Thursday, January 12, 2012

Komedi diangkat di Istana Budaya


ANTARA barisan pelawak yang hadir pada sidang akhbar Lawak Ke, Der? Dari kiri: Johan, Zizan, Abon, Afdlin Shauki, Harun Salim Bachik dan Harith Iskander.


CUBA mencipta kelainan dari segi persembahan yang ditampilkan, buat julung kalinya pihak Istana Budaya (IB) dengan kerjasama NRG Enterprise Sdn. Bhd. akan membawakan genre komedi ke pentas berprestij itu bermula dari 3 hingga 5 Februari dan 10 hingga 12 Februari nanti.

Menampilkan nama-nama besar dalam dunia komedi tempatan, Lawak Ke, Der? (Bila Hati Digeletek) menggabungkan juara dan naib juara Maharaja Lawak Mega, Osbon dan Boboi selain Jozan, Nabil dan Harith Iskander.

Menurut Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani, pementasan teater bergenre komedi itu merupakan salah satu pengiktirafan kepada pelawak-pelawak tanah air.

Malah ia disifatkan bakal mencipta atmosfera baru kepada layar komedi di negara ini apatah lagi apabila dipentaskan di panggung itu.

"Peluang yang diberikan oleh pihak IB ini juga sebenarnya merupakan satu platform untuk mengangkat komedi ke tahap yang lebih tinggi.

"Kami juga cuba mencari kelainan kerana sebelum ini belum pernah ada lagi persembahan komedi berbahasa Melayu diadakan di IB," katanya.

Penyelamat keadaan

Dalam pada itu Juhari memberitahu, peluang mengangkat komedi ke pentas itu sebenarnya berpunca daripada salah satu pihak produksi yang gagal hadir kerana masalah visa.

"Persembahan Lawak Ke, Der? ini sebenarnya menggantikan slot Thousand Hands yang sepatutnya berlangsung pada 31 Januari hingga 12 Februari nanti.

"Namun produksi tersebut kemudiannya memberitahu yang mereka mempunyai masalah berkaitan visa melibatkan penari mereka.

"Ini menyebabkan kami terpaksa mencari pengganti bagi persembahan tersebut tetapi kebanyakan syarikat yang kami tawarkan menolak kerana jangka waktu persediaan yang singkat (satu bulan).

"Dalam masa yang singkat itu, mujurlah produksi Hans Isaac menerima tawaran tersebut sekali gus menyelamatkan keadaan dan saya berharap agar persembahan tersebut bakal mendapat sambutan dan juga reaksi positif daripada orang ramai," jelasnya.

Sementara itu, pengarah komedi tersebut, Hans Isaac memberitahu Lawak Ke, Der merupakan stand-up comedy dalam bahasa Melayu yang pertama kali diadakan seumpamanya di negara ini.

Dia yakin persembahan itu nanti akan mendapat sambutan menggalakkan daripada kalangan penggemar lawak tempatan.

Justeru katanya, peluang berdiri di pentas tersebut sememangnya sesuatu yang dinanti-nantikan oleh artis komedi tanah air.

"Jujurnya, tidak salah jika saya kata kebanyakan insan seni tanah air sememangnya mahu mengadakan persembahan di sini.

"Malah Harith sendiri memberitahu saya, walaupun dia telah banyak membuat persembahan di lokasi lain namun pentas IB adalah satu tempat yang menjadi impiannya selama ini.

"Jadi apabila wujud peluang sebegini, sememangnya ia akan digunakan sebaiknya," katanya.

Berlangsung selama enam hari di Panggung Sari, IB, Lawak Ke, Der? akan menampilkan Osbon pada 3 Februari dan 10 Februari, Jozan pada 4,5,11 dan 12 Februari manakala Boboi, Harith Iskander dan Nabil pada keenam-enam hari persembahan.

Tiket-tiket berharga RM53, RM73, RM123, RM173, RM203 dan RM353 boleh didapati di laman sesawang www.ticket2u.biz atau 03-41478600 untuk sebarang pertanyaan lanjut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: