Monday, January 2, 2012

Gabungan gaya Manhattan


BLAUS rona merah dipadankan dengan skirt pendek berperincian merah berkilau menyerlahkan imej seksi si pemakai.


GAYA DKNY Resort 2011 bermula dengan skaf yang dipakai dengan cara moden yang mudah. Rona hitam menjadi penata utama dengan sedikit siluet merah lembayung, fauna dan kuning kadmium.

Selain warna asas berkenaan, DKNY Resort 2011 turut menampilkan warna-warna natural seperti dres skaf corak kulit haiwan yang mempunyai potongan ringkas serta disarung longgar.

Blaus trapez sutera atau berperincian pula sesuai dipakai sama ada waktu siang atau malam. Untuk menampilkan gaya lebih dramatik, jaket kulit disarung untuk mewujudkan gabungan gaya maskulin namun masih mengekalkan ciri-ciri kelembutan.

Koleksi dres pula tampil dengan pilihan warna sejuk biru dengan gabungan putih atau perang. Ia memberikan sedikit suntikan unsur alam dan rona panas merah yang mengiringi hayunan langkah yakin si gadis.


GABUNGAN dres pendek paras lutut dengan jaket berkait labuh sesuai bagi mereka yang inginkan gaya feminin.


Bagi mereka yang inginkan gaya feminin, gabungan jaket berkait labuh atau satin dan pilihan kardigan ringkas melengkapkan gaya berkenaan. Pada masa yang sama, elemen kasual diserlahkan apabila menyarung dres pendek paras lutut rona kelabu dan hitam.

Dres pendek yang seksi juga tersedia dalam beberapa pilihan sama ada tanpa lengan, beropol atau berkedut. Pilihan tersebut tampil dalam pilihan sama ada polos, berperincian atau bercirikan blok warna.

Selain dres, pilihan tank atau tee tampil dengan perincian ringkas sama ada ropol berkedut atau pelet ringkas.

Gaya kali ini yang banyak menampilkan busana longgar dalam dua saiz dapat disesuaikan dengan jaket dan tali pinggang bersesuaian.

Donna Karan telah memilih gaya resort untuk melatari pentas fesyen peragaan berbanding gaya formal yang sering ditampilkannya sebelum ini. Namun, pemilihan rona putih, hitam, navi dan perak menjadi pilihan utama dalam koleksi berkenaan.


BUSANA jubah dan skaf DKNY kali ini sesuai buat hadiah Krismas kerana ia mampu menyerikan penampilan serta-merta.


Baginya, musim percutian banyak didominasi acara santai pada waktu malam. Dia mahu menampilkan koleksi yang mempunyai suntikan maskulin dan feminin dalam satu rekaan atau melalui gabungan suai padan mengikut cita rasa penggemar jenama DKNY.

Hala tuju rekaannya juga dapat dilihat pada rekaan sut seluar yang lembut dan mengikut lenturan badan dan jaket yang mempunyai hud. Tidak ketinggalan jumpsuit sutera berpotongan kemas di bahagian atas tetapi longgar dan beralun dari paras pinggang ke bawah.

Sebagaimana bandar raya New York itu sendiri, koleksi kali ini tampil berseni dan bold. Ia sarat dengan tekstur yang membekalkan 'tenaga' di dalam almari pakaian sekali gus meraikan mood dan momen si pemakainya dengan penuh gaya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: