Thursday, January 12, 2012

Lapan tahun 8TV kekal urban


ELECOLDXHOT memberi sebuah persembahan mengujakan dengan skil tarian yang kemas.


TANGGAL 8 Januari 2012, menjadi begitu bermakna buat seluruh warga saluran 8TV apabila mereka sekali lagi menyambut ulang tahun penubuhan stesen tersebut buat kali kelapan.

Sesuatu yang mengujakan saluran ini juga apabila mereka kekal menjadi saluran televisyen tidak berbayar yang masih berada di landasan awal mereka sebagai saluran yang sentiasa menyajikan program-program urban dan hip biar sudah lapan tahun masa berjalan.

Justeru untuk meraikan ulang tahun kelapan sekali gus menghargai sokongan penonton 8TV, sebuah konsert percuma yang menampilkan artis-artis terkini diadakan di tempat letak kereta terbuka pusat beli-belah One Utama (Old Wing), Petaling Jaya, Selangor.

Digelar sebagai Big 8 Bash, pesta bermula seawal pukul 4 petang itu padat dengan aktiviti dan program menarik yang telah disediakan antaranya stilt walker', puppets shows dan pertandingan shuffle.

Pesta sebenar hanya bermula pada sebelah malam apabila barisan artis mula menguasai pentas dengan persembahan-persembahan mereka.

Ia dimulakan dengan slot konsert dari barisan artis Cina yang cukup terkenal selama dua jam pertama termasuk persembahan dari artis Malaysia yang mencipta nama di Taiwan, Nicholas Teo.

Kemeriahan konsert kemudian disambung dengan persembahan dari artis-artis urban yang memang mempunyai kelas tersendiri.

Juara Showdown 2011, Elecoldxhot membuka slot konsert dengan gerak tari dan persembahan yang cukup impresif. Ia kemudian diikuti dengan persembahan penuh sensual dan berani namun terlihat cukup internasional dari Arabyrd.

Turut tidak mengecewakan adalah persembahan dari nama-nama yang tidak terkenal dalam dunia mainstream tetapi mempunyai potensi yang cukup luar biasa.


KOLABORASI Reza Salleh dan Liyana Fizi begitu serasi.


Mereka termasuklah The Enterprise dan Kyoto Protocol yang mempunyai untaian muzik dan permainan yang mengujakan, Reza Salleh dengan untaian lagu indah dibantu kolaborasi bersama si manis Liyana Fizi, The Azenders dengan muzik mereka sebelum ia ditutup oleh Joe Flizzow, satu sama yang sudah cukup gah dalam dunia hiburan.

Menurut pihak 8TV, mereka sengaja memilih nama-nama tidak terkenal tetapi bertepatan dengan konsep mereka yang selalu menjadi pelopor sesuatu yang baharu dan hip.

Kemuncak acara kemudiannya, disudahi dengan countdown untuk ulang tahun kelapan 8TV yang jatuh pada 8 Januari 2012.

Dianggap sukses dan mencapai matlamat meraikan ulang tahun mereka dengan berkongsi kegembiraan bersama penonton, Pengurus Besar Kumpulan 8TV dan ntv7, Airin Zainul membuat rumusan bahawa cita-cita yang dibawa 8TV lapan tahun lalu kini telah dilestari dengan baik.

"Lapan tahun yang lalu, kami menyimpan satu cita-cita besar. Kami juga menyimpan satu idea dan berkat segala usaha kami sepanjang 8 tahun ini, 8TV telah melebarkan sayapnya dan mendapat tempat di hati penonton tempatan. Ini adalah berkat kerja keras dan dedikasi keluarga 8TV.

"8TV telah mengharungi banyak dugaan dan cabaran sepanjang saluran ini bersiaran namun kami berbangga kerana 8TV telah banyak belajar melalui segala cabaran tersebut."

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: