|
APABILA India hampir mencapai kemerdekaan, beratus-ratus orang dari komuniti masyarakat berdarah campuran Anglo-India, berada dalam ketakutan kerana bimbang dengan masa hadapan mereka.
Mereka telah berundur beramai-ramai ke kawasan hutan tebal negara tersebut lalu menjadikannya sebagai perkampungan mereka.
Seorang warga India berketurunan Scotland, Ernest McCluskie dari negeri Jharkhand, telah menubuhkan McCluskieganj. Dia berharap tempat itu mampu menghimpunkan lebih ramai golongan Anglo-India ketika berlaku pemansuhan empayar British di India.
Selepas hampir 80 tahun berlalu, selain sebuah sekolah yang masih teguh bertahan, beberapa banglo kolonial masih berdiri dihuni namun kelihatan kusam tanpa dibaiki.
Penduduk-penduduk berusia di bandar McCluskieganj itu berkata, Chootta England (mini England) yang menjadi tempat mereka membesar telah lenyap selama-lamanya.
Golongan Anglo-India maju ketika berada di bawah pemerintahan British dengan rata-ratanya bekerja di jabatan kereta api, pasukan bersenjata atau sebagai pegawai kastam.
Mereka bertutur dalam bahasa Inggeris, pakai pakaian gaya Barat, makan kedgeree (hidangan nasi dengan isi ikan) dan puding serta menganuti agama Kristian.
Tatacara hidup mereka banyak dipengaruhi gaya hidup penduduk negara pemerintah kolonial yang telah menempatkan mereka dalam jabatan-jabatan kerajaan sehingga tahun 1919.
Begitupun, masih lagi ada amalan diskriminasi apabila para pegawai British yang bekerja di India gemar memandang rendah pada rakan sekerja mereka yang berketurunan Anglo-India.
Maka, ahli-ahli komuniti Anglo-India itu lebih suka bersosial di kelab mereka sendiri kerana mereka selalunya tidak dibenarkan masuk ke kelab yang gemar dikunjungi oleh para pegawai kolonial.
Sesetengah orang Anglo-India berprofil tinggi pula sanggup merahsiakan identiti seperti kes bintang Hollywood pada tahun 1930-an, Merle Oberon. Dia mendakwa dirinya orang Tasmania kerana percaya bahawa jika berita dia berketurunan India, kerjayanya akan tergendala.
Tidak terurus
Hari ini, puing-puing rumah dengan reka bentuk kolonial terbiar melatari landskap McCluskieganj.
Jalan-jalan tanah kini menyusur laluan ke kawasan banglo yang rosak teruk dengan pintu dan tingkap yang sudah tertanggal. Serpihan batu-bata dan terracotta bertaburan di atas lantai yang kotor dengan najis burung.
Sementara itu, tandas seramik dengan rekaan ganjil atau tempat duduk pendiangan yang diperbuat daripada batu masih lagi kukuh terletak antara runtuhan dinding.
Penjaga banglo di situ, Shivsharan Mahto berkata, pemilik asal berketurunan Anglo-India telah meninggalkannya berdekad-dekad lalu setelah menjual rumah tersebut kepada sebuah keluarga Hindu.
Selepas beberapa tahun India mencapai kemerdekaan, berpuluh-puluh ribu orang Anglo-India menjual rumah mereka di Kolkata, Mumbai, Chennai dan bandar-bandar lain untuk berpindah ke luar negara. Mereka percaya, masa depan yang lebih baik menanti di negara lain.
Trend hijrah itu bukan baharu. Pada tahun-tahun 1960-an, McCluskieganj turut menyaksikan beratus-ratus penghuninya meninggalkan kawasan tersebut dengan alasan faktor ekonomi sehingga komuniti di situ menyusut kepada beberapa buah keluarga sahaja.
"Tidak seperti pada tahun 1940-an dan 50-an, McCluskieganj lebih membangun berbanding Ranchi. Terdapat kedai menjual album, barangan kosmetik malah memiliki kedai bakeri, rumah penyembelihan dan tukang kasut.
"Kami akan berkelah dan memburu babi liar atau rusa. Majistret selalu datang ke sini dari Ranchi untuk membaharui lesen senapang kerana ramai menggunakan senjata api itu di McCluskieganj," kata seorang pesara yang mahu dikenali sebagai Gordon, yang mengimbas zaman kegemilangan McCluskieganj.
Kata presiden bandar, Judy Mendonca, McCluskieganj dahulunya sering menganjurkan pesta tarian, pementasan teater atau parti pakaian beragam dan permainan bingo.
"Namun, ekonomi tempatan gagal menyaingi semangat kehidupan sosial di penempatan tersebut," keluhnya.
Pertanian gagal
Segelintir komuniti Anglo-India tidak pernah bertani, tetapi di McCluskieganj, kebanyakan daripada mereka telah mengeluarkan semua wang simpanan untuk dilaburkan ke sektor pertanian akibat tidak banyak pilihan.
Tidak ramai yang tahu kaedah pertanian yang betul lalu usaha itu berakhir dengan hasil tuaian yang sedikit dan kurang menguntungkan.
Perlahan-lahan, penduduk di situ pergi ke tempat yang lebih baik seperti Britain, Australia dan Kanada, sama dengan teman senegara mereka.
"Tempat ini pernah menghimpunkan lebih 200 buah keluarga. Kini, yang tinggal hanya antara lapan hingga 10 buah keluarga," kata Mendonca.
Pada hari ini, ekonomi tempat tersebut bergantung sepenuhnya pada sebuah sekolah tempatan, Akademi Don Bosco yang dibuka 14 tahun lalu.
Kewujudan sekolah itulah yang meneruskan survival mereka. Beberapa penduduk tempatan telah menukar bahagian rumah mereka menjadi hostel untuk para pelajar yang datang dari negeri-negeri jiran.
Meskipun demikian, bandar tersebut kekal tidak membangun. Jalan raya masih tidak berturap, tiada lampu jalan dan akses bekalan elektrik kadangkala terputus.
Menurut penjual buah-buahan di stesen kereta api, Kitty Texeira, 61, sesetengah orang Anglo-India masih tinggal di situ kerana tidak memiliki banyak pilihan sampingan.
"Dahulu lebih baik. Kami memiliki hutan tebal dan arus sungai yang mengalir. Ia seperti Mini England," kata Texeira.
Sementara itu, seorang warga emas lain, Kathleen Hourigan, 64, menyesali pemergian rakan-rakan Anglo-India namun mengakui kehidupan di situ tidak memberangsangkan.
"Kami pilih untuk tinggal di sini kerana kami berbangsa India. Kami benci dipanggil sebagai angrez oleh rakyat India lain. Ia seperti cacian," katanya.
Hourigan membesar di McCluskieganj dan kini tinggal di situ bersama-sama dengan anak-anak dan cucunya.
"Pasti kami akan merungut tentang tempat ini setiap kali bekalan elektrik terputus. Bagaimanapun, selepas ia kembali beberapa minit. Kami lupakan semuanya.
"Kami tidak mahu langsung untuk meninggalkan tempat ini. Ini adalah rumah kami," katanya sambil ketawa.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: