MANAL al-Sharif mungkin tidak disukai oleh kebanyakan lelaki di Arab Saudi. Jadi, Rabu lalu, apabila seorang pemandu kereta wanita terbunuh dalam satu kemalangan jalan raya di Jeddah, mangsa itu disangka Manal.
Manal pernah mencetuskan kontroversi tahun lalu dengan kempennya supaya wanita dibenarkan memandu kereta di negara itu.
Mujurlah pemandu yang maut itu sebenarnya seorang Badwi. Di Arab Saudi, wanita tidak dibenarkan memandu. Pengharaman itu berdasarkan fatwa Mufti Besar Sheikh Abdulaziz Baz pada tahun 1991.
Menurut Abdulaziz, wanita perlu dilarang memandu kenderaan kerana dibimbangi boleh menimbulkan kekecohan. Turut menyokong larangan tersebut ialah tokoh ulama, Sheikh Khalid Yasin.
Dia mendakwa memandu boleh mengancam keselamatan wanita dan mereka terdedah kepada risiko rompak dan rogol.
Disebabkan larangan itu, wanita yang tidak mampu menggaji pemandu dengan gaji bulanan sebanyak AS$400 (RM1,200) terpaksa menumpang saudara lelaki mereka jika ingin menghantar anak ke sekolah, ke pasar mahupun ke hospital.
Selain itu, mereka juga perlu sentiasa berada di bawah pemantauan penjaga, biasanya bapa atau suami dalam apa jua keadaan.
Malah, jika tiada keizinan daripada penjaga, wanita Arab Saudi tidak boleh bekerja, melancong mahupun membuka akaun bank.
Hak sama rata
Mereka juga tidak boleh meninggalkan rumah seorang diri tanpa mengenakan jubah hitam yang dipanggil abaya.
Dek kerana terlalu banyak larangan, kini wanita Arab sudah mula berani berkempen untuk menuntut hak kesamarataan.
Individu yang lantang bersuara dan menaikkan semangat wanita Arab untuk berkempen ialah seorang perunding keselamatan komputer, Manal al-Sharif, 32.
Tahun lalu, dia ditahan atas kesalahan memandu dan memuat naik ke YouTube video dia sedang memandu kereta. Bagaimanapun dia dibenarkan diikat jamin selepas 10 hari ditahan.
Usaha Manal untuk mengembalikan semula hak memandu kepada wanita Arab tidak terhenti di situ.
Dia yang fasih berbahasa Inggeris mula mengumpul banyak suara wanita Arab dengan berkempen melalui interaksi di laman sosial Facebook dan Twitter.
"Ini bukannya revolusi, plot, perhimpunan atau protes. Kami hanya mahu memandu kereta kami." Itu antara komen yang ditulis di laman sosial Facebook yang menyokong kempen Manal.
Selain Manal, Wajiha Hudawidar adalah salah seorang aktivis untuk kempen berkenaan. Dia ialah individu bertanggungjawab yang merakam pemanduan Manal pada tahun 2008.
"Wanita Arab sudah berjuang sejak 25 tahun lalu untuk mendapatkan hak memandu. Pada tahun 1990-an, sekumpulan 40 wanita memandu kereta mereka pada hari larangan dikuatkuasakan.
"Manal berjaya mengumpulkan lebih ramai wanita melalui Facebook dan Twitter.
"Masih saya ingat pada tahun 2007, saya cuba melakukan perkara yang sama menggunakan e-mel dan telefon namun responnya tidak sepantas interaksi di laman sosial," kata Wajiha.
Kempen yang berlarutan ini turut mendapat sokongan daripada badan Pemerhati Hak Asasi Manusia antarabangsa.
"Raja perlu menamatkan status Arab Saudi sebagai satu-satunya negara di dunia yang masih mengamalkan larangan memandu ke atas wanita," kata jurucakap pertubuhan tersebut.
Sementara itu, tidak semua wanita bersetuju dengan kempen yang dianjurkan Manal sebaliknya menganggap wanita Arab tidak perlu memandu.
Permaidani ajaib
Dalam akhbar Arab News, Rima Al-Mukhtar berpendapat, memandu bukanlah satu keperluan bagi wanita di negaranya.
"Boleh dikatakan setiap keluarga Arab mempunyai lelaki yang boleh memandu, apatah lagi jika keluarga itu kaya. Sudah pasti mereka mempunyai pemandu peribadi. Secara tidak langsung, wanita Arab agak keberatan untuk memandu dan lebih selesa duduk di kerusi penumpang," katanya.
Shahad Ibrahim turut berkongsi pendapat sama.
"Ia seperti menjadi seorang puteri apabila ada pemandu yang membawa anda ke mana saja yang anda mahu tanpa sebarang rungutan," kataya.
Bagi seorang suri rumah, Layla Murad pula, dia ada pendapat tersendiri tentang wanita dan pemanduan di tanah Arab.
"Jalan raya di sini kerap rosak dan berbongol-bonggol. Wanita Arab mungkin tidak dapat memandu dengan baik. Mereka tidak perlu memandu kereta, apa yang mereka perlukan hanya permaidani ajaib," katanya.
Bagi Manal, dia mahu suaranya terus didengar. Dia ibarat burung di dalam sangkar yang masih boleh berkicau di sebalik pelbagai larangan yang menyekat kebebasan wanita di negara itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: