Thursday, January 19, 2012

Diandra Arjunaidi Bersedia Hadapi Kontroversi

KUALA LUMPUR: Penyanyi baru, Diandra Arjunaidi, 20, sudah bersiap sedia untuk melalui sebarang kontroversi pada masa akan datang dan tidak kisah sekiranya dia hilang kebebasan seperti remaja lain.

Diandra berkata, dia faham, apabila bergelar penyanyi secara profesional, dirinya akan menjadi milik masyarakat dan dia akan berjaga-jaga dalam setiap langkah yang dibuat.

"Saya faham, apabila bergelar seorang artis, terlalu banyak cubaan dan dugaan yang akan dilalui, terpulang kepada diri masing-masing. Lebih-lebih lagi tentang imej berpakaian, semua itu saya dah bersedia.

"Kalau nak kata hilang kebebasan, ia bukanlah satu isu yang besar kerana sebelum ini pun saya jarang keluar rumah melainkan mempunyai kerja-kerja nyanyian atau sekali sekala melepak di kedai mamak bersama rakan-rakan," kata penyanyi Yuna Room Records (YRR) ini.

Tambah penyanyi yang baru sahaja melancarkan album pertamanya, Diandra Arjunaidi ini, dia berharap agar peminat muzik tempatan dapat menerima karyanya itu.

Dalam pada itu, Diandra berkata dia gembira apabila melihat ramai wanita yang mula mempelajari gitar sebagai permulaan untuk menceburkan diri dalam bidang muzik.

"Sekarang ini perempuan bermain gitar merupakan satu 'trend' lebih-lebih lagi daripada kalangan remaja. Mereka akan bermain gitar dan merakamkan nyanyian untuk dimasukkan ke dalam laman Youtube.

"Saya juga baru sahaja belajar bermain gitar dan sekali sekala, saya akan membawa gitar bersama ketika membuat persembahan nyanyian.

"Bagi saya, ia satu perkara yang sangat 'cool' kerana menunjukkan industri muzik kita semakin berkembang," ujarnya.

Album sulung Diandra yang memuatkan sebanyak tujuh buah lagu seperti Angkasa, Things We Don't Say, Remember, Happy, Entitled, White Lines dan You kini sudah berada di pasaran.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: