Rabecca Nur Islam
SEJAK membawakan watak penggoda dan antagonis membuatkan pemilik nama Rabecca Nur Islam, 25, ini bagaikan sinonim dengan peranan sedemikian.
Hal itu sedikit sebanyak membataskan kemampuan lakonannya. Namun begitu, Keramat barangkali tanda awal bakal mengubah persepsi penggiat seni lakon, juga peminat mengenai kebolehan wanita tinggi lampai ini.
Syazura, wanita tertekan yang cuba mencari penyelesaian terhadap masalahnya menuntut pelbagai ketahanan mental dan fizikal daripada Rabecca iaitu menghayati babak dirasuk dan akhirnya menjadi pembunuh.
Pada 20 minit babak terakhir menonton filem itu, bagi yang sudah menyaksikannya pasti kagum dengan kemampuan tubuh Rabecca yang seakan-akan elastik apabila mengangkat punggungnya separa kepala dengan hujung terjengkit serta reaksi wajah mengerang dalam keadaan mencangkung yang menggesa seluruh adrenalin ketakutan.Sempat kedengaran usikan suara nakal seperti meragui apakah benar yang terpamer di dalam layar skrin itu diri wanita mesra disapa Becca itu atau teknik CGI semata-mata.
“Saya sendiri tidak percaya melihatnya kerana saya seakan-akan tidak sedar dengan apa yang berlaku ketika menjayakan babak dirasuk itu.
“Sewaktu suntingan dilakukan, saya sempat melihatnya dan sesudah balik ke rumah, saya cuba meniru semula adegan itu tetapi jangankan mampu terjengkit di hujung kaki untuk mengangkat punggung pun saya tidak mampu.
“Sedangkan ketika babak itu dijayakan, keadaan badan saya sedang keletihan kerana sebelum ia dimulakan dari pagi, saya bersama pelakon lain seharian menjayakan babak lain. Itu juga adalah babak terakhir saya,” katanya yang berpuas hati dengan lakonannya dalam Keramat.
Tidak mahu mengenangkan yang bukan-bukan atau menganggap dirinya dirasuk ketika itu, Becca turut bersyukur kerana sepanjang penggambaran, dia tidak mengalami sebarang gangguan biarpun rumah yang menjadi lokasi penggambaran itu adalah rumah kosong yang sudah lama ditinggalkan.
“Dulu saya seorang penakut tetapi selepas menimba pengalaman mengacarakan program Seekers yang memerlukan saya mengikuti pasukan produksi itu ke lokasi yang dipercayai ‘keras’ dan berhantu, secara tidak langsung sedikit demi sedikit membina keberanian dalam diri saya.
“Sebelum saya, Saiful Apek dan Ida Nerina juga pernah menjadi pengacara program itu. Bagaimanapun, mereka hanya mengacara dalam studio.
“Justeru, apabila terbabit dalam penggambaran cerita hantu, saya tidak lagi berasa begitu takut kerana sudah mempersiapkan diri dengan bacaan ayat al-Quran yang boleh membantu mengurangkan rasa takut atau melihat benda tidak baik,”
katanya ditemui pada majlis pratonton yang diadakan di MBO, Subang Jaya, baru-baru ini.
Turut membintangi filem terbitan Metrowealth Movies Production yang diarahkan Azhari Mohd Zain itu termasuk Zul Handyblack (Habib/Nazmir), Mon Ryanti (Munirah), Hairul Azreen (Nasti), Adey Syafrien (Bukhari), Putri Mardiana (Dr Najwa) dan Diana Amir (Mustika).
Keramat mengisahkan sekitar tahun 1900, seorang lelaki bernama Habib difitnah kerana merosakkan kehormatan Mustika. Akibatnya, Habib dipukul orang kampung diketuai Jabar, abang kandung Mustika.
Habib yang bukan calang-calang orang terus dipukul dan kain yang selama ini menutupi wajahnya ditarik orang kampung dan berlakulah satu peristiwa yang amat dahsyat apabila semua penduduk kampung mati dek cahaya terang yang terpancar daripada wajah Habib.
Sementara pada zaman ini, kehidupan dua beradik iaitu Nazmir dan Nasti dihantui pelbagai peristiwa pelik dan menyeramkan bermula dengan kehilangan bayi yang dikandung Syazura, isteri Nazmir. Sejak itu, seorang demi seorang ditimpa pelbagai peristiwa misteri termasuk Munirah, isteri Nasti.
Keinginan Syazura untuk pulang ke kampung halaman suaminya menjadikan keadaan bertambah rumit. Satu persatu rahsia terbongkar dan mendedahkan sejarah yang mengejutkan Nazmir, Syazura, Nasti dan Munirah. Siapa sebenarnya dalang dalam perkara itu dan apakah rahsia di sebaliknya?
Beralih topik kepada kehidupan peribadi, Becca bersyukur rumah tangganya memasuki tahun kedua bersama suami pilihan, Nor Azam Datuk Sulaiman, 43, dalam keadaan sejahtera.
Kehidupan yang dijalani bertambah ceria dengan kehadiran anak tirinya, Nur Arif Qayum dan anak angkatnya, Nur Adam Danial.
Meskipun pernah wujud spekulasi yang kononnya Becca mendera dua anak tirinya, namun kehadiran Becca, suami, anak tiri dan anak angkat bersama ahli keluarga sedondon berpakaian rona jingga menjadi bukti bahawa dakwaan yang dilemparkan tidak pernah berlaku sama sekali.
“Saya malas hendak mengulas lanjut tuduhan mendera anak tiri saya. Memberi penjelasan hanya memperbesarkan lagi keadaan dan tidak ada jalan untuk menghentikannya.
“Bagi saya dalam dunia ini tidak semua yang suka kita dan tak semua membenci kita, jadi biarkan saja apapun kata mereka. Yang pasti keluarga kami baik-baik saja,” katanya.
Kehidupan seorang wanita sudah berkahwin belum cukup sempurna jika tidak melahirkan zuriat sendiri. Sehingga kini, Becca masih berusaha ke arah itu dan mengharapkan suatu hari memperoleh berita baik.
Trivia Rabecca
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: