Selama tujuh tahun pembabitannya dalam bidang seni, siapa yang dapat menyangkal nama Fasha Sandha sebagai pelakon yang cukup disegani.
Berbekalkan wajah jelita dan bakat yang semakin menyerlah hari demi hari, anak kelahiran Johor Bahru ini terus mendapat kepercayaan pengarah untuk melariskan produk mereka.
Bagaimanapun, seiring populariti dikecapnya, ada ‘harga’ yang perlu dibayar tunjang utama drama bersiri Cinta Elysa ini.
Sepanjang tempoh bergelar anak seni, kontroversi boleh diumpamakan sebagai bayang-bayang yang sentiasa mengekori dirinya.
Paling mendapat perhatian peminat pastinya kisah cintanya dengan jejaka bernama Rizal Ashram atau lebih dikenali sebagai Jejai.
Biarpun hubungan pasangan ini ada pasang surutnya, umum sudah mengetahui kisah cinta mereka yang bukan lagi rahsia.
Malah, Fasha dikatakan bakal mengakhiri zaman bujangnya dengan kekasih hati apabila gambarnya mencuba gaun pengantin tersebar di laman blog.
Belum reda isu itu, muncul pula khabar mengatakan pasangan ini sudah pun bernikah secara senyap-senyap di negara jiran, Thailand.
Bagaikan sudah mengetahui akan diajukan persoalan itu, Fasha yang ditemui ketika majlis pengumuman Top 5 Anugerah Bintang Popular, baru-baru ini menjawab dengan tenang.
“Saya masih single dan belum berkahwin. Semua spekulasi terutama saya sudah bernikah di Thailand adalah tidak benar sama sekali,” katanya.
Malah, Fasha juga menolak tanggapan bahawa dia mahu mengabadikan hari bahagianya sempena tarikh lahirnya dan memilih Jakarta, Indonesia sebagai lokasi melangsungkan perkahwinan.
“Jadual saya penuh sehingga Mei ini, maka tidak mungkin saya akan berkahwin pada hari lahir saya. Tentang pemilihan Jakarta sebagai lokasi perkahwinan, saya tidak dapat memberi kenyataan lanjut.
“Semuanya masih terlalu awal untuk diperkatakan. Namun, yang pasti saya tidak akan bernikah di Thailand. Jangan risau, apabila sampai masanya saya akan berkongsi juga dengan peminat,” katanya.
Biarpun masih berteka- teki tentang tarikh dan lokasi perkahwinan, jelas terpancar kebahagiaan di wajah gadis berusia 28 tahun ini tatkala bercerita mengenai buah hatinya.
Tidak seperti selebriti lain yang mengadakan sidang akhbar bagi mengumumkan perkahwinan, Fasha enggan melakukannya demi menghormati permintaan sang arjuna.
Sebaliknya, Fasha memilih untuk memaklumkan berita gembira itu melalui beberapa rakan media yang rapat.
“Tiada sidang akhbar kerana Jejai tidak biasa menjadi perhatian. Lagipun, membuat sidang akhbar terlalu ‘besar’ buat saya.
“Saya rasa cukuplah dengan memberitahu teman media terdekat dan mereka akan menguar-uarkannya di dalam akhbar masing-masing,” katanya.
Seiring dengan peminat yang sering mendoakan agar dia cepat berkahwin, Fasha sendiri mengakui sudah bersedia untuk bergelar isteri dan menempuh hidup berumahtangga.
“Secara dalamannya, saya sudah lama bersedia lebih-lebih lagi pada usia ini. Cuma, saya harap peminat faham belum masanya untuk saya berkongsi tentang perkahwinan saya,” katanya.
Rezeki mencurah-curah
Beralih ke perkembangan kariernya, menurut Fasha, dia kini sedang sibuk menjalani penggambaran filem Penanggal arahan Elly Suriati.
Selepas itu, dia akan terus ke lokasi penggambaran drama Seindah Sakura, termasuk di Paris dan Perancis sepanjang Mac ini.
Fasha yang tercalon dalam senarai Top 5 Pelakon Drama Wanita Popular Anugerah Bintang Popular 2010 bersyukur masih mendapat perhatian pengarah sehingga kini.
“Alhamdulillah, rezeki masih berpihak kepada saya walaupun muka-muka baru tumbuh bak cendawan lepas hujan.
“Walaupun agak penat dengan jadual padat, rugi rasanya menolak tawaran diberikan kerana semua itu rezeki,” katanya.
Selain lakonan, Fasha yang turut mengusahakan salun Chinta di Wangsa Maju dan bercadang untuk membuka cawangan kedua.
“Sambutan untuk salun saya amat memberangsangkan dan sekiranya tiada halangan, saya mahu membuka cawangan di Johor kerana fan base saya yang kuat di situ. Sesibuk mana sekalipun di lokasi penggambaran, saya akan tetap berada di salun empat kali seminggu.
Saya serius dengan perniagaan ini dan akan memastikan setiap pekerja beri perkhidmatan berkualiti kepada pelanggan,” katanya.
Saya serius dengan perniagaan ini dan akan memastikan setiap pekerja beri perkhidmatan berkualiti kepada pelanggan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: