SENAWANG – Sebuah premis kedai satu tingkat di Bandar Seremban Selatan, di sini diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) kerana dikesan menyeludup 4,000 liter diesel bersubsidi bernilai RM27,000 dipremis terbabit, semalam.
Dalam serbuan kira-kira 12.30 tengahari itu, sepasukan anggota KPDNKK diketuai Mohd Hashim Md Daud berjaya menahan tiga lelaki berusia 30-an dipercayai sedang leka melakukan urusan jualbeli diesel bersubsidi itu.
Pengarah KPDNKK negeri, Mohd Talal Abu Bakar berkata, hasil siasatan mendapati, premis berkenaan menjadi lokasi bagi penjualan diesel itu dengan harga murah kepada pemborong.
Beliau berkata, diesel terbabit disorok di dalam 27 tong dram dan disyaki dipam dari sebuah lori bermuatan 10,920 liter, sebelum ianya dipindahkan ke dalam tong dram lain bagi tujuan penjualan.
“Kita mengesyaki seorang pemandu lori berusia 40-an daripada sebuah syarikat pengangkutan terbabit dalam pengambilan diesel berkenaan, sebelum meninggalkan lebih 30 hingga 40 liter minyak di dalam lori itu untuk dijual kepada peraih haram dengan harga antara RM300 hingga RM400,” katanya.
Menurutnya, pihaknya percaya sindiket itu beroperasi sejak lebih tiga bulan lalu dan dipercayai sudah mengaut keuntungan beribu-ribu ringgit.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 21, Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika sabit mereka boleh denda sehingga RM250,000 bagi syarikat dan RM100,000 bagi orang perseorangan” katanya kepada media selepas serbuan semalam.
Dalam perkembangan lain, seorang pemandu lori ditahan penguat kuasa KPDNKK kerana disyaki menyembunyikan diesel bersubsidi di sebuah stesen minyak di Taman Tuanku Ja’afar dekat sini, malam kelmarin.
Mohd Talal berkata, dalam serbuan kira-kira 8 malam itu, lelaki terbabit yang berumur sekitar 20-an dilihat menyalurkan diesel ke dalam sebuah tangki khas pada lori dipandunya.
“Dia cuba menyorokkan tangki berkenaan di sebalik muatan jerami kelapa sawit yang dibawa kenderaan terbabit namun sepasukan pegawai dan anggota PPDNKK negeri berjaya membongkar taktiknya.
“Hasil pemeriksaan menemui diesel bersubsidi kira-kira 500 liter dengan anggaran nilai RM900 dalam tangki khas yang boleh menampung muatan sehingga 3,000 liter itu,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: