|
PENGHUJUNG bulan Oktober tahun lalu mungkin waktu yang paling ideal untuk melariskan karya-karya berkaitan seni tari.
Mana tidaknya, sepanjang minggu itu ibu kota Kuala Lumpur diserikan dengan ekstravaganza Festival Seni di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), sejurus kemudian Inspitari pula menyusul.
Bagi yang kurang cakna akan perkembangan seni tarian kreasi yang diperkembangkan dan dipergiatkan oleh Kementerian Komunikasi, Kebudayaan (KPKK) menerusi Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), sudah tahun kedua program Inspitari diperkenalkan.
Inspitari hasil cetusan idea Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim itu sebenarnya gabungan dua perkataan iaitu inspirasi dan tarian yang memfokuskan tarian kreasi setiap negeri semata-mata.
Menurut Ketua Pengarah JKKN, Datuk Norliza Rofli, program Inspitari juga berjaya melahirkan jurulatih tarian atau koreografer serba lengkap dan mampu menghasilkan kreativiti di luar jangka.
"Biasa kita tengok tarian yang sedia ada terutama tarian tradisional kurang mendapat perhatian orang ramai, namun menerusi Inspitari sambutan yang diterima sangat di luar jangka, itu petanda positif!" katanya ketika menyampaikan ucapan sewaktu perasmian Malam Gala Inspitari 2011 di Auditorium Tunku Abdul Rahman (Matic), Kuala Lumpur.
Inspitari 2010 sebelum ini berjaya melahirkan 13 buah karya tarian baharu yang ditampilkan kepada orang ramai dalam pelbagai program dan acara kementerian.
Pada tahun ini, seramai 236 artis budaya JKKN daripada 15 kumpulan tarian jabatan terlibat dalam menjayakan Inspitari.
Tambah Norliza, menerusi program yang sama tahun lalu sebanyak enam buah naskhah tarian telah berjaya diangkat menjadi khazanah negara.
"Tarian kreasi daripada JKKN Johor, Sabah, Kuala Lumpur, Pahang, Negeri Sembilan dan Perak telah kita wartakan sebagai sebahagian daripada hak milik negara dan akan dipersembahkan dalam atur cara kita," ujarnya lagi.
Kreasi gerakan kehidupan
Memetik kata-kata Penolong Pengarah Kanan Penyelidikan dan Pembangunan JKKN, Rosnan Abdul Rahman, menerusi artikel keluaran Kosmo! sebelum ini, penganjuran kali kedua itu bertujuan untuk menambah koleksi tarian tradisional baharu tetapi, masih lagi mengekalkan akar budaya bangsa dan juga menghiburkan.
Para peserta perlu melakukan kajian dan hasilnya dibentangkan di hadapan barisan panel yang pakar dalam bidang masing-masing seperti muzik, tarian dan budaya.
"Kaedah tarian kreasi sudah lama diamalkan orang dahulu kala dalam mencipta sesebuah tarian. Sebagai contoh, tarian mak yong yang berusia 400 tahun adalah hasil pemerhatian terhadap pergerakan haiwan seperti gajah, ular sawa dan tumbuh-tumbuhan," ujar Rosnan.
Manakala melihat perkembangan positif yang dicapai menerusi program Inspitari, tegas Setiausaha Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Kamaruddin Siaraf, program seumpama itu harus dipergiat.
"Inspitari dalam masa yang sama dapat mempromosikan bidang pelancongan dan menjana sumber pendapatan negara, seharusnya ia perlu dikekalkan.
"Jika dilihat menerusi Dasar Industri Kreatif negara, tiga skop utama yang ingin diketengahkan iaitu multimedia, warisan serta seni dan budaya, maka Inspitari diharapkan dapat memandu arah pembangunan seni dan budaya pada masa hadapan," katanya.
Inspitari banyak peningkatan
Memandangkan sambutan yang diterima di luar jangka, dua slot persembahan disediakan pada Malam Gala Inspitari bermula pukul 8.30 malam.
Auditorium yang memuatkan lebih 500 penonton itu melimpah ruah dan inisiatif mengadakan dua slot persembahan dirasakan bertepatan. Mungkin selepas ini perlukan lokasi yang lebih besar memandangkan sambutan positif diterima dari tahun ke tahun.
Berdasarkan keseluruhan persembahan pada malam itu, jelas sekali satu-satunya kumpulan Mak Yong dari Kelantan mengejutkan audiens menerusi karya Nego yang diambil daripada singkatan perkataan berniaga menurut dialek negeri itu.
|
|
Jika tahun lalu menerusi Wau Beremas, persembahan yang ditampilkan kurang menyengat tapi tahun ini kumpulan itu berjaya membuka mata menerusi gerak tari yang mengetengahkan kemahiran menjunjung bakul oleh golongan wanita Kelantan.
Peningkatan mendadak dan seharusnya diberikan pujian. Tidak hairan ada dalam kalangan penonton yang bersorak melaungkan 'Las Vegas Malaya' usai kumpulan itu membuat persembahan.
Sekadar di tahap memberangsangkan, kumpulan JKKN dari Sabah, Johor, Negeri Sembilan, Perak, Kuala Lumpur, Pahang dan Sarawak nampak selesa di pentas.
Namun, ada juga beberapa kumpulan yang kelihatan seakan-akan cuba meniru konsep persembahan yang telah dibawakan oleh beberapa kumpulan yang sukses tahun lalu.
Bagi kumpulan JKKN dari Terengganu, Melaka, Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis, mungkin ada sesetengah aspek perlu diberi penekanan.
Namun, itu penilaian secara umum oleh penonton dan penggemar budaya yang hadir menyaksikan persembahan pada malam itu.
Ada benar mereka yang terlibat punyai justifikasi sendiri dan semestinya sudah mengkaji setiap naskhah sebelum dibawa ke peringkat sebegini. Apapun, syabas atas kejayaan Inspitari 2011!
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: