|
MINAT yang mendalam terhadap irama muzik membuatkan Raja Zulkarnain Raja Mohd. Yusof, 39, mempelajari hampir kesemua ilmu seni muzik yang ada.
Ibarat kata pepatah, tak kenal maka tak cinta, selepas mengenali alat muzik gambus Raja Zulkarnain terus jatuh cinta. Dia seterusnya berusaha menyingkap sejarah asal-usul kewujudan instrumen itu dan gaya permainannya yang sebenar sehingga ke Asia Barat.
"Gambus merupakan sejenis alat muzik tradisional bertali di Malaysia. Berbentuk seperti buah pir yang dibelah dua, ia tergolong dalam alat muzik jenis petik yang dikatakan berasal dari Asia Barat," terangnya mengenai alat muzik yang boleh didapati dalam bentuk antara tiga tali sehingga 12 tali itu.
Berkat usaha dan pengalamannya dalam pelbagai genre seni membuatkan Raja Zulkarnain nekad mahu mengembangkan kemahiran itu kepada anak bangsa melalui kaedah pembelajaran yang berbeza.
Hasil rundingan dan perbincangan bersama beberapa rakan dalam bidang yang sama, akhirnya Raja Zulkarnain bersama Mohd. Nizam Attan, 44, mengangkat idea untuk menubuhkan Konservatori Seni Kebangsaan (NCA).
"Istilah dan nama konservatori seni mungkin janggal didengar di negara kita terutamanya dalam seni dan muzik.
|
|
"Namun ia berbeza di Amerika Syarikat, Indonesia, China dan negara-negara lain yang maju ke hadapan. Mereka telah lama mengetengahkan istilah konservatori dalam dunia seni di negara mereka," kata Raja Zulkarnain.
Promosi seni
Konservatori bermaksud tempat orang dilatih bermain muzik atau kemahiran seni. Bertitik-tolak daripada maksud itu dan matlamat untuk melahirkan ramai ahli muzik dan ahli seni yang berkaliber, Raja Zulkarnain dan Mohd. Nizam bersungguh-sungguh mahu membangunkan NCA.
Secara objektifnya, NCA direalisasikan untuk menyokong aktiviti dan pendidikan seni muzik dengan mempromosikan seni tersebut kepada masyarakat. Ia mempromosi penglibatan komuniti dalam segala aktiviti seni yang dilakukan.
Organisasi yang diiktiraf dunia dan kerajaan itu menawarkan ilmu seni, kursus kebudayaan dan warisan yang menjurus kepada ilmu muzik, tarian dan teater.
Berbeza daripada konsep pembelajaran yang dibawa oleh akademi seni yang sedia ada di negara ini, NCA cuba membawa kelainan dalam industri seni negara dengan cara yang tersendiri.
"Idea penubuhan konservatori ini merupakan yang pertama seumpamanya di negara ini. Dalam usaha menampilkan kelainan dan kebebasan pembelajaran dalam kalangan para pelajarnya, ia tetap terikat dengan silibus pembelajaran yang diakreditasi oleh Kementerian Pengajian Tinggi," kata Raja Zulkarnain.
Tidak perlu kelulusan
Di NCA, pelajarnya bebas untuk memilih ilmu yang diminati. Selain belajar di dalam sesi pembelajaran yang ditetapkan bersama pensyarah, pelajar juga dapat melakukan rujukan sesi pembelajaran yang tertinggal atau terlupa sebelum itu di laman web yang disediakan NCA.
"Setiap pelajar perlu tahu sedikit sebanyak menggunakan aplikasi teknologi maklumat sebagai kemudahan untuk mereka belajar," kata Ketua Operasi NCA itu.
Lebih menarik, Raja Zulkarnain mendakwa, pelajar-pelajar di NCA tidak memerlukan kelulusan khas untuk melayakkan mereka belajar. Cukup sekadar minat yang mendalam dan memiliki peralatan muzikal dan seni yang hendak dipelajari. Usia juga bukan faktor penghalang untuk mengikuti pembelajaran di NCA.
"Pada tahun 2011 kelas di NCA telah bermula pada bulan tiga hingga bulan 12.
"Pada tahun ini kelas mungkin bermula awal dan bergantung kepada sesi pengambilan pelajar yang datang mendaftar kelak," katanya.
Dengan menggunakan pendekatan komuniti ini, NCA ternyata mendapat sokongan penuh daripada kerajaan dan memberi satu kelainan kepada masyarakat dalam bidang seni dan muzik.
Walaupun NCA memberi kebebasan kepada pelajar untuk belajar tetapi pihak pengurusan dan tenaga pengajar akan memastikan setiap pelajar tidak akan tertinggal dalam pelajaran mereka dan mendapat ilmu yang secukupnya seperti yang dikehendaki.
"Sejak NCA dibuka, seramai 400 pelajar telah mendaftar dan menjalani kelas yang disediakan.
"Selain bandar raya Kuala Lumpur, NCA turut mempunyai pelajar di Melaka dan Selangor," katanya yang mendakwa bahawa NCA sebenarnya tiada pusat pembelajaran formal ketika ini.
Sementara itu, Penasihat Akademik NCA, Mohd. Nizam Attan memberitahu, NCA ketika ini menggunakan ruang di Yayasan Seni Berdaftar (YSB) di Jalan Ampang untuk melakukan aktiviti seni persembahan dan kelas.
Selain itu, kelas pembelajaran NCA juga dilakukan di kolej komuniti, ruang di menara Maybank dan kelas mengikut tempat pelajar itu berada.
"Fokus NCA ketika ini ialah memberi didikan seni persembahan dalam muzik, tari dan teater.
Selain itu, genre world music menjadi pilihan kami untuk diajar kepada masyarakat kerana ketika ini genre itu masih tidak diajar di mana-mana institusi pengajian tinggi di negara ini," ujarnya.
Kata beliau lagi, NCA akan berusaha bersungguh-sungguh bagi memastikan tahap penilaian pendidikan sijil yang disediakan mengikut tahap yang ditetapkan Kementerian Pengajian Tinggi.
Bukan itu sahaja, NCA juga akan pastikan cita-cita untuk menjadikan NCA sebagai sebuah institusi pengajian tinggi bertaraf dunia dapat dicapai pada masa akan datang.
"Saya harap sasaran untuk menjadikan matlamat itu menjadi kenyataan akan dicapai pada akhir tahun 2012," ujarnya yang kelihatan bersemangat ketika ditemu bual di sini baru-baru ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: