Saturday, January 21, 2012

Konsep butik pop-up


SUASANA butik pop-up yang mesra pengunjung.


BUKAN mudah mendapatkan sesuatu yang eksklusif namun jika tetap menginginkan pasti ada caranya. Bayangkan anda boleh memilih sendiri lencana yang anda berkenan pada baju T polo kegemaran anda.

Tidak kira bentuk lelaki bermain kuda polo, atau lencana tertera jenama itu sendiri atau boleh jadi juga lencana berbentuk nombor, semuanya anda yang tentukan. Malah tempat dijahit lencana tersebut juga anda yang tentukan sendiri! Menarik bukan? Lebih menarik apabila anda tidak perlu menunggu lama dan baju T polo serta lencana pilihan anda boleh dibawa pulang dalam tempoh kira-kira 15 minit sahaja.

Itu semua konsep yang dibawakan oleh jenama pelopor baju T polo terkemuka, Lacoste. Dengan pembukaan The Atelier L.12.12 Polo Pop-Up, ia memberikan satu pengalaman baru kepada penggemar baju T polo.

Konsep butik pop-up ini dibina dengan tujuan untuk lebih dekat pada pengguna, lebih segar, interaktif dan lari daripada konsep butik yang biasanya terdapat dalam pusat beli-belah terkenal.

Menurut pengurus The Atelier L.12.12 Polo Pop-Up Store, Ambert Khoo, konsep ini adalah yang pertama kali di Malaysia dan ia bukan sekadar tempat untuk membeli baju T polo, malah ia memberikan satu dimensi berbeza ketika membeli-belah.

“Boleh dikatakan, ia satu konsep beli dan belajar, belajar apabila di butik ini, kami turut menyediakan maklumat tentang sejarah jenama Lacoste itu sendiri dalam penyampaian yang lebih ringkas dan santai.

“Rasanya ramai yang tidak tahu bahawa Lacoste adalah pelopor pertama dalam penghasilan baju T polo, apabila pengasasnya Rene Lacoste yang juga seorang pemain tenis terkemuka dunia menghasilkan satu pakaian yang membolehkan dia memakainya dengan selesa ketika berhadapan satu perlawanan penting.

“Baju T polo asal telah dicipta dengan anyaman penuh teliti, menggunakan fabrik campuran kapas dan jersi. Itu antara informasi yang ingin kami kongsi bersama peminat baju T polo,” katanya yang ditemui S2 semasa majlis suai kenal bersama media di Highstreet, Pusat Beli-Belah One Utama, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Butik yang bersifat terbuka ini turut mempunyai seorang tukang jahit yang akan memenuhi di mana saja anda mahukan lencana tersebut dijahit.

Menerangkan tentang nama butik L.12.12, Ambert berkata ia sebenarnya adalah kod khas bagi penghasilan baju T polo itu sendiri

* L untuk LACOSTE

* 1 merujuk kepada material pique yang digunakan

* 2 adalah kod untuk tangan pendek

* 12 merujuk kepada prototaip kilang Lacoste yang telah diluluskan.

Selain sejarah dan baju T polo serta pelbagai pilihan lencana, Atelier L.12.12 Polo Pop-Up Store Concept ini juga memberikan pengalaman kepada pengunjung tentang bagaimana proses satu lakaran baju itu dibuat bermula daripada lukisan teknikal, diagram, material yang dikaji dan teknologi yang digunakan. Terdapat juga gambar-gambar yang menerangkan proses penghasilan produk Lacoste dan juga susun atur stor konsep yang sungguh ringkas tetapi menarik.

Bagaimanapun menurut Ambert, stor konsep ini bukanlah kekal di situ kerana ia akan berakhir pada 25 Januari ini. Mereka juga sebenarnya dalam rangka mewujudkannya di pusat-pusat beli-belah utama yang lain dalam jangka masa terdekat sepanjang tahun 2012 ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: