Thursday, January 12, 2012

Murtad bukanlah suatu hak


Mendidik anak memahami dan menghayati al-Quran dapat mengelak daripada berlakunya gejala murtad. - Gambar hiasan


ISU murtad kembali diberi perhatian oleh media massa sejak kebelakangan ini. Masalah murtad ini adalah polemik yang benar-benar berlaku di Malaysia. Ia bukanlah suatu rekaan pihak tertentu bagi meraih kepentingan-kepentingan tertentu.

Hal yang demikian ini dapat dilihat daripada permohonan menukar nama atas alasan menukar agama. Begitu juga tindakan seseorang memfailkan suatu permohonan sama ada di mahkamah syariah ataupun mahkamah sivil untuk mendapatkan perisytiharan keluar dari agama Islam.

Malah terdapat sebilangan orang yang membuat akuan bersumpah atau Deed Poll bagi mengesahkan beliau telah tidak lagi memeluk agama Islam. Begitu juga terdapat orang Islam yang bersekedudukan dengan pasangan bukan Islam sehingga melahirkan anak serta mengikut agama pasangan mereka.

Perlakuan murtad ini boleh berlaku secara berkumpulan atas sebab-sebab tertentu seperti tidak mendapat layanan sewajarnya dari pihak berkuasa agama.

Dalam keadaan yang lain murtad juga berlaku apabila seseorang itu mengikut ajaran-ajaran yang telah difatwakan salah seperti Qadiyani, Ayah Pin, Rasul Melayu dan banyak lagi ajaran yang terpesong daripada akidah Islam.

Murtad juga pernah dilaporkan berlaku di kalangan remaja yang menyertai kumpulan-kumpulan tertentu yang menyembah syaitan serta gerakan Jangan Ikut Tuhan (JIT).

Bagi sesetengah orang lain pula murtad berlaku secara senyap sama ada dengan berpegang dengan agama lain ataupun melakukan upacara yang terpesong dari akidah Islam.

Atas sebab-sebab tertentu golongan ini tidak mahu dikenalpasti dan hanya melakukan aktiviti keagamaan mereka secara senyap senyap sahaja.

Di Malaysia undang-undang mengenai murtad terdapat di dalam beberapa bentuk iaitu sebagai kesalahan cubaan murtad sebagaimana yang terdapat di dalam Enakmen Jenayah Syariah beberapa negeri seperti Perak Melaka Kelantan Sabah dan Negeri Sembilan.

Mahkamah Syariah juga diberi bidangkuasa secara spesifik untuk mengisytiharkan seseorang itu tidak lagi beragama Islam.

Memurtadkan orang Islam pula dijadikan suatu kesalahan di bawah Enakmen Kawalan Pengembangan Agama Bukan Islam Di Kalangan Orang Islam. Kesalahan di bawah enakmen ini pula dibicarakan di mahkamah sivil.

Gaya hidup yang tidak memberi penekanan hidup beragama telah mendedahkan orang Islam kepada kerapuhan iman. Akhirnya keyakinan terhadap Allah itu akan terhakis daripada semasa ke semasa.

Kemuncak krisis keyakinan terhadap Allah ini adalah tindakan seseorang ke arah murtad. Nama-nama seperti Aishah Bohari, Hartina Kamarudin, Azlina Jailani, Siti Fatimah Tan dan banyak lagi mungkin sudah tidak diingati oleh orang Islam.

Tetapi nama-nama inilah yang sering bermain di bibir apabila membicarakan isu murtad dan membuktikan memang terdapat usaha memurtadkan orang Islam.

Sebahagian orang Islam pula seolah-olah sudah tidak lagi sensitif kepada orang Islam yang mahu murtad. Malah terdapat sebilangan yang 'membantu' orang Islam murtad atas nama kebebasan beragama.

Apabila kepekaan dalam isu murtad ini sudah tidak lagi wujud di dalam diri orang Islam, lama-kelamaan murtad akan dilihat sebagai suatu norma yang biasa berlaku di negara kita.

Apabila ini berlaku, umat Islam sudah terlambat menggunakan segala usaha bagi mengembalikan orang yang telah murtad itu ke jalan yang sebenar.

Murtad sebenarnya bukanlah suatu hak kepada umat Islam. Ia adalah suatu dosa yang amat besar dan kesalahan yang sangat serius.

Mengatakan murtad merupakan hak kepada orang Islam merupakan suatu yang begitu jauh tersasar dari agama Islam itu sendiri.

Perkara ini dapat dibuktikan apabila jenayah riddah (murtad) ini dijadikan suatu kesalahan dan termasuk di dalam kategori kesalahan hudud.

Malah berselindung di sebalik Perlembagaan Persekutuan dengan mendabik dada mengatakan hak asasi manusia membenarkan seorang Islam itu murtad juga sebenarnya tidak mempunyai asas yang kukuh di dalam Perlembagaan Persekutuan itu sendiri.

Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan memberi hak kepada mana-mana orang menganut dan mengamalkan agamanya.

Perkara 11(1) tersebut hanya mengatakan orang Islam berhak menganut dan mengamalkan agama Islam.

Begitu juga penganut agama lain seperti Buddha, Hindu dan Kristian bebas menganut dan mengamalkan agama mereka. Perkara 11(1) tidak memberi hak kepada mana-mana orang bertukar-tukar agama.

Tiada hak mutlak

Pertukaran agama hendaklah dilakukan mengikut agama itu sendiri dan juga undang-undang yang berkuatkuasa. Tiada hak yang diberi oleh mana-mana undang-undang bersifat mutlak.

Sudah tentu setiap hak yang diberi mempunyai batasannya tertentu. Malah hak itu sendiri kebiasaannya diimbangi dengan tanggungjawab.

Isu murtad ini tidak boleh dilihat secara berasingan daripada agenda menggasak agama Islam. Malah beberapa tindakan berangkai sekarang ini boleh menjurus kepada menjauhkan umat Islam daripada sebarang bentuk tindakan atau organisasi agama di Malaysia.

Lama kelamaan umat Islam akan hidup jauh dari agama dan 'dibebaskan' daripada Islam. Ketika itu amat mudahlah menjadi murtad.

Masalah murtad ini perlu ditangani secara bersepadu dan berhemah oleh semua pihak. Pihak berkuasa, keluarga, institusi agama, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat sekeliling memainkan peranan penting bagi membanteras gejala murtad ini.

Pendekatan yang berhemah dan berterusan juga amat penting bagi keberkesanan dakwah dan mengelakkan orang Islam murtad.

Pengukuhan akidah, ibadah dan akhlak boleh diterap kepada umat Islam melalui undang-undang dan pendidikan. Ini harus berjalan seiring bagi mempastikan keberkesanan dakwah Islam.

Sebarang usaha untuk mengekang orang Islam daripada murtad mestilah dipuji walaupun tindakan tersebut menghasilkan kejayaan yang sedikit. Apa yang penting adalah memantapkan usaha.

Bukan masanya lagi umat Islam bertelagah cara yang terbaik dilakukan untuk mengekang gejala murtad.

Perkara yang menjadi kesalahan bukanlah bagaimana usaha itu dilakukan tetapi tidak melakukan apa-apa bagi menghalang murtad terus berleluasa.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: