Friday, January 6, 2012

Iqa seksi di kolam


UJAR Iqa, dia bukan seorang wanita yang suka berpakaian seksi tak kena tempat.


SEMENJAK muncul sebagai pemenang tempat ketiga dalam rancangan realiti Mentor pada bulan Mei tahun lalu, nama Nursyafiqah Nasratullah Mohd. Nor atau lebih dikenali sebagai Iqa Mentor kurang menjadi sebutan.

Bagaimanapun, penyanyi yang pernah protege kepada Edry Abdul Halim ini mula diperkatakan ramai gara-gara gambarnya sekadar memakai baju berwarna putih di kolam renang sehingga menampakkan sosok tubuhnya tersebar di sebuah laman blog hiburan tempatan.

Menerusi gambar yang tersebar itu, pelbagai reaksi yang diterima oleh pelantun lagu Di Penghujungnya itu sehingga ada yang beranggapan dia sengaja mahu mencari publisiti murahan.

Sama ada benar atau tidak penyanyi tersebut sengaja mahu mencipta kontroversi untuk menaikan namanya, Iqa yang dihubungi Kosmo! baru-baru ini menjelaskan perkara sebenar terhadap masalah yang melanda dirinya itu.

Kosmo!: Apakah perkembangan terbaru anda?

IQA: Setelah menghasilkan single pertama yang berjudul Di Penghujungnya pada pertengahan tahun lalu, kini saya sedang menanti merakamkan single yang kedua pula. Ia adalah sebuah lagu yang dihasilkan sepenuhnya oleh abang Edry, cuma belum ada tajuk lagi dan hanya menunggu masa untuk sesi rakaman.

Baru-baru ini ada beberapa keping gambar awak kelihatan agak seksi telah tersebar menerusi sebuah laman blog hiburan. Boleh Iqa jelaskan?

Saya telah diundang ke parti yang dianjurkan oleh sebuah majalah hiburan bersama pembaca. Namun, saya tidak diberitahu langsung tentang tema parti berkenaan dan penganjur hanya berpesan supaya membawa pakaian lebih.

Kemudian apabila saya datang barulah saya tahu ia adalah parti yang acaranya dilakukan di kolam renang. Kalau saya tahu lebih awal, tidaklah saya pakai baju yang berwana putih semasa parti tersebut.

Lagipun pada masa itu saya seorang sahaja artis wanita yang hadir dan turut disertai oleh beberapa orang artis lelaki. Malah, apa yang saya lihat ada juga beberapa orang pembaca yang berpakaian lebih seksi pada masa itu.

Bagaimana Iqa boleh bersetuju untuk bergambar sebegitu?

Tujuan saya hadir adalah sekadar untuk memeriahkan lagi parti. Kemudian pihak penganjur mengadakan sesi bergambar bersama artis-artis yang hadir dan sebagai salah seorang artis yang diundang, saya perlu menghormati permintaan mereka. Ketika sesi bergambar itu turut ada bersama-sama adalah jurugambar sebuah laman blog yang turut diundang ke parti itu.

Selepas sesi bergambar itu berakhir, saya ada melihat gambar-gambar yang diambil oleh jurugambar laman blog itu dan sedar ia kelihatan seksi. Bimbang tidak mahu tercetus sebarang kontroversi, saya ada berpesan supaya gambar berkenaan tidak disiarkan di blog mereka. Namun, apa yang mengecewakan apabila ia telah disiarkan pada keesokan harinya.

Apakah reaksi peminat Iqa bila melihat gambar-gambar tersebut?

Boleh dikatakan ramai peminat yang terus memberikan sokongan kerana mereka tahu tentang diri saya sepenuhnya. Bagi saya orang yang mengkritik dan menghina saya itu adalah mereka yang tidak mengenali diri saya yang sebenar.

Untuk pengetahuan semua, saya ni memang jenis yang tidak gemar untuk berpakaian seksi dan sukar untuk melihat saya memakai skirt pendek atau memakai baju yang tiada lengan. Saya seorang yang sangat berhati-hati dalam menjaga penampilan dan menafikan sekeras-kerasnya kalau ada yang menuduh saya sengaja mahu mencari publisiti murahan.

Bagaimana pula dengan reaksi pihak pengurusan Iqa, KRU Studios tentang isu gambar itu?

Saya bersyukur kerana pihak KRU Studios sangat memahami tentang kontroversi yang melanda itu. Malah, mereka turut memberi nasihat supaya lebih berhati-hati lagi selepas ini supaya perkara yang sama tidak lagi berulang.

Adakah Iqa rasa kontroversi sebegini wajar diperbesar-besarkan?

Sudah tentu tidak kerana dalam perkara ini saya bukanlah memakai pakaian yang terlampau seksi sangat. Hanya disebabkan baju yang saya pakai itu berwarna putih dan basah, mungkin ia kelihatan sedikit seksi pada pandangan sesetengah orang. Bagaimanapun, saya anggap kontroversi yang berlaku terhadap diri saya ini menjadi satu pengajaran yang paling berguna buat diri saya untuk terus berkecimpung dalam dunia seni.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: