Wednesday, January 18, 2012

Ceongsam Tahun Baru Cina

CEONGSAM merah sudah menjadi signatur wanita Cina setiap kali menjelang Tahun Baru Cina.


SELAKU pusat borong terbesar di Malaysia, Kenanga Wholesale City (KWC) menawarkan pelbagai pilihan pakaian buat semua golongan sempena perayaan Tahun Baru Cina yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Lebih 800 buah kedai di KWC menyediakan pakaian dan aksesori untuk wanita, lelaki serta kanak-kanak. Tidak ketinggalan, rangkaian pakaian Muslimah termasuk beg dan kasut juga boleh didapati di KWC.

Mula beroperasi Oktober lalu, KWC memperkenalkan konsep pembelian borong dan jualan barangan pada harga rendah. Semakin banyak item yang dibeli, semakin murah harga yang perlu dibayar pelanggan.

"Kita cuba menyediakan aneka jenis pakaian dan aksesori kepada pengunjung yang datang ke KWC. Mereka akan mendapati harga yang ditawarkan di sini jauh lebih murah berbanding pusat beli-belah lain.

"Disebabkan KWC menekankan konsep borong, kami menggalakkan orang ramai membeli barangan dalam kuantiti yang banyak.

"Mereka juga boleh membeli dalam kuantiti kecil mengikut keperluan seperti biasa tanpa harga borong," jelas Pengurus Bahagian Pengiklanan dan Promosi KWC, Mak Soon Peng.

Pada majlis pelancaran sambutan Tahun Baru Cina di KWC itu, lima jenama yang beroperasi di KWC telah menjayakan pertunjukan fesyen dengan menampilkan koleksi terbaharu mereka.

Membuka tirai pada hari itu ialah koleksi Gu Zhi Qi Yuan yang mempamerkan rekaan baju tradisional wanita Cina iaitu ceongsam. Istimewa untuk penggemar fesyen masa kini, rekaan ceongsam jenama itu diubah suai agar kelihatan lebih moden dan sesuai dengan peredaran zaman.

Nilai tradisional ceongsam itu, bagaimanapun, masih dikekalkan. Berbeza dengan ceongsam asli yang lebih ringkas, koleksi Gu Zhi Qi Yuan ditambah sedikit perincian batu hiasan di bahagian leher.

Perincian manik


BLAUS labuh, seluar kembang dan skaf mewujudkan ciri-ciri wanita klasik Korea.


Mencuri tumpuan pada hari itu ialah rekaan yang diperagakan oleh jenama Yan's Creation. Seleksi pakaian jenama itu difokuskan kepada baju kaftan labuh dengan perincian manik dan batu.

Walaupun baju kaftan mirip jubah itu sering digayakan wanita Muslim, tetapi ia tetap tampak cantik pada tubuh badan wanita Tionghua. Ia mewujudkan satu persepsi berbeza dan tidak mustahil sekiranya busana seperti itu menjadi trend popular wanita Cina tidak lama lagi.

Turut mengetengahkan rekaan terbaharu untuk menyerikan Tahun Naga kali ini ialah koleksi West Mill yang memberi tafsiran terkini buat golongan lelaki. Seperti biasa, konsep rekaannya banyak dipengaruhi elemen Korea dengan perincian sarat.

Berdasarkan pendapat ramai, tidak semua orang mampu menggayakan rekaan sarat jenama itu kerana ia lebih kelihatan segak pada tubuh jejaka yang tinggi dan berbadan sasa atau berisi. Begitupun, lelaki kurus dan rendah boleh memilih rekaan berpotongan ringkas yang turut disediakan jenama itu.

Begitu juga dengan label We 2 yang turut mempamerkan koleksi baharu buat si jejaka. Tidak dilupakan, pakaian kanak-kanak rekaan Fine Star Trading yang sememangnya comel buat si kecil meraikan hari istimewa nanti.

Seiring kemeriahan Tahun Baru Cina akan datang, pelbagai acara dijalankan bermula 7 Januari lalu sehingga 6 Februari depan di KWC.

Sambil membeli-belah, pengunjung akan berpeluang menyaksikan pertunjukan fesyen dengan penglibatan beberapa artis Cina tempatan seperti Nick Chung, Crystal Ong dan Angeline Khoo.

Selain itu, persembahan tarian singa yang mengisi slot acara di KWC, persembahan kebudayaan tradisional Cina dan pertunjukan akrobatik juga bakal menghiburkan pengunjung.

Bagi yang berbelanja dengan jumlah minimum RM80 di KWC dalam satu resit, mereka berhak mendapatkan paket angpau edisi terhad secara percuma iaitu dengan menebus pemberian percuma itu di kaunter khidmat pelanggan, tingkat bawah bangunan itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: