Thursday, January 19, 2012

Butik untuk mempelai


Rosmawati Abdul Razak sentiasa teliti dengan pilihan dan cita rasa pelanggan dalam pemilihan kelengkapan pengantin termasuk pelamin.


HARI ini perniagaan merupakan salah satu cabang untuk kaum wanita menambah pendapatan apatah lagi teknologi semakin canggih, ia boleh dilakukan di mana- mana jua.

Disebabkan itulah, biarpun hanya bermula dari rumah, Rosmawati Abdul Razak, 31, atau lebih mesra dengan panggilan Waty, tidak lagi menoleh ke belakang malah, kini butik pengantinnya telah berjaya dibuka di Setapak, Kuala Lumpur.

Menurut anak kelahiran Kajang ini, perniagaannya telah diusahakan sejak lima tahun yang lalu tetapi ia hanya beroperasi daripada rumah.

Hari ini, apabila perkhidmatan butiknya semakin mendapat perhatian di samping pelanggan yang semakin bertambah, Waty telah membuat keputusan untuk membuka butik bagi memudahkan segala urusan.

Katanya lagi, dengan pembukaan butik D'renjis Cinta Bridal tersebut, para pelanggannya dapat melihat dan mendapatkan kesemua produk perkahwinan di bawah satu bumbung.

"Selama beroperasi di rumah, produk kami agak terhad dengan ruang kecil.

"Jadi di sini (D'renjis Cinta Bridal), saya dapat menempatkan kesemua produk perkahwinan seperti pelamin, persalinan (baju), kasut, gubahan hantaran dan sebagainya untuk tatapan pelanggan.

"Secara tidak langsung, ia memudah dan menjimatkan masa para pelanggan kami," ujarnya ketika ditemui dibutiknya yang terletak di 12A-1, Tingkat 1, Plaza Crystaville Setapak, Jalan Danau Niaga, Taman Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tambah Waty, butik perkahwinannya boleh dipanggil pusat sehenti kerana pihaknya turut menawarkan perkhidmatan katering, kanopi, fotografi, videografi, gubahan hantaran dan lain-lain lagi yang berkaitan dengan perkahwinan.

Katanya, kesemua perkhidmatan tersebut bukanlah di bawah kelolaannya tetapi dia bekerjasama dengan rakan-rakan yang turut mengusahakan produk perkahwinan ini.

Apa yang menarik boleh dikongsi bersama ialah, apabila tibanya hari minggu, kesemua adik-beradik Waty akan turut sama berganding bahu membantunya menguruskan persediaan yang ditempah.

Dalam masa yang sama, ulas Waty, butiknya turut menyediakan beberapa pakej pada harga yang berpatutan malah sekiranya bakal-bakal pengantin tidak memilih mana-mana pakej, Waty juga boleh menyediakan persediaan mengikut bajet mereka.

Berbicara lanjut mengenai penglibatannya di dalam bidang perniagaan tersebut, menurut anak ke lapan daripada 10 beradik ini lagi, dia mendapat pendidikan asas dalam bidang kecantikan (solekan) daripada Pusat Kecantikan Sri Mawar yang terletak di Pertama Kompekls dan mengikuti kursus-kursus jangka pendek yang ditawarkan.

Apabila menyentuh mengenai bidang jahitan pula, menurut Waty, dia sememangnya sudah tahu menjahit kerana ibunya juga merupakan seorang tukang jahit.

Begitupun, dalam usaha mendalami lagi bidang jahitan dan rekaan baju, Waty sanggup mengeluarkan belanja dan 'bertapa' selama tiga tahun di Indonesia.

"Di Indonesia, saya belajar menjahit kebaya dan juga reka bentuk serta corak-corak mereka (Indonesia).

"Ini kerana kebaya yang dihasilkan Indonesia mempunyai seninya yang tersendiri selain cantik dan berbeza dengan Malaysia.

"Sekurang-kurangnya para pelanggan boleh mendapat sedikit kelainan baju pengantin di butik saya," katanya lagi.

Jadi bagi mereka yang ingin mendapatkan khidmat D'renjis Cinta Bridal, mereka bolehlah hubungi talian 017-8712817 dan ia tidak hanya terhad kepada pelanggan di sekitar Lembah Klang sahaja.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: