|
AKTIVITI harian Rossnani Yunus, 52, bermula seawal pukul 6 pagi dengan mengerjakan solat. Ia diikuti dengan menyediakan sarapan, menyiapkan anak bongsunya, Mohd. Farzaiman Johari, 16, untuk ke sekolah.
Kemudian, dia akan mengemas rumah dan memasak juadah makan tengah hari. Selepas segalanya selesai, dia akan menghadap komputer untuk melayari laman sosial, Facebook.
Ketika anak-anak sudah bekerja, manakala kebanyakan penduduk yang tinggal berdekatan dengan rumahnya di Seremban 2, Negeri Sembilan keluar mencari rezeki, Rossnani menjadikan Facebook sebagai 'temannya'.
Ternyata usia tidak pernah menghalang ibu kepada empat cahaya mata itu untuk prihatin dengan perkembangan teknologi hari ini.
Pada saat orang lain yang mungkin seusianya tidak mengetahui apa itu Facebook atau janggal dengan laman sosial itu namun, sebagai seorang individu yang terbuka Rossnani lekas belajar.
Dengan Facebook, Rossnani dapat mengikuti perkembangan terbaharu teman-teman, anak-anak saudaranya dan menerima jemputan kahwin daripada adik-beradiknya. Facebook juga menjadi saluran untuk Rossnani berkongsi minatnya memasak dan merapatkan hubungan dengan keluarganya jauh di Kelantan.
Mempunyai sebuah laman kumpulan memasak, Kongsi Resepi yang dijadikan tempat untuk Rossnani berkongsi dan mendapatkan resipi baharu daripada ahli kumpulan.
Check in
Sebenarnya, dari tahun lalu lagi Rossnani sudah memiliki akaun Facebook tetapi, dia tidak pernah aktif melayarinya. Bagaimanapun, pada awal tahun ini, kebaikan laman sosial itu mula dikesan wanita tersebut.
Katanya, sebagai ketua keluarga yang mempunyai anak-anak yang sudah bekerja dan masih bersekolah, ia membolehkan Rossnani mengetahui lokasi anak-anaknya.
"Dengan Facebook, saya mengetahui di mana mereka berada dengan status check in. Sekurang-kurangya, mereka berlaku jujur kepada saya," terang Rossnani ketika ditemui di Seremban, Negeri Sembilan.
Sebagai tanda sudah membaca status check in anak-anaknya, biasanya wanita yang mesra dipanggil Umie itu akan mengklik butang like.
Ujar Rossnani, anak-anak remaja dan dewasa sudah tidak boleh dibentak, dimarah dan jauh sekali dirotan. Jadi, dengan Facebook juga, dia akan mengemas kini status berbentuk nasihat, panduan agama dan kata-kata hikmah.
Bukan sahaja ia memberi manfaat kepada kira-kira 1,500 orang yang berada dalam senarai kawannya tetapi, paling penting anak-anaknya faham apa yang ingin dia sampaikan.
Tidak seperti anak-anak lain yang tidak mahu ibu bapa mereka mengetahui lokasi dan aktiviti mereka bagi, anak sulung Rossnani, Mohd. Farzan Johari, 30, ibunya wajib mengetahui setiap lokasi keberadaannya.
"Ibu adalah seorang yang berfikiran terbuka, tidak ada masalah untuk dia mengetahui aktiviti dan lokasi kami," kata Mohd. Farzan yang bekerja sebagai pramugara di Malaysia Airlines (MAS).
Tambah anak kedua Rossnani, Mohd. Farzrin Johari, 26, pula sebenarnya mereka adik-beradiklah yang menggalakkan ibunya menggunakan Facebook.
"Lagipun, kini talian Internet boleh diakses secara percuma di kebanyakan tempat," kata Mohd. Farzrin kepada Kosmo!.
Tukar guna Blackberry
Selepas lebih setahun aktif melayari laman sosial Facebook, Rossnani tidak pernah memilih rakan malah, kesemua rakan anak-anaknya turut berada dalam senarai rakan-rakannya.
Selain itu, dia ada juga menerima pelawaan menjadi sahabat di alam maya yang terdiri daripada individu-individu asing seperti dari Eropah dan Amerika Syarikat.
Pada mulanya, dia berasa seronok kerana dengan cara tersebut Rossnani dapat mempraktikkan kemahiran berbahasa Inggeris.
Tetapi, lama-kelamaan apabila orang asing tersebut sudah mula bertanyakan perkara-perkara yang bersifat peribadi seperti pekerjaan dan status perkahwinan menyebabkan dia mula sangsi.
"Saya tidak suka orang begitu. Jadi, cara mudah adalah saya akan unfriend mereka dan block individu tersebut supaya dia tidak boleh buat apa-apa walaupun menghantar mesej," ujarnya lagi sambil menasihati orang lain berbuat perkara yang sama jika ada individu bertanyakan soalan terlalu peribadi.
Selepas beberapa bulan dia menggunakan komputer riba untuk melayari Facebook. Pada bulan September lalu, dia membeli sebuah telefon pintar, Blackberry (BB) jenama Curve untuk mudah mengakses Facebook.
Bagi Rossnani, penggunaan BB lebih mudah kerana Facebook boleh diakses di mana-mana sahaja dan tidak mengira masa berbanding penggunaan komputer.
Tidak mahu ketinggalan dengan teknologi, selepas memiliki BB, Rossnani juga tidak ketinggalan aktif dengan Perkhidmatan Blackberry Messenger (BBM). Katanya, BBM lebih mudah dan murah berbanding sistem pesanan ringkas (SMS).
Akuinya, melayari Facebook dengan telefon pintar memang akan menyebabkan penggunanya ketagih sehingga tidak peduli pada sekeliling. Jadi, perlu ada kawalan dalam diri supaya tidak kerap menggunakannya.
Sikap ingin tahu
Untuk tujuan berkongsi resipi dan pendapat mengenai masakan dia menyertai sebuah Page yang dianggotai kebanyakan wanita yang mempunyai minat yang sama dari seluruh Malaysia.
Selain itu, dia juga ada mengklik butang like pada Fanpage chef-chef terkenal seperti Chef Wan, Chef Zam dan juga penyanyi kegemarannya seperti Rohana Jalil dan Aris Ariwatan.
Pada sebelah malam, selepas anak-anaknya sudah masuk tidur kebiasaannya, dia akan mengemas kini Page tersebut yang kadangkala memakan masa sehingga tiga jam lamanya.
"Page hanya boleh dibuka dalam komputer dan tidak boleh diakses menggunakan BB atau iPad. Sambil-sambil itu, boleh juga mendengar lagu di laman YouTube," katanya sambil membalas komen dalam Facebook dengan menggunakan iPad.
Rahsia Rossnani cekap menggunakan teknologi seperti Facebook ialah dia sentiasa mempunyai sikap ingin tahu dan suka mencari serta menjelajahi sesuatu yang baharu.
"Kadangkala, saya bertanyakan kepada ibu tentang aplikasi baharu di Facebook kerana sekarang dia terlebih dahulu akan mencuba atau mengetahui aplikasi baharu di Facebook," kata anak perempuan Rossnani, Nurul Fashareena Johari, 21, menceritakan mengenai ibunya yang sangat terbuka menerima teknologi.
Pernah satu ketika, Rossnani aktif bermain permainan yang terdapat di Facebook seperti Cityville dan Farmville tetapi, kini tidak lagi disebabkan terlalu memakan masanya.
Cuma satu sahaja yang tidak disukai oleh Rossnani dalam laman Facebook iaitu serangan virus atau aktiviti phishing yang menyebabkan dindingnya (wall) mengeluarkan foto-foto berbaur lucah.
"Saya tahu itu semua adalah virus tetapi, takut apabila mereka yang tidak tahu mengenainya menyangka Umie yang bertanggungjawab," kata Rossnani sambil menunjukkan sebuah post yang keluar di wall Facebooknya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: