Thursday, January 12, 2012

Graduasi Tadika Harapan Mekar


Seramai 16 murid prasekolah dari Tadika Harapan Mekar, Bandar Puncak Alam diraikan pada Majlis Graduasi di Sekolah Kebangsaan Puncak Alam (2), Selangor, baru-baru ini.


TADIKA Harapan Mekar, Bandar Puncak Alam, baru-baru ini telah mengadakan Majlis Hari Graduasi bagi meraikan murid-murid yang telah tamat prasekolah yang seterusnya akan melangkah ke satu tahap lagi iaitu sekolah rendah.

Pengerusi Koperasi Guru Melayu Selangor yang juga Penasihat Tadika Harapan Mekar, Abu Hassan Sidek berkata, majlis yang diadakan adalah isyarat tamatnya satu pusingan bagi tahun pertama tadika ini beroperasi.

"Seramai 16 murid telah berjaya menamatkan persekolahan di tadika ini dan selanjutnya akan memasuki tahun satu di sekolah kebangsaan apabila bermulanya sesi persekolahan tahun 2012.

"Terima kasih tidak terhingga kepada guru-guru yang merupakan nadi utama tenaga pengajar serta ibu bapa yang sentiasa memberikan kerjasama sepanjang anak-anak mereka berada di tadika ini," katanya pada majlis tersebut di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini. Hadir sama Guru Besar Tadika Harapan Mekar, Saleh Ismail.

Majlis diadakan di Dewan Gemilang, Sekolah Kebangsaan Puncak Alam (2) bermula pada pukul 8.30 pagi dengan kehadiran kira-kira 80 ibu bapa dan penjaga.

Tadika berkenaan mempunyai seramai 42 murid terbahagi kepada murid enam tahun seramai 16 orang, lima tahun seramai 23 orang dan murid empat tahun seramai tiga orang.

Tiga orang murid enam tahun dan dua orang murid lima tahun dipilih menerima Hadiah Kecemerlangan pada majlis itu.

Tambah Abu Hassan, tahniah diucapkan kepada murid-murid yang telah berjaya menamatkan pembelajaran dan yang terpilih sebagai murid cemerlang di tadika ini.

"Semoga anda semua akan mencapai kejayaan yang lebih besar di peringkat sekolah, universiti dan kerjaya, seterusnya menjadi modal insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara," harap beliau.

Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan daripada murid-murid lima dan enam tahun.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: