SANTIAGO, Chile - Sudahlah bergaji kecil dan dibebani waktu kerja yang panjang, nasib pembantu rumah di Amerika Selatan lebih malang apabila mereka turut didiskriminasi oleh majikan.
Di rantau berkenaan, pembantu rumah perlu memakai pakaian seragam dan menaiki bas pekerja untuk ke rumah majikan mereka.
Kegagalan berbuat demikian menyebabkan mereka tidak dibenarkan memasuki kediaman tempat mereka bekerja seperti yang pernah berlaku kepada seorang pembantu rumah di Chile, Felicita Pinto.
Amah warga tempatan berusia 57 tahun itu diusir selepas dia berjalan kaki ke rumah majikannya kerana kelewatan bas pekerja.
Pekerja domestik juga tidak dibenarkan berenang bersama majikan di kolam mandi atau di laut semasa perkelahan.
Di bandar Raya Mexico pula sebahagian restoran mewah melarang pembantu rumah daripada makan semeja dengan majikan mereka.
Malah, pihak pengurusan beberapa bangunan tinggi di kota metropolitan tersebut melarang amah daripada menggunakan lif orang awam.
Situasi itu menyebabkan golongan amah mengadakan tunjuk perasaan di Chicureo, Chile pada Sabtu lalu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: