Monday, January 16, 2012

Galakan ibu pendorong kejayaan


Pemenang pertama Kategori A pertandingan Cyberjaya Writing Marathon, Aida Nureen Taqiah bersama hadiah kemenangannya di Cyberjaya, baru-baru ini.


DORONGAN ibu menjadi pemangkin kejayaan pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Kemuning, Shah Alam, Aida Nureen Taqiah Amirulbahri dalam pertandingan Cyberjaya Writing Marathon baru-baru ini.

Dia dipilih sebagai johan kategori A untuk pelajar sekolah menengah yang berumur dari 13 hingga 17 tahun dengan tajuk yang ditetapkan pihak penganjur, Cyberview Sdn. Bhd. (Cyberview) iaitu What is Cyberjaya to Me?

"Ibu banyak memberi galakan untuk membuat rujukan secara atas talian yang membantu saya mengetahui bagaimana Cyberview bekerja keras membangunkan Cyberjaya sebagai sebuah bandar siber yang moden," katanya selepas majlis penyampaian hadiah pertandingan itu di Cyberjaya, Selangor, baru-baru ini.

Sebagai juara pertandingan, dia menerima hadian berupa wang tunai bernilai RM1,500, sebuah Apple iPad2 dan sijil.

Tempat kedua menjadi milik Eer Kai Song yang membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM1,000, Apple iPad2 dan juga sijil. Manakala tempat ketiga pula dimenangi K. Sutha dengan hadiah wang tunai RM500, Apple iPad2 dan sijil.

Menurut Pengarah Urusan Cyberview, Hafidz Hashim, pertandingan disasarkan untuk merangsang pemikiran kreatif dan idea inovatif di kalangan pelajar tentang betapa pentingnya peranan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk masa depan.

"Ia juga bertujuan memberi pelajar peluang mendapat pengetahuan lebih banyak tentang Cyberjaya yang merupakan perintis bandar siber sebagai lokasi pilihan bidang ICT, multimedia dan perkhidmatan untuk inovasi dan operasi," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: