Kata orang, rezeki tidak akan datang bergolek. Seperti kata pepatah, di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Bagi mereka yang terus berusaha tanpa kenal erti putus asa, pasti ada kejayaan yang akan dikecapi suatu hari nanti.
Menceburi dunia perniagaan adalah salah satu inisiatif yang boleh diambil bagi meningkatkan taraf ekonomi sesebuah keluarga. Malah, Rasulullah SAW juga pernah bersabda bahawa sembilan daripada 10 punca rezeki itu datangnya daripada perniagaan.
Bermula dengan menjual kuih
Bagi Pujiah Bahran, 55, faktor kesempitan hidup selepas kematian suami pada 1994 membuka matanya untuk mencari rezeki bagi menyara tujuh anaknya yang ketika itu masih kecil.
Sebagai surirumah, kehilangan suami menjadi ujian paling mencabar memandangkan dia tidak bekerja. Namun, untuk terus menyara anak-anaknya, Pujiah menjual kuih secara kecil-kecilan dengan menaiki basikal dari rumah ke rumah mengelilingi kampung di Kampung Delek, Klang.
“Setelah anak makin dewasa, saya berasakan menjual kuih tidak dapat menampung kehidupan kami sekeluarga lagi kerana perbelanjaan juga semakin tinggi. Bermodalkan duit pencen arwah suami yang diterima RM200 sebulan, saya membuka gerai kecil di tepi jalan.
“Kerja menjual kuih dari rumah ke rumah, saya upah anak jiran untuk melakukannya. Selepas membuka gerai, saya ada menerima bantuan RM3,000 kerana tergolong dalam asnaf zakat,” katanya.
Dengan wang itu, Pujiah mengubah suai sebuah bilik di rumahnya untuk dijadikan bilik operasi membuat kuih. Apabila tiba bulan puasa dan musim perayaan, Pujiah menambah pendapatan dengan menjual kuih raya.
Pujibiz.com medium promosi
Atas kesungguhan yang ditunjukkan Pujiah, rakan-rakannya mencadangkan untuk memohon bantuan daripada Unit Perancang Ekonomi Negara (UPEN). Nyata, permohonannya berjaya dan Pujiah menerima bantuan berupa ketuhar dan peti sejuk.
Kini, Pujiah sibuk menguruskan perniagaan kuih baulu atas talian yang menggunakan jenama Pujiah Enterprise.
“Sekitar 1996, saya mula menjual pelbagai jenis baulu resipi keluarga untuk majlis perkahwinan dan pada 2008, anak saya membantu membangunkan laman web Pujibiz.com bagi memudahkan pelanggan melihat produk ditawarkan.
“Sebelum adanya laman web sendiri, produk Pujiah Enterprise dikenali melalui kenalan dan label yang dilekatkan pada kuih,” katanya yang menjalankan perniagaan kuih baulu ini di bengkel di tepi rumahnya.
Menurutnya, dari segi penguru-san perniagaan dan laman web, dia hanya menggunakan khidmat anak-anaknya yang mempunyai kemahi-ran dalam bidang teknologi maklumat dan pengurusan akaun.
Tempahan cecah 4,000 biji seminggu
Menurut Pujiah, boleh dikatakan dia menerima tempahan baulu hampir setiap hari. Manakala, dalam seminggu, tempahannya mampu mencecah 3,000 hingga 4,000 biji baulu dan jenis bunga kemboja sentiasa menerima tempahan paling tinggi.
Bagaimanapun, nilai pengeluarannya mampu meningkat lebih tinggi terutama ketika musim cuti persekolahan kerana ramai yang melangsungkan perkahwinan.
Kata Pujiah, dengan tenaga kerja seramai lima orang, dia mampu menyiapkan sehingga 1,000 biji baulu dalam sehari dan dalam sebulan jua-lannya boleh mencapai lebih RM15,000 mengikut musim.
Sehingga kini, Pujiah Enterprise menawarkan lebih 13 jenis produk makanan termasuk baulu bunga kemboja, ikan, cermai berinti dan kek coklat serta banyak lagi.
Bagi memastikan jenamanya terus mendapat tempat di hati pelanggan, Pujiah sentiasa menjaga kualiti dan kebersihan produknya. Secara tidak langsung, cara ini membuatkan pelanggan lebih berpuas hati dan kembali mendapatkan perkhidmatannya pada majlis kerama-ian lain.
Seperti usahawan lain, Pujiah turut mempunyai perancangan tersendiri bagi mengukuhkan dan meningkatkan lagi perniagaan yang dibina.
“Sempena tahun baru ini, saya ingin mempunyai pembungkusan sendiri menggunakan jenama Pujiah Enterprise. Jika sebelum ini saya hanya menggunakan pelekat biasa, diharap tahun ini dengan adanya pembungkusan sendiri, pelanggan akan lebih mengenali jenama Pujiah Enterprise.
Optimis tingkatkan perolehan
“Selain itu, saya juga ingin menambah rangkaian produk dengan memperkenalkan kuih bergoreng seperi rempeyek dan kuih ros. Ini kerana buat masa ini, produk saya hanya terdiri daripada kuih-kuih yang dibakar,” katanya.
Pujiah yang juga salah seorang tenaga pengajar di pusat komuniti kawasannya di Klang berkata, dia turut memasang impian untuk mempunyai sebuah kedai agar lebih memudahkan pelanggan datang membuat tempahan.
Dengan segala perancangan ini, Pujiah menyasarkan untuk meningkatkan perolehan kepada RM20,000 sehingga RM25,000 sebulan pada tahun ini.
Malah, Pujiah turut berhasrat untuk menembusi pasaran luar Malaysia memandangkan makanan bergoreng mampu bertahan lebih lama berbanding kuih yang dibakar.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: