
PRINCESS jenama kasut yang menawarkan pilihan bak sang puteri menyambut ulang tahun ke-30 penuh stail dan glamor.
Bertempat di Hotel Empire, Kuala Lumpur, majlis ulang tahun tersebut turut memperkenalkan kad keahlian khusus untuk pelanggan setianya.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Alan Lok, sambutan kali ini bukan sekadar merai ulang tahun ke-30 malah sebagai bukti pencapaian hebat jenama ini.
"Yang penting, kami mahu memberikan sesuatu buat pelanggan setia kami, para media dan sekutu kerana terus memberikan sokongan dan kesetiaan. Atas dasar kesetiaan itulah yang membawakan kami pada kedudukan ini," katanya.
Majlis tersebut telah dimeriahkan dengan kehadiran para selebriti tanah air May June, Dina, Farawahida dan ramai lagi. Malah mereka turut memperagakan kasut dan beg tangan Princess.
Koleksi terbaru Princess mengambil inspirasi daripada kecantikan dan keanggunan wanita moden.
Sebagai jenama telah bertapak sejak tahun 1981, Princess telah menghasilkan pelbagai fesyen menarik dan kasut yang selesa dengan harga yang berpatutan.
Ini bagi memenuhi misinya iaitu menghasilkan kasut di mana setiap wanita yang memakainya akan terasa seperti puteri.
Antara yang ditampilkan dalam koleksi terbaru itu ialah kasut tumit tinggi, kasut ballet rata, sandal bergaya dan juga selipar.
Selain itu, jenama tersebut juga menawarkan pilihan bagi wanita yang mempunyai saiz kaki yang besar.
Bagi melengkapkan gaya, turut ditampilkan koleksi beg tangan dan kaca mata yang terdapat dalam warna pastel seperti merah jambu dan krim.
Terdapat juga warna terang seperti oren, biru dan kuning yang sesuai untuk majlis santai yang ceria.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: