Tuesday, January 24, 2012

Angpau pertama Moots, Vanessa



PERBEZAAN budaya dan bangsa menyatukan dua hati, Vanessa Venlee Chong dan vokalis band Pop Shuvit, Moots atau nama sebenarnya Muralidharan Marimuthu pada Oktober tahun lalu. Vanessa lahir dalam keluarga Cina-Inggeris manakala Moots berketurunan India.

Ini bermakna mereka meraikan tiga perayaan sekali gus iaitu Deepavali, Krismas dan juga Tahun Baru Cina. Cukup meriah, kata Moots dan Vanessa yang ditemui Kosmo! beberapa hari sebelum Tahun Baru Cina menjelma.

Mereka cukup teruja untuk meraikan Tahun Baru Cina pertama sebagai suami isteri bersama keluarga besar Vanessa di Kuala Lumpur.

"Memang tidak sabar. Sebenarnya tahun lalu ketika kami telah bertunang, saya bawa dia balik bertemu keluarga besar pada Tahun Baru Cina dan tahun ini kali kedua buat Moots menyambutnya. Sebenarnya kami tidak menyambut secara besar-besaran kerana baru sahaja lepas menyambut Krismas pada Disember lalu.

"Cuma persiapannya berbeza sedikit, dulu saya seorang diri kali ini sudah berdua dan suami juga saya perlu siapkan seperti pakaiannya. Saya juga semakin rajin memasak kerana selera Moots seperti orang Cina, manakala selera saya pula seperti orang India, saya lebih sukakan masakan kari daripadanya," ujar Vanessa sambil tertawa,

Celah Moots, sambutan Tahun Baru Cina dan Deepavali lebih kurang sama sahaja kerana semua keluarga akan berkumpul selain mengadakan rumah terbuka dan makan besar.

"Memang meriah dan serono. Keluarga saya tidak sebesar keluarga Vanessa, jadi kali pertama saya ikut dia meraikan Tahun Baru Cina pada tahun lalu saya agak terkejut kerana keluarganya besar.

"Tidak secara langsung, ia mengingatkan saya pada zaman kanak-kanak ketika menyambut Deepavali. Kiranya, sejak saya berkahwin dengan Vanessa, saya menyambut perayaan tanpa henti," ujar Moots yang menggemari Yisang.

Selepas 33 tahun menerima angpau apabila tibanya Tahun Baru Cina setiap tahun, tahun ini kali pertama buat Vanessa yang juga seorang pengacara televisyen memberi angpau kepada sanak saudara yang masih bujang. Katanya, tahun ini dia memperuntuKkan sekitar RM1,000 hanya untuk angpau sahaja.

"Keluarga saya besar kerana saya mempunyai enam orang adik-beradik, itu belum dicampur saudara-mara yang lain dan anak buah.

"Selepas asyik menerima angpau daripada orang lain, tahun ini tiba giliran saya untuk memberi angpau. Lain perasaannya bila saya berada di posisi orang yang memberi angpau. Tambahan tahun ini, pertama kali saya sambut Tahun Baru Cina sebagai isteri," ujar Vanessa.

Vanessa yang jarang menyarung busana tradisional Cheongsam pada Tahun Baru Cina menjelaskan rutin keluarganya berubah selepas mendiang datuknya meninggal dunia tiga tahun yang lalu.

Sebelum ini, seluruh keluarganya akan berkumpul di rumah datuknya tetapi sejak ketiadaannya rutin itu berubah.

Rutinnya bermula pada Ahad lepas dengan Vanessa sekeluarga makan besar, kemudian pada hari pertama perayaan mereka makan malam di restoran kerana jumlah keluarga yang besar dan pada hari kedua perayaan mereka berkumpul di rumah ibu Vanessa.

"Kami tidak boleh buat di rumah untuk makan malam sebab jumlah ahli keluarga yang terlalu ramai. Ketika itulah semua saudara berkumpul dan bertanya khabar serta masa memberi angpau. Saya tidak mahu menjadi mak cik yang kedekut, jadi saya akan memberi angpau yang munasabah dan mengikut kemampuan saya dan Moots," balas Vanessa yang akan mula bekerja pada 26 Januari.

Bulan madu kedua

Moots dan Vanessa yang mengadakan perkahwinan di Kuala Lumpur dan Bali, Indonesia, sedang merancang untuk berbulan madu buat kali kedua di sekitar Eropah pada bulan Jun depan.


SALING menghormati budaya dan perayaan antara satu sama lain, pasangan suami isteri Vanessa dan Moots teruja kerana dapat berkongsi variasi perayaan bersama.


Bulan madu kedua itu merupakan destinasi pelancongan terakhir mereka berdua sebelum merancang untuk memiliki cahaya mata pada tahun ini juga.

"Kami memang sangat gemar melancong. Sejak kami bersama, sudah banyak negara yang kami lawati antaranya Australia, Itali dan Bali merupakan destinasi kegemaran kami. Rasanya sudah enam kali kami ke sana, sebab itu kami memilih Bali sebagai lokasi perkahwinan kami.

"Ramai rakan yang cakap, selepas berkahwin nikmati momen berdua sepenuhnya sebelum anak lahir kerana selepas ada anak, memang sukar untuk ke sana ke mari. Jadi, kami memang merancang untuk memiliki anak tahun ini juga kerana usia saya bukannya muda lagi, sebelum itu kami mahu melancong sepuasnya terlebih dahulu," jawab Vanessa yang kini berusia 34 tahun manakala Moots, 35 tahun.

Apabila berbicara tentang anak, Moots memberitahu dia mahukan seorang anak sahaja, manakala Vanessa yang sudah terbiasa dengan keluarga yang besar inginkan tiga orang anak.

"Saya memang inginkan seorang sahaja, tetapi Vanessa mahu tiga, mungkin kami akan memilih di tengah-tengah iaitu dua orang sahaja. Kesibukan kerja kami serta kos yang semakin meningkat untuk membesarkan anak merupakan antara sebab mengapa kami merancang dengan teliti tentang anak," luah Moots.

Sambung Vanessa, semahunya dia inginkan keluarga yang besar kerana lebih meriah apabila melewati usia senja seperti mana yang dilalui oleh ibu bapanya, tetapi katanya, usianya membataskannya memiliki anak yang ramai.

"Saya memang tidak boleh ada anak enam orang seperti emak saya kerana dia bermula lahirkan anak pada usia yang muda, saya pula sudah 34 tahun, mungkin dua orang itu masih boleh dilaksanakan," katanya sambil tertawa besar.

Jadual padat

Kerjaya kedua-dua pasangan suami isterinya sememangnya padat, Moots dengan band Pop Shuvit serta kerjayanya sebagai penyampai radio Hits FM, manakala Vanessa dengan program televisyen Bella di ntv7.

Bagaimanapun itu tidak menghalang mereka untuk berbahagia seperti mana pasangan yang lain. Jika ada masa terluang mereka masih bertemu janji seperti zaman bercinta dengan pergi menonton wayang atau makan malam bersama.

"Saya bersyukur sebab jadual sibuk kami serentak dan kami mempunyai masa lapang yang sama. Jadi, jadual yang sibuk bukan satu masalah buat kami. Kami masih seperti pasangan kekasih walaupun telah berkahwin," jawab Moots.

Bercakap mengenai kerjanya, Moots dan Pop Shuvit akan ke Bali, Indonesia pada 31 Januari hingga 4 Februari depan untuk merakamkan album penuh bersama projek E.A.R yang dianggotai oleh band Ahli Fiqir (Singapura), Slapshock (Filipina), Saint Loco (Indonesia), Silksounds, Thaitanium dan M.E.M dari Thailand.


PASANGAN ini merancang untuk mendapatkan zuriat pada tahun ini.


Sebelum ini mereka hanya bersatu dalam lagu Marabahaya bersama Pop Shuvit.

"Lagu semua sudah ada, kami akan merakamkan album di Bali kerana mudah untuk semua rakan kami dari negara lain berkumpul. Tambahan, jika di Malaysia semua anggota Pop Shuvit mempunyai komitmen masing-masing, jadi pergi ke Bali hanya untuk merakamkan album sesuatu yang menyegarkan dan kami boleh beri fokus seratus peratus," ujar Moots.

Menjelaskan album itu bakal mempunyai 10 buah lagu termasuk lagu Marabahaya sebagai trek bonus, album bersama E.A.R itu menyasarkan pasaran antarabangsa.

"Sasaran kami memang antarabangsa sebab itu dalam 10 lagu, semua band akan menyumbang beberapa buah lagu, jadi album yang akan dirakamkan ini memang agak unik kerana mempunyai bunyi yang berbeza-beza," jawab Moots lagi.

Vanessa pula kembali bersama program wanita berbahasa Inggeris, Bella. Katanya, dia turut banyak berubah bersama program kendaliannya itu bersama dengan Elaine Daly, Daphne Iking, Deborah Henry dan Lisa Wong.

"Pelbagai informasi dan pengalaman yang saya peroleh sepanjang mengendalikan program ini. Jika tahun lalu program ini hanya bersiaran selama 30 minit setiap hari kecuali hari Ahad selama satu jam, tahun ini program Bella bersiaran selama satu jam setiap hari.

"Saya pernah mengendalikan beberapa program sebelum Bella, tetapi menjadi pengacara program siaran langsung memang agak mencabar kerana saya kena bijak mengendalikan program, kalau tersilap tidak boleh disunting, penonton akan nampak dengan jelas kesilapan itu," tuturnya.

Program Bella bersiaran di ntv7 setiap hari Isnin sehingga Khamis pada pukul 11 pagi dan hari Ahad pada pukul 1.30 petang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: