Wednesday, January 11, 2012

Dua kali di ambang maut


SUAMI serta enam orang anaknya merupakan tonggak utama Noraini untuk kuatkan semangat melawan sakit kanser.


BERSEMBANG dengan wanita yang tidak lekang dengan senyuman serta gelak tawa ini, siapa sangka dia pernah berdepan dengan keadaan yang mampu membawa maut sebanyak dua kali.

Begitu besar dugaan pemilik nama Noraini Mohd. Nor, 40, tetapi dia tetap sentiasa dengan sifatnya yang ceria dan sungguh pandai menyembunyikan pengalaman getir yang ditempuhinya sebelum ini.

Senyumannya itu katanya milik keluarganya terutama suami dan enam orang anaknya yang merupakan pembakar semangat utama untuk dia terus tabah melawan sakit kanser kelenjar darah iaitu Limfoma Hodgkin tahap kedua sebanyak dua kali.

Pertama kali dikhabarkan oleh tiga orang doktor di Hospital Putrajaya pada tahun 2006 yang ketulan-ketulan sebesar guli yang tumbuh di leher kanannya merupakan kanser, mati merupakan perkara pertama yang terlintas di otaknya.

Menambahkan luluh hati Noraini ketika itu, doktor memberitahu kansernya sudah merebak dari leher kanan ke saluran pernafasan, hati dan perut, menyebabkan hatinya bengkak teruk dan menyempitkan saluran pernafasan.

Malah, keputusan ujian imbasan CT pada bulan Ogos 2006 menunjukkan dia turut mempunyai ketumbuhan di dalam rahim.

"Saya hanya membayangkan kematian semakin menghampiri saya sewaktu disahkan menghidap kanser kerana itu yang saya faham tentang kanser sebelum ini iaitu kanser berakhir dengan maut.

"Ketika itu, saya terfikir tentang anak-anak yang masih kecil. Saya tidak bersedia meninggalkan mereka dalam keadaan mereka masih memerlukan kasih sayang serta bimbingan seorang ibu," cerita suri rumah dari Semenyih, Selangor itu.

Setelah ditenangkan suami tercinta, Sahrin Mohd. Ayop, Noraini bertekad untuk melawan sakit yang dideritainya itu demi anak-anak dengan apa cara sekalipun.

Sebanyak 12 kali rawatan kimoterapi dijalaninya di Hospital Besar Kuala Lumpur, tidak sekali Noraini menumpahkan air mata di hadapan anak-anaknya walau seksa dengan kesan sampingan kimoterapi yang kuat.

"Suami saya yang sering menyaksikan saya menangis terutama dalam tidur kerana saya tidak mahu anak-anak sedih dan pelajaran mereka terjejas akibat risaukan saya," katanya yang kemudian pulih hasil rawatan kimoterapi.

Dugaan kali kedua

Setelah empat tahun menjalani kehidupan sihat seperti biasa dan dianggap 98 peratus selamat daripada kanser memandangkan tempoh yang lama itu, Noraini sekali diduga dengan ujian yang sama.

Disahkan menghidap kanser kelenjar darah tahap kedua buat kali kedua, ketumbuhan sebesar telur ayam dikesan di leher kirinya pula pada Oktober 2010.

Rawatan kimoterapi yang dilaluinya kali ini yang digelar rawatan kimoterapi ais lebih 'kejam' berbanding yang dilaluinya empat tahun lalu kerana menurut Noraini, sakitnya dua kali ganda dari sebelum itu.

"Pernah terlintas untuk ditarikkan saja nyawa saya ketika sesi kimoterapi yang terakhir kerana sakitnya umpama dicekik leher sehingga terasa nyawa seolah-olah dihujung 'cengkaman' itu.

"Alhamdulillah, saya berjaya melaluinya. Selepas melakukan pemindahan ibu darah, saya kini bebas daripada kanser," katanya yang mengambil upah menjahit pakaian bagi membantu suaminya serta membiayai perubatannya.

Terbau kapur barus

Kongsi Noraini lagi, lawan bagi penyakit kanser ini ialah semangat serta sokongan terutamanya dari orang tersayang dan jangan melayan sangat lara hati.

Pernah tertanya-tanya kenapa dia yang dipilih untuk diuji sekali lagi, Noraini turut pernah terasa yang penyakitnya tidak akan sembuh serta tiada harapan.

"Pernah seketika, saya sering terbau-bau kapur barus seolah maut bersedia menjemput saya tatkala saya melayan perasaan seorang diri ketika berada di dalam wad.

"Namun, kekuatan kembali datang dengan sokongan keluarga. Saya bersyukur mempunyai suami yang sentiasa ada di sisi dan anak-anak yang memahami kesusahan yang dihadapi ibu mereka," luah hati Noraini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: