PELAWAK handalan, Abon sedar ramai yang merendahkan kemampuannya berfikir di luar kotak dalam usaha mengembangkan minda kanak-kanak sewaktu bertugas di Dewan Bahasa Pustaka (DBP), Kuala Lumpur satu ketika dahulu.
Anak kelahiran Melaka ini turut menerima cemuhan setiap kali ideanya dilontarkan dan bertambah perit usai meraih Sijil Teater Kanak-Kanak Tokyo di Ohanashi, Jepun pada tahun 1987.
Kursus jangka pendek selama enam bulan itu adalah sokongan kemahiran dirinya yang selama ini cenderung dengan pembelajaran teater terutama buat golongan kanak-kanak secara interaktif.
Bagaimanapun, impian tersebut terkubur tatkala bekas penolong pegawai tadbir bahagian kewangan ini ditukarkan ke satu unit yang mengehadkan pergerakan dan kreativitinya serta merta.
“Hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa hancurnya hati saya mendengar berita sedih itu. Macam ada yang tak kena bila saya dibekukan pada satu posisi tugas yang tak ada kena mengena dengan bidang kemahiran saya.
“Peristiwa itu buat saya sedar yang tak semua orang suka tengok kita lebih sikit daripada mereka. Memang kursus saya perlukan belanja besar, tapi bagilah saya ‘balas’ semula, kongsi semua ilmu yang dipelajari di luar negara itu kepada kumpulan sasaran.
“Lepas berfikir panjang, saya tak ada pilihan lain selain hantar notis berhenti kerja 24 jam,” imbau Abon tentang sejarah silam yang banyak menyuntik semangat untuk menjadi anak seni yang berbakat pada hari ini.
Keputusan itu diambil lantaran kecewa kerana impiannya untuk membantu anak bangsa terbantut. Sedangkan rangka untuk tujuan tersebut sudah dilaksana menerusi eksperimen Abon sendiri.
“Saya tahu risiko yang bakal dihadapi selepas buat keputusan itu sebab melibatkan periuk nasi dan nasib keluarga. Tak apalah, saya lupakan sebentar impian saya itu kalau itu sudah suratan.
“Keputusan berhenti kerja di gedung ilmu itu tak pernah mengubah rasa cinta saya terhadap seni budaya dan bahasa. Malah, saya jadikan ia sebagai perkongsian ilmu kepada orang ramai,” cerita Abon yang diambil dari akronim perkataan ‘asal bayar on’ ini.
Pemilik nama Shahrizan Ahmad, 52, ini kemudiannya menjadikan dunia pementasan teater sebagai mata pencarian selain terlibat dalam produksi filem dan drama tempatan.
Abon yang gemar menggunakan watak lelaki Jawa dalam persembahan itu memikat penganjur yang mahukan khidmat jenakanya untuk memeriahkan majlis kerajaan mahu pun korporat.
“Tuhan maha mendengar rintihan hamba yang teraniaya. Saya bersyukur sebab berjaya melalui dugaan-Nya selain doa keluarga.
“Saya tak pernah kenal erti putus asa, tak peduli kata orang sebab apa yang penting adalah penyebaran input berguna pada setiap persembahan yang ditawarkan kepada saya,” katanya lagi.
Slapstik kegemaran ramai
JUARA pertandingan Maharaja Lawak Mega (MLM) bersama pasangannya, Os menerusi Kumpulan Osbon ini juga berkongsi pandangan tentang genre komedi yang menjadi pilihan generasi masa kini.
“Cita rasa orang sekarang lebih kepada lawak slapstik berbanding lawak cerdik. Sebagai bukti, lawak cerdik dipersembahkan pada episod satu hingga tiga di MLM, sambutannya memang ada tapi tak meriah macam persembahan slapstik minggu berikutnya.
“Saya bekalkan ‘punch line’ dan point tanpa mengetepikan soal budaya orang kita. Mana-mana perkara penting yang kita hampir lupa, Osbon ingatkan semula dalam bentuk jenaka,” jelasnya.
Jadi, kalau Osbon selesa menggunakan pendekatan sebegitu tapi kenapa pelawak lelaki perlu berpakaian perempuan?
“Bukan semua keadaan seseorang pelawak itu boleh berpakaian perempuan, semuanya bergantung pada jenis persembahan. Karakter zahir saja perempuan tapi tak bolehlah lembut macam perempuan,” kata lelaki yang berjaya mengembalikan kegemilangan pelawak veteran ini di mata masyarakat ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: