SETELAH menempuh lima musim dan mendapat rating yang amat memberangsangkan, program realiti mencari bakat nyanyian, Mentor yang bersiaran di TV3 akan kembali menggamatkan suasana dengan kehadiran musim keenam yang akan bermula tidak lama lagi.
Kali ini saingan sengit bakal dilihat kerana pihak TV3 telah mendapatkan enam orang penyanyi hebat dan berpengalaman serta tidak kurang juga yang baharu untuk menampilkan kelainan seperti Ella, Ramlah Ram, Faizal Tahir, Ferhad, Fauziah Ahmad Daud dan Adam AF.
Sesi uji bakat Mentor pula akan bermula di Sabah dan Sarawak iaitu pada 13 Januari ini di Hotel Promenade, Tawau, dan 15 Januari di Hotel Promenade, Kota Kinabalu, 20 Januari di Hotel Imperial, Miri serta 22 Januari di Hotel Merdeka Palace , Kuching.
Pada bulan Februari pula, uji bakat bersama setiap mentor akan diadakan di Sri Pentas TV3 melibatkan Fauziah Datuk Ahmad Daud atau Ogy (4 Februari), Faizal Tahir (5 Februari), Ramlah Ram (11 Februari), Ferhad (12 Februari), Ella (18 Februari) dan Adam AF (19 Februari).
Namun, ada segelintir pihak yang mempertikaikan kredibiliti salah seorang artis yang terpilih sebagai mentor untuk Mentor 6 dengan alasan artis itu seperti tidak layak dan tidak sesuai untuk dijadikan mentor bagi program yang memfokus terhadap bakat nyanyian walaupun artis tersebut memiliki pengalaman menjadi anak seni selama 38 tahun.
Jika merujuk kepada tempoh pengalaman itu, sudah tentu artis yang dimaksudkan ialah tidak lain dan tidak bukan Fauziah Datuk Ahmad Daud.
Bagi mendapatkan kepastian, Kosmo! telah menghubungi Fauziah atau lebih mesra disapa sebagai Kak Ogy untuk mendapatkan penjelasan terhadap apa yang dikatakan ini.
Kosmo!: Tahniah Kak Ogy kerana telah terpilih dan apa yang menyebabkan Kak Ogy bersetuju untuk menjadi Mentor musim keenam ini?
OGY: Sebelum ini pihak TV3 tidak pernah menawarkan saya untuk menjadi Mentor. Ini kali pertama. Kami mengambil empat kali pertemuan untuk saya bersetuju kerana saya berfikir dari pelbagai sudut. Yang pertamanya ialah, ada ke orang mahu menjadi protége saya dan hadir ke ujibakat Fauziah Ahmad Daud.
Kerana mungkin mereka sudah melihat cara saya mengkritik, sanggupkah mereka? Apabila saya berfikir semula, jika kita mempunyai ilmu, jika inilah platform untuk saya curahkan atau berkongsi ilmu saya dengan sesiapa yang terpilih kerana jika punyai ilmu jika pendam pun tiada gunanya juga.
Jadi, 38 tahun saya berada dan berbekalkan pengalaman sebanyak itu di dalam industri yang telah banyak mengajar saya sebagai seorang insan seni lagi pula latar belakang keluarga saya yang berdarah seni, ingin saya luahkan kepada pendatang baharu yang ingin sama belajar melalui pengalaman yang saya ada.
Apabila memikirkan dan keyakinan yang diberikan pihak TV3 sendiri, dan ini merupakan platform bagi saya berkongsi ilmu, jadi apa salahnya jika saya turut serta dalam program ini.
Semua ini sudah diatur oleh Maha Pencipta di mana musim keenam ini, Fauziah Ahmad Daud akan menjadi mentor dalam Mentor 6 ini dan insya-Allah, saya akan berikan yang terbaik.
Bagaimana kriteria protege yang dicari oleh Kak Ogy?
Saya tidak kisah sama ada lelaki atau perempuan. Mereka haruslah boleh bermain alat muzik dan juga boleh membaca not-not muzik serta sukakan cabaran. Saya perlukan seseorang yang kuat mental dan fizikal serta mempunyai kesungguhan yang tinggi. Saya juga tidak mahu mereka meniru mana-mana artis yang telah sedia ada di dalam industri muzik ini. Harus punya originality.
Sebelum ini, Kak Ogy sering menjadi pengkritik, jadi kali ini adakah anda sudah bersedia untuk dikritik?
Saya pernah menjadi pengkritik dan saya tahu perasaannya apabila dikritik. Saya akan terima kritikan tersebut kerana kita harus terima kritikan yang diberi untuk menjadi yang lebih baik. Saya suka dikritik kerana itu akan memberi cabaran kepada kita.
Bagi protégé pula, awal-awal saya beritahu, sesiapa yang hadir ke uji bakat saya, sila bersikap terbuka. Tidak boleh terlalu banyak berfikir atau punyai perasaan takut atau sebagainya.
Saya tidak mahu protégé yang punyai masalah attitute. Saya nak mereka yang masuk dalam industri ini kerana nak menimba ilmu bukan kerana nak populariti.
Mereka juga harus kuat mental dan emosi. Saya tak dera orang, cuma saya nak ajar mereka cara untuk berjaya dalam industri.
Apa perasaan Kak Ogy apabila ada sesetengah pihak yang mempertikaikan kredibiliti Kak Ogy menjadi Mentor?
Saya rasa pihak TV3 lebih sesuai untuk menjawab soalan ini. Namun,apa yang boleh saya katakan, saya sendiri tidak boleh menutup mulut dan mengawal setiap kata-kata yang keluar dari mulut orang,kerana mereka juga berhak bersuara.
Sebelum ini juga saya pernah terangkan kepada pihak TV3 bahawa saya bukanlah seorang penyanyi yang hebat. Tapi mungkin pihak TV3 ada jawapan dan sebab mereka sendiri mengapa memilih saya untuk menjadi Mentor musim keenam ini.
Jika begitu, mungkin Kak Ogy ada memikirkan strategi untuk membuktikan yang Kak Ogy memang layak?
Insya-Allah, pastinya ada. Kerjasama dalam pasukan adalah sangat penting untuk mencapai apa jua yang dirancangkan. Saya tidak mahu cakap lebih kerana belum lagi berlaku apa-apa.
Jadi, let my work speaks untuk nampakkan apa yang akan terjadi kelak. Ini kerana, kita belum lagi dapat protege dan apa akan terjadi atau bagaimana protege yang saya akan dapat nanti.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: