Siti Adira Suhaimi
NADA suaranya ada getaran emosi yang sangat hebat tatkala membisikkan baris ayat “Malam kau bawalah rinduku untuk dirinya yang jauh dari ku....”
Demikianlah antara lirik lagu Ombak Rindu nyanyian Adira bersama Hafiz yang begitu mencengkam perasaan. Tentu ada yang masih ingat mereka berdua pernah bercinta namun ia tidak kekal lama. Apakah Adira mahupun Hafiz menyanyi lagu itu daripada suara hati mereka sendiri?
Saat soalan itu diajukan kepada Adira yang menyanyikan lagu itu baru-baru ini, pemilik nama sebenar Siti Adira Suhaimi, 21, menepuk manja tangan penulis. Dia dengan lembut menafikan lagu berkenaan apa kaitan dengan kisah cintanya yang sudah berlalu.
“Saya bukan bersedih kerana terkenangkan kisah cinta saya dengan Hafiz yang pernah terputus di tengah jalan dulu. Bagi saya lirik lagu itu sendiri terlalu menyentuh perasaan tambahan pula saya pernah dua kali menonton filem Ombak Rindu di pawagam.
“Justeru, ketika saya menyanyi tadi saya tiba-tiba saya terbayang pula babak sedih dalam Ombak Rindu. Itu saja,” katanya yang cuba meleraikan spekulasi tetamu pada majlis anjuran jenama kosmetik Avon, baru-baru ini.
Adira mengulas lagi, perpisahan dirinya dengan Juara Akademi Fantasia 7 (AF7) itu atau nama sebenarnya, Mohd Hafiz Mohd Suib, 22, sudah berada dalam lipatan sejarah.
Tambahan pula kata Adira, mereka berdua yang bersepakat mengambil keputusan untuk mengakhiri hubungan itu secara baik kerana mahu mengejar kerjaya dalam hidup.
Katanya, masing-masing masih muda dan harus memberi fokus kepada bidang seni yang menuntut banyak pengorbanan. Mereka masih bertatih-tatih dan perlu lebih waktu untuk benar-benar berada pada tahap selesa.
“Masa sekarang lebih penting untuk kami mengukuhkan ekonomi dan kemajuan tugas.
Sebab itulah kami sanggup ketepikan soal perasaan. Kebetulan, kami berdua sangat sibuk sampaikan tiada masa untuk menjalani kehidupan seperti pasangan kekasih lain.
“Kurang memberi perhatian kadang-kadang boleh menjadi punca pasangan itu rasa terpinggir tapi apakan daya kerja sebagai penyanyi atau artis memang tak tentu masa.
“Bagaimanapun antara kami memang tiada rasa dendam. Hafiz berhak untuk mendampingi sesiapapun begitu juga dengan saya. Cuma saya sendiri kurang selesa ada kekasih buat masa ini kerana mahu beri laluan pada kerjaya seni yang baru setahun jagung,” ujar Adira yang comel dengan imej rambut pendeknya itu.
Apa yang nyata, hubungan cinta Hafiz dan Adira sedikit masa lalu pernah mencetuskan kontroversi apabila Hafiz dilaporkan bertindak kasar ke atas seorang wanita yang dipercayai seorang ‘pengkid’.
‘Pengkid’ itu dikatakan bekerja sebagai pengurus persembahan pentas dan pada hari berkenaan, Hafiz kelihatan berang gara-gara cemburu apabila mengetahui ‘pengkid’ itu cuba rapat dengan Adira. Bagaimanapun, perkara itu sudah pun diselesaikan oleh mereka.
“Seperti pernah saya katakan, saya tak pernah memilih kawan kerana ‘pengkid’ juga manusia biasa. Asalkan orang berniat baik dengan saya, saya tiada masalah berkawan dengan sesiapa pun.
“Saya juga ada ramai kawan dari lelaki lembut tapi tidak pula orang buat gosip! Namun, apabila saya berdampingan dengan ‘pengkid’ macam-macam pula cerita yang keluar. Itu semua hanyalah salah faham. Yang penting ibu bapa saya tahu siapa diri saya yang sebenarnya.
“Kalau hendak ikutkan di Kuala Lumpur ini, saya selalu bersama keluarga, tapi orang ramai dan peminat tidak tahu,” katanya.
Beralih pada skop kerjayanya, Adira baru saja melancarkan klip video terbarunya, Sakura sebuah lagu balada hasil ciptaan Audi Mok dan lirik oleh Omar K yang ke udara secara rasminya, di Astro Ria Ahad lalu.
Selain ‘single’ terbaru, gadis kelahiran Ranau, Sabah itu sibuk memenuhi undangan nyanyian yang hampir setiap minggu diaturkan pihak pengurusannya.
Ditanya, apakah dia merancang menceburi bidang lakonan untuk menambah satu lagi cabang dalam kerjaya seninya, Adira berkata, dia mungkin boleh berbuat demikian dengan syarat memperbaiki loghat Sabah yang dituturkan selama ini.
“Saya cuba cakap seperti orang KL tapi akhirnya orang gelak sebab nampak terlalu dibuat-buat. Jadi saya perlu masa untuk lebih fasih dan bersahaja.
Bukan tidak bangga dengan loghat Sabah, tapi kalau boleh bercakap bermacam-macam loghat dan bahasa, bukankah itu satu kelebihan untuk kita,” katanya.
TRIVIA ADIRA
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: