walaupun dia tidak ada kena mengena dengan isu berkenaan kerana hanya dibayar oleh pihak penerbit sebagai pengarah, namun masalah yang timbul tidak menggagu perjalanan penggambaran drama bersiri itu.

Ujarnya, penggambaran sentiasa mengikut jadual dan dia menjangkakan baki empat hari di lokasi bakal berakhir seperti yang dirancang tanpa sebarang penundaan.

"Masalah yang timbul tidak seteruk yang didakwa kerana penggambaran masih mengikut jadual dan tiada sebarang penangguhan yang menyebabkan semua terlibat perlu menambah masa bagi menyiapkan drama ini," ujarnya.

Osman berkata, masalah mungkin disebabkan Bicara Hati adalah sebuah drama yang panjang dan persediaan pra-produksi juga mungkin dilakukan dalam keadaan tergesa-gesa.

Tambahnya, isu itu dibangkitkan mungkin kerana ia telah menyusahkan kerja krew terlibat dan secara tidak langsung mencetuskan kemarahan.

"Mereka berhak menyuarakan apa yang mereka rasa akibat rasa tidak puas hati itu. Bagaimanapun saya merasakan adalah lebih baik mereka berjumpa sendiri dengan pihak penerbit kerana itu adalah tindakan paling bijak.

"Bercerita kepada media tidak akan menyelesaikan apa-apa masalah sebaliknya akan mengeruhkan lagi keadaan," ujarnya.

Menjawab dakwaan kononnya penerbit tidak mahu membayar wang lokasi penggambaran Osman menjelaskan perkara itu berlaku kerana Bicara Hati mempunyai bajet yang terhad dan pihak penerbit perlu bijak menggunakan wang yang dibelanjakan supaya tidak tersasar.

Osman berkata, kos penerbitan drama adalah lebih kecil berbanding filem dan sebagai pengarah dia memahami perkara itu dan telah cuba memberikan yang terbaik dalam menyiapkan projek berkenaan.

"Jika ikutkan saya sendiri tidak puas hati dengan beberapa hasil drama ini akibat bajet yang diberikan tidak sebesar seperti mana kebanyakan drama atau filem lain.

"Tetapi ini adalah tanggungjawab saya untuk melunaskan amanah diberi oleh pihak penerbit dan Alhamdulillahlah walaupun banyak timbul masalah kita boleh dikatakan berjaya menghasilkan sebuah produk yang baik," ujarnya.

Mengulas mengenai pengarah fotografi drama itu, Malek Marwi meletak jawatan gara-gara berang dengan sikap tidak profesional pihak penerbit, Osman memberitahu, dakwaan tersebut adalah tidak benar.

Katanya, masalah yang dihadapi oleh Malek dan penerbit adalah bersifat peribadi dan bukan menjadi urusannya untuk campur tangan.

"Apa yang boleh saya katakan adalah Malek tidak mempunyai masalah bekerja dengan saya atau produksi dan dia keluar pun secara baik tanpa ada apa-apa pergaduhan dengan mana-mana pihak," katanya.

Bicara Hati lakonan Sharnaaz bersama pelakon Christina Suzanne, Marsha Londoh dan Lash Mokhtar mengisahkan tentang cinta yang terjalin kerana wang dan kuasa di mana Tengku Shahran, lakonan Sharnaaz terpaksa berkahwin secara kontrak dengan Zahlia (Christina).

Drama sebanyak 26 episod itu bersiaran setiap Selasa, pukul 9 malam, bermula 3 Januari lalu menerusi saluran Astro Prima (105).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: