BUKAN sekadar jadi juara tetapi bijak bermain psikologi.
Barangkali itulah antara keistimewaan yang ada dalam pasukan Negeri Sembilan.
Manakan tidak, setiap kali turun dalam aksi perlawanan penting, Negeri Sembilan sering kali melabelkan pasukan mereka adalah team underdog.
Tidak mahu mendabik dada sebelum menang, sebaliknya menghormati pasukan lawan.
Buktinya, Kelantan yang mendapat jolokan Gergasi Pantai Timur tumbang 1-2 kepada Negeri Sembilan bagi merebut Piala Sumbangsih di Stadium Nasional, Bukit Jalil kelmarin.
Perkara itu diakui sendiri oleh Ketua Jurulatih, Mohd. Azraai Khor Abdullah yang menyatakan The Red Warriors adalah pasukan pilihan termasuk pilihan beberapa jurulatih Liga Super.
Malah, di atas kertas, Kelantan memiliki kelebihan dengan adanya pemain bertaraf bintang seperti Norshahrul Idlan Talaha yang menjaringkan gol pembukaan seawal minit ke-22 dan dibantu Indra Putra Mahuddin, kapten pasukan, Mohd. Badri Radzhi serta Nor Fahan Mohammad.
"Kelantan memang pasukan pilihan. Semua orang tahu Negeri Sembilan hilang beberapa star kerana berhijrah ke pasukan lain dan ditambah isu pemain import hingga kita ada seorang sahaja pemain import.
"Dengan mengenepikan masalah yang berlaku, kita bentuk sebuah pasukan dengan menilai kelebihan yang ada pada setiap pemain sebelum mengadun strategi dan taktikal. Alhamdulillah, mereka berjaya menterjemahkannya - mendakap Piala Sumbangsih," kata Mohd. Azraai.
Ujarnya, biarpun ketiadaan pemain senior seperti Mohd. Shukor Adan dan Idris Karim, strategi meletak pemain muda yang baharu untuk memikul tanggungjawab membuktikan mereka begitu komitmen dalam perlawanan.
Kejayaan Negeri Sembilan menjulang Piala Sumbangsih bersama Mohd. Azraai membukti sentuhan jurulatih tersebut memiliki 'resepinya' tersendiri membentuk pemain baharu selepas kehilangan beberapa tonggak utama pasukan.
Bisa jurulatih itu jelas tidak disia-siakan awang import Negeri Sembilan, Jean-Emmananuel Effa Owona dari Cameroon apabila menjaringkan gol penyamaan dan gol kekecewaan penyokong Kelantan pada minit ke-31 dan 63.
"Sebelum ini kita telah menguji Effa Owona dalam beberapa siri perlawanan persahabatan, prestasinya cukup baik dan dalam perlawanan semalam (kelmarin) dia telah membuktikan kemampuannya hingga dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan.
"Beberapa pemain muda yang baharu juga harus diberi pujian kerana bukan mudah untuk pemain muda bangkit daripada ketinggalan, apalagi menentang Kelantan yang dibarisi pemain berpengalaman tetapi mereka membuktikan sebaliknya," katanya.
Sementara itu, Norhafiz Zamani Misbah yang diberi kepercayaan menggalas peranan kapten mengganti Mohd. Shukor berkata, dia secara peribadi melahirkan rasa gembira kerana kali pertama menjuarai piala berkenaan selepas percubaan bersama Negeri Sembilan pada tahun 2004 gagal.
"Sejujurnya kita mahu menang tetapi Kelantan dibarisi pemain hebat dan dihormati sebagai pasukan pilihan.
"Kita diakui pada 15 minit permainan bermula apabila pemain Negeri Sembilan (pemain muda) belum mendapat rentak sebenar. Selepas itu, baharu kita bangkit menyusun strategi dan gembira apabila keputusan 2-1 kekal hingga wisel penamat," jelasnya.
Katanya, kemenangan itu akan menjadi pembakar semangat dan moral buat semua pemain bagi musim baru Liga Super 2012.
Sudah tentu, Negeri Sembilan yang baharu menjulang Piala Malaysia ditambah juara Piala Sumbangsih memberi isyarat awal kepada pasukan dalam Liga Super musim ini agar tidak mengambil mudah kehadiran tenaga muda dan awang import, Effa Owona.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: