Wednesday, June 22, 2011

YPM taja bengkel ADaP di sekolah Putrajaya


TENGKU Adnan Tengku Mansor bersama pelajar-pelajar selepas pelancaran Bengkel Teknik Menjawab Soalan UPSR dan PMR Bersama Utusan Malaysia di Dewan Perdana Putra SKPP 8(1), Putrajaya, semalam.


PUTRAJAYA 21 Jun - Lebih 4,200 pelajar daripada 21 buah sekolah rendah dan menengah di Putrajaya berpeluang mengikuti bengkel Akhbar Dalam Pembelajaran (ADaP) secara percuma apabila ia ditaja sepenuhnya oleh Yayasan Pelajaran Mara (YPM) bermula hari ini.

Program sehari itu nanti memfokuskan kepada tiga subjek utama iaitu bahasa Inggeris, Matematik dan Sains dengan menyediakan guru pakar menggunakan ADaP sebagai sumber rujukan dan ulang kaji Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Ketua Pegawai Eksekutif YPM, Profesor Datuk Dr. Abdul Shariff Hamid berkata, tajaan tersebut dilakukan sebagai satu usaha pihaknya untuk meningkatkan pencapaian akademik para pelajar.

Menurutnya, kolaborasi bersama akhbar Utusan Malaysia pula merupakan salah satu cara terbaik untuk memperkasakan ilmu di kalangan pelajar sekolah.

"Kita harap Utusan Malaysia boleh menjadi rakan strategik kepada YPM dalam melaksanakan pelbagai program berbentuk akademik diperingkat sekolah pada masa akan datang.

"Kita melihat kolaborasi ini penting sebagai sokongan kepada kita mendapatkan bahan bacaan berkualiti bagi diedarkan kepada pelajar kawasan bandar dan juga luar bandar," katanya ketika ditemui selepas pelancaran Bengkel Teknik Menjawab Soalan UPSR dan PMR Bersama Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Terdahulu majlis tersebut dirasmikan oleh Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Turut hadir Penolong Ketua Pengarang 1 Kumpulan Utusan, Datuk Zaini Hassan dan Timbalan Pengarah Pelajaran Wilayah Persekutuan Putrajaya, Jamaluddin Yusoff.

Selain Bengkel ADaP, YPM turut menyumbangkan sebanyak 22 unit komputer riba kepada 21 buah sekolah dan Pejabat Pendidikan di Putrajaya.

Sementara itu, Jamaluddin berkata, pihaknya berterima kasih dengan sumbangan dan tajaan yang diberikan oleh YPM sebagai salah satu inisiatif daripada pihak korporat untuk memajukan bidang pendidikan.

"Sumbangan ini dapat menambah kemudahan sistem komunikasi dan teknologi (ICT) di sekolah terbabit yang kini sudah menjadi perkara wajib di zaman teknologi moden ini.

"Kita mahukan para pelajar di sini mendapat pendidikan yang terbaik supaya mereka tidak tercicir dan dapat menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi lagi," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: